Saingan Liga Super 2017 sudah menamatkan kisah perjalanan yang panjang sejak awal musim setelah Johor Darul Takzim (JDT) mencipta sejarah apabila sekali lagi menjuarai liga tersebut bagi tempoh empat tahun berturut-turut.
Skuad bimbingan Ulises Morais itu mengesahkan kejuaraan ketika saingan liga masih berbaki 3 perlawanan walaupun JDT tewas 2-1 keatas Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Kejayaan tersebut menjelma apabila pencabar terdekat ketika itu, Kedah turut tewas dengan keputusan yang sama ketika bertemu Pahang.
JDT raih kemenangan terbanyak dalam Liga Super 2017
Sepanjang 22 perlawanan yang dilalui kesemua 12 pasukan yang bertanding, JDT menjadi pasukan paling banyak menghasilkan kemenangan apabila pasukan dari selatan tanah air itu berjaya memperoleh 15 kemenangan.
Pahang yang menamatkan saingan ditempat kedua pula mencatatkan 12 kemenangan manakala Felda United dengan 11 kemenangan yang berjaya dicipta.
Pertambahan jumlah jaringan keseluruhan berbanding Liga Super 2016
Ketika jumlah jaringan keseluruhan yang dicatatkan pada musim lalu adalah sebanyak 385 gol, pasukan di Liga Super 2017 berjaya meningkatkan jumlah tersebut dengan mencatatkan 408 jaringan.
JDT menjadi pasukan yang paling banyak menghasilkan jaringan apabila juara empat kali itu telah mencipta 50 jaringan.
Sementara itu Pulau Pinang yang akan kembali ke Liga Premier musim hadapan hanya mencatatkan 16 gol dalam 22 perlawanan yang dilalui.
Rekod kebal JDT di laman sendiri dan catat rekod terbaik di gelanggang lawan.
JDT turut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos setelah mencatatkan 9 kemenangan dan 2 seri dalam aksi liga.
Pasukan yang akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada hujung minggu ini berjaya menghasilkan 29 jaringan dan hanya bolos 7 gol di Larkin.
Bagaimanapun pencapaian rekod tanpa kalah dalam saingan liga yang dicipta JDT pada musim 2016 gagal diulangi apabila tewas ditangan Perak, Selangor dan Felda United ketika bertandang ke tempat lawan.
JDT juga turut mencatatkan prestasi terbaik pada aksi di tempat lawan apabila memperoleh 6 kemenangan, 2 seri dan 3 kekalahan. Pencapaian yang baik berbanding pasukan lain.
Pahang dan Kelantan turut mencatatkan 6 kemenangan di tempat lawan, namun dua pasukan pantai timur itu mencatatkan 1 keputusan seri dan 4 kekalahan.
Muhammad Ghaddar raih gelaran penjaring terbanyak
Pemain dari Lebanon yang berpindah dari Kelantan ke JDT ini telah berjaya mencatatkan 23 jaringan dalam satu musim.
18 jaringan telah dihasilkan ketika bersama Kelantan manakala 5 jaringan lagi ditambah sewaktu beliau menyarung jersi JDT.
Matheus Alves yang memperkuatkan jentera serangan pasukan Pahang berada ditempat kedua dengan meledakkan 18 jaringan dan Ken Ilso Larsen (Kedah) pula dengan 15 gol.