Skuad England Bawah-17 dinobatkan sebagai juara Piala Dunia B-17 dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan apabila 2 gol Phil Foden dan gol ke-8 sepanjang kejohanan oleh Rhian Brewster membawa England bangkit menewaskan Sepanyol dengan jaringan 5-2.
Ia adalah satu kebangkitan yang menakjubkan buat anak buah Steve Cooper selepas ketinggalan 2-0 selepas 30 minit perlawanan berlangsung.
Namun skuad muda ‘Three Lions’ ini menunjukkan karakter, disiplin dan kemahiran yang tinggi selepas itu untuk mengulangi pencapaian yang diraih oleh skuad England yang lebih senior.
England turut muncul sebagai juara dunia pada Jun lalu setelah muncul juara Piala Dunia Bawah-20, menewaskan Venezuela di perlawanan akhir dalam kejohanan yang diadakan di Korea Selatan.
Skuad England yang sama tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Kejohanan UEFA B-17 pada Mei lalu di Croatia. Kebangkitan malam ini bermakna skuad England berjaya membalas dendam dengan penuh bergaya.
England bermula dengan baik dalam perlawanan ini selepas Gibbs-White menguji Alvaro Fernandez dari jarak dekat seawal minit pertama perlawanan.
Namun Sepanyol berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan selepas 10 minit perlawanan. Sergio Gomez menyambar bola muntah dan menolak masuk gol pembukaan perlawanan selepas England gagal membendung hantaran lintang dari Juan Miranda.
Sepanyol sepatutnya menjaringkan gol ke-2 pada minit ke-21 perlawanan, namun Curtis Anderson berjaya mengawal pintu golnya daripada terjahan Moha pada kali ini.
Namun England gagal membendung gol ke-2 Gomez pada minit ke-31 perlawanan apabila rembatan kaki kirinya menerjah penjuru gawang; selepas gerakan menarik di dalam kotak penalti oleh Cesar Gelabert.
Ketinggalan 2-0, England bangkit memberikan respon sejurus sebelum tamat separuh masa pertama apabila Rhian Brewster menanduk masuk hantaran cantik Sesegnon pada minit ke-44 perlawanan.
Gol ke-8 Brewster dalam kejohanan ini merapatkan kedudukan jaringan walaupun England masih ketinggalan 2-1.
England meneruskan momentum kebangkitan pada separuh masa kedua. Minit ke-58 perlawanan, Gibbs-White berjaya menemui ruang di dalam kotak penalti lawan sebelum merembat kencang hantaran ‘cutback’ Sessegnon untuk mengikat kedudukan 2-2.
11 minit kemudian, England berada di hadapan setelah Phil Foden menyempurnakan selepas menerima hantaran dari Hudson-Odoi yang berjaya meloloskan diri dari sebelah sayap kiri pertahanan Sepanyol.
Sessegnon adalah antara pemain yang menyerlah untuk England dalam perlawanan ini terutama ketika melakukan serangan, turut membantu pertahanan dengan menafikan tandukan Victor Chust untuk mengelakkan Sepanyol mencari gol ke-3.
England kemudian mulai menjarakkan diri dengan gol jarak dekat oleh Marc Guehi pada minit ke-84 perlawanan untuk England mendahului selesa 4-2.
Jaringan kedua Foden dalam perlawanan akhir pada minit ke-88 selepas satu serangan balas pantas daripada England melengkapkan kemenangan bergaya 5-2 England ke atas Sepanyol untuk muncul juara Piala Dunia Bawah-20.
Skuad muda England menampilkan prestasi yang mengkagumkan sepanjang tahun 2017. Tatkala skuad B-20 mereka bergelar juara dunia di Korea Selatan pada Jun lalu, skuad B-21 mara sehingga ke separuh akhir Euro B-21 sebelum ditewaskan oleh Jerman.
Kini tiba giliran skuad B-17 untuk membuat England bangga.