Padang Sintetik Dan Kelebihannya

Sejak tahun 2013, terdapat beberapa padang bola sepak di Malaysia telah dinaikkan taraf dan menggunakan rumput tiruan (padang sintetik) berbanding rumput cowgrass yang kerap kali digunakan di serata tempat. Kos pemasangan agak tinggi tetapi dapat menjimatkan untuk jangka masa yang panjang.

Amat penting untuk kita menitikberatkan keadaan padang kerana memudahkan lagi penggerakan bola dan melancarkan lagi taktikal pasukan. Ia juga antara cara untuk mengelakkan kecederaan pemain, apatah lagi jika permukaan padang itu terlalu keras ataupun beralun-alun.

Dalam era bola sepak yang semakin moden, pembinaan stadium atau padang yang menggunakan rumput sintetik ini ada relevannya. Kos penyelenggaraannya juga tidak rumit seperti padang biasa, yang perlu kerap dipotong dan disiram.

Kebanyakan padang di Malaysia sekarang menggunakan rumput cowgrass dan dibina dengan kos yang tinggi tetapi selepas beberapa bulan, ia tidak kelihatan seperti padang lagi kerana faktor cuaca, penggunaan, kesilapan pembinaan, rumput yang tidak sesuai ataupun faktor tiada penyelenggaraan.

Di antara kebaikan rumput tiruan ialah:

  1. Sangat sedikit penyelenggaraan di perlukan. Tiada baja, penyakit, serangga atau pemotongan di perlukan.
  2. Ia boleh digunakan selalu. Selepas hujan, awal pagi, lewat petang sebaik sahaja selepas atau sebelum pasukan itu meninggalkan padang.
  3. Pelbagai kegunaan. Satu padang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan atau bukan sukan. Ia boleh di warnakan dengan pelbagai warna untuk membezakan garisan warna sukan.
  4. Padang rumput tiruan tidak menakung air dengan syarat ia dibina dengan betul, ia tidak mempunyai lapisan organik atau thatch yang akan bertindak seperti sponge untuk ‘memegang’ air.
  5. Ia di laporkan boleh mengurangkan kecederaan yang datang dari permukaan padang yang tidak rata atau licin atau berlumpur.
  6. Padang rumput tiruan juga menjimatkan air.

Bagaimana padang sintetik ini dihasilkan dan dipasang ?

Rumput tiruan ini merupakan produk yang berasaskan bahan fiber sintetik untuk dijadikan rumput bagi pelbagai kegunaan terutamanya kegunaan padang sukan bola sepak. Kaedah pembuatan rumput ini mempunyai teknologi untuk menghasilkan rumput sintetik yang murah sehingga yang berharga mahal.

Pembuatan rumput sintetik ini adalah daripada bahan asas yang dinamakan sebagai polyprophylene atau polyethylene dalam bentuk asas butiran yang diwarnakan dengan pewarna yang sesuai untuk warna rumput.

Rumput tiruan juga sebenarnya dibuat melibatkan proses anyaman berlapis-lapis daripada lapisan tapak asas dan seterusnya disusun rumput tiruan di atasnya. Penyusunan helaian rumput ini bergantung kepada jenis rumput tiruan yang hendak dihasilkan sama ada ianya untuk kegunaan sebagai padang bola sepak atau untuk kawasan taman.

Kilang pembuat rumput tiruan lazimnya akan menggunakan bahan yang tahan lasak untuk dijadikan lantai dan gam yang sangat kuat. Jika dibandingkan harga rumput sintetik, perbezaan harga adalah hampir 10 kali ganda mahal daripada harga rumput asli untuk ditanam dipadang bola sepak.

Bagi kegunaan padang permainan, ianya perlu dipastikan keadaan padang berada di tahap terbaik untuk kegunaan ahli sukan beraksi. Rumput sintetik akan kelihatan sentiasa segar walaupun diletakkan tanpa cahaya matahari, dibawah lindungan, di padang pasir yang tiada air ataupun pada suhu sejuk beku.

Kaedah pemasangan rumput sintetik yang betul mengikut peraturan akan menghasilkan padang yang cantik dan lebih tahan lama. Mari kita menonton video rakaman bagaimana sebuah padang sintetik dipasang di negara Mesir.

Senarai padang sintetik di Malaysia yang diiktiraf oleh FIFA

Tahukah anda di Malaysia terdapat 26 padang sintetik dari seluruh negara yang menepati kualiti dan diiktiraf oleh organisasi bola sepak dunia, FIFA.

Menurut laman web rasmi FIFA, terdapat 2 gred kualiti padang sintetik yang diiktiraf oleh FIFA iaitu gred FIFA Quality dan FIFA Quality Pro. Video di bawah ini akan menerangkan bagaimana FIFA menilai kualiti padang sintetik.

Padang Sintetik MPK di Kuantan, Pahang merupakan satu-satunya padang sintetik di Malaysia yang memenuhi piawaian gred FIFA Quality Pro. Padang ini merupakan salah satu daripada projek kerajaan yang bernilai RM3.5 juta dan berkeluasan 8,214 meter persegi.

Padang ini juga menggunakan rumput tiruan ‘polytan’ dari Jerman yang mempunyai kelebihan serapan air dengan lebih pantas selain mempunyai ketahanan mengikut keadaan cuaca di negara ini.

Padang sintetik MPK di Kuantan, Pahang yang turut dilengkapi dengan kemudahan lampu limpah. (Gambar : Mohammad Farok)

Antara padang sintetik di Malaysia yang memenuhi gred FIFA Quality berdasarkan carian melalui laman web FIFA ialah :

  • Stadium Tun Abdul Razak, Jengka
  • Stadium MPSJ, Subang Jaya
  • Stadium Kluang, Johor
  • Stadium kompleks sukan Panasonic, Shah Alam
  • Padang astaka Majlis Daerah Selama, Perak
  • Padang Bandar Penawar, Johor
  • Stadium mini Felda, Sepang
  • Padang IGB International School, Sg Buloh
  • Padang Akademi KLFA, Kuala Lumpur
  • Padang kompleks rakan muda Alor Gajah, Melaka
  • Padang kompleks sukan 3 tingkat, Shah Alam
  • Padang kompleks sukan negeri Terengganu, K. Terengganu
  • Padang kompleks sukan Sandakan, Sabah
  • Padang kompleks sukan Likas, Sabah
  • Padang B dewan suarah, Bintulu, Sarawak
  • Padang bola B Universiti Malaysia Sabah, Sabah
  • Padang bolasepak tiruan Presint 8, Putrajaya
  • Padang Merdeka Port Dickson, N. Sembilan
  • Padang sintetik Bayan Lepas, P. Pinang
  • Padang Raffles American School, Johor
  • Padang Sekolah Tunku Mahkota Ismail, Johor
  • Padang SMK Pangkor, Perak
  • Padang sports arena Cyberjaya, Selangor
  • Padang Sunway University, Bandar Sunway
  • Padang Xiamen University Malaysia, Sepang

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN