JDT Lengkapkan Koleksi Kejuaraan Dengan Gelaran Juara Piala Malaysia 2017

Sejarah baru telah tercipta. Itulah yang boleh dikatakan dengan kemenangan yang berjaya dilakar pasukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila mereka berjaya menundukkan saingan daripada pasukan Kedah dengan keputusan 2-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong bola sepak di seluruh negara itu berlangsung sedikit lambat daripada kebiasaan apabila ditunda dari jam 9 malam ke 9.20 atas faktor-faktor teknikal, menyaksikan Johor Darul Takzim berjaya menjadi juara buat kali pertama dalam sejarah kelab mereka.

Lebih manis lagi, ini merupakan pengalaman kali pertama buat ketua pasukan JDT, Safiq Rahim memeluk piala paling berprestij itu dan sekaligus melengkapi koleksi trofi beliau dan sudah pasti kekecewaan pada final 2014 yang lalu apabila tewas menentang pasukan Pahang melalui sepakan penalti sudah pun terubat.

Sebelum perlawanan bermula, penonton di stadium dan dirumah disajikan dengan persembahan daripada beberapa artis tanah air seperti Black Hanifah, Jaclyn Victor dan juga Aina Abdul.

Selain itu, kelainan turut dipamerkan FMLLP pada kali ini apabila mereka membawa masuk sebuah kereta antik yang begitu cantik untuk membawa 2 lagenda bola sepak Malaysia iaitu Azmi Mahmud (Kedah) dan juga Salleh Mohd Noor (Johor) mengelilingi stadium sambil membawa trofi Piala Malaysia.

Perlawanan yang diadili oleh Razlan Jofri Ali itu bermula dengan dengan pasukan JDT terlebih dahulu mengatur serangan yang pantas ke arah kubu pertahanan Kedah dan hasilnya, seawal minit ke-3 JDT berada dihadapan melalui tandukan pemain pertahanan mereka Aidil Zafuan yang gagal dikawal rapi pemain Kedah.

Kedah yang tersentak dengan jaringan awal tersebut cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan namun gagal kerana JDT bermain dengan “high pressing” dan pantas menutup ruang pemain Kedah sehinggakan Liridon Krasniqi sukar untuk merencanakan peluang buat Ken Ilso bagi menjaringkan gol.

Sebaliknya pasukan JDT semakin ghairah mengetuk pintu gol Kedah dengan mendapat peluang pada minit ke-7 melalui percubaan Gonzalo Cabrera namun sepakan beliau terkena pemain pertahanan dan mudah ditangkap oleh Ifwat Akmal.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Kedah sekali lagi mencuba untuk memecah belah barisan pertahanan JDT yang diketuai Aidil Zafuan namun ianya dilihat terlalu sukar dan penyerang-penyerang Kedah seakan-akan buntu untuk mencari idea bagi menghasilkan gol.

JDT sekali lagi memperolehi peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-22 namun kali ini Ifwat Akmal cemerlang menyelamatkan gawang Kedah dibolosi buat kali kedua apabila pantas keluar dan menepis keluar percubaan Gabriel Guera.

Masuk babak kedua giliran Kedah pula menguasai permainan dengan banyak hantaran di arahkan kepada Liridon dengan harapan beliau mampu melakukan sesuatu namun masih lagi gagal.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Pada minit ke-63, JDT sekali lagi berjaya untuk membolosi gawang gol Kedah kali ini melalui Gabriel Cabrera yang berjaya menolak masuk hantaran rakan sepasukannya dari sebelah kanan padang sekaligus menambah lagi kedukaan pasukan Kedah.

Peluang terbaik Kedah hadir pada minit ke-67 apabila lorongan daripada Ken Ilso singgap tepat di kaki Baddrul Bakhtiar namun percubaan beliau terkena palang dan sekali lagi peluang Kedah untuk mendapatkan gol gagal.

Kedah sudah melakukan sedaya upaya untuk mencari gol penyamaan dalam usaha untuk menghidupkan semula peluang mereka untuk menjadi juara tetapi sentuhan magis dari Liridon, Baddrul mahupun Ken Islo tidak muncul tiba.

Tiada jaringan penambahan berjaya dijaringkan kedua-dua pasukan selepas gol Cabrera menyaksikan pasukan JDT menjadi juara Piala Malaysia buat kali pertama dengan keputusan 2-0.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Sudah pasti kemenangan kali ini bakal menggembirakan lagi hati Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor,Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail yang merupakan tunjang utama kebangkitan Johor Darul kerana kebinet trofi beliau sudah pun lengkap.

Namun pujian tetap harus diberikan juga kepada pemain-pemain pasukan Kedah meskipun tidak mempunyai tuah pada malam ini, tidak mudah mengalah dan memberikan sepenuh kudrat mereka hinggalah ke tiupan wisel terakhir daripada pengadil menandakan tamat permainan.
Tahniah buat pasukan Johor Darul Takzim kerana berjaya menjadi juara Piala Malaysia 201

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN