Bermula Tanpa Sebarang Perhatian, PKNP FC Akhiri Musim Liga-M Dengan Cemerlang

PKNP FC

Kelab yang tidak disangka-sangka untuk memberikan cabaran yang hebat buat pasukan lain, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC menamatkan kempen dalam aksi Liga Malaysia musim ini dengan begitu memberangsangkan apabila berjaya menduduki tangga ke-3 bagi 100PLUS Liga Premier 2017.

Pasukan yang mula ditubuhkan pada bulan Julai 2015 itu telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air dengan pencapaian dan beberapa kejutan yang turut dilakar oleh skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu dalam aksi Piala FA dan Piala Malaysia.

Satu pencapaian yang hebat buat sebuah pasukan yang tidak langsung diberikan harapan yang tinggi pada awal musim ini.

Keazaman dan kerja keras para pemain PKNP FC serta adunan menarik yang diterapkan Abu Bakar Fadzim sambil dibantu Chan Wing Hoong serta staff kejurulatihan yang lain menjadi resipi utama kepada pencapaian luar biasa ini. Keadaan ini diperkuatkan lagi dengan sokongan kuat daripada pengurusan pasukan.

Pemain muda diberikan peluang untuk ‘menjual’ bakat mereka

Tanpa perbelanjaan yang begitu tinggi buat pasukan ini, PKNP FC menggunakan khidmat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk menyinar seperti Shahrel Fikri Md Fauzi, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari, Ahmad Asyraaf Omar, Muhammad Fadhil Idris dan ramai lagi.

Seperti umum mengetahui, Shahrel Fikri yang cemerlang meledakkan jaringan demi jaringan buat pasukan telah berjaya menarik minat Nelo Vingada untuk memanggilnya menjalani latihan pusat skuad kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar juga mendapat perhatian dari Nelo Vingada selepas pengendali skuad kebangsaan itu menyaksikan sendiri aksi yang dipamerkan Asyraaf pada perlawanan PKNP FC menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Ogos lalu.

Asyraaf berjaya curi perhatian Vingada. Kredit foto: PKNP FC

Pemain pertahanan, Muhammad Syazwan Zaipol Bahari pula merupakan salah seorang pemain yang mengganggotai skuad meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tempohari.

Dalam masa yang sama Abu Bakar turut memberikan peluang kepada pemain-pemain Piala Presiden untuk merasai pengalaman beraksi di Liga Perdana. Antara pemain yang diberikan peluang adalah Amin Faisal Mohd Saidi, Mohd Syamin Baharuddin, Ahmad Azraei Omar dan Muhammad Mazni Khairul Hasnan.

Ternyata percaturan Abu Bakar Fadzim membariskan pemain-pemain muda membuahkan hasil apabila khidmat para pemain muda tersebut menjadi antara penyumbang kepada prestasi baik PKNP FC musim ini sehingga ada pemain yang menjadi pilihan jurulatih skuad kebangsaan.

Prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia

Pasukan yang berpengkalan di Ipoh ini menamatkan saingan Liga Premier dengan mencatatkan 14 kemenangan, 2 seri dan 4 kekalahan untuk memungut 46 mata keseluruhan. Hanya dipisahkan 1 mata dengan Kuala Lumpur dan Terengganu yang berjaya ke Liga Super musim hadapan.

Lebih menarik PKNP FC hanya mengalami satu kekalahan di tempat sendiri ketika tewas 2-1 ditangan Johor Darul Takzim II.

Dalam aksi Piala FA, PKNP FC mencipta kejutan pada pusingan awal apabila berjaya menundukkan Kelantan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan terikat dengan 1-1 hingga tamat masa tambahan.

Kemudiannya mereka mengenepikan cabaran Kuantan FA untuk menempah pertemuan dengan Kedah pada suku akhir. Kedah yang merupakan juara Piala FA terlalu unggul untuk menewaskan PKNP FC 6-1 di Stadium Darul Aman.

Sementara itu jaringan tunggal Shahrel Fikri belum cukup untuk menafikan kemaraan Kedah ke peringkat seterusnya pada perlawanan timbal balik di Ipoh.

Nama PKNP FC terus menjadi bualan para peminat bola sepak apabila turut berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menjadi juara kumpulan A.

Selepas berjaya menang 3-1 di Jengka pada perlawanan suku akhir pertama, ramai yang beranggapan PKNP FC selesa untuk ke separuh akhir. Namun, Felda United yang dibimbing B,Sathianathan lebih berpengalaman untuk bangkit menang 4-1 di Shah Alam.

Shahrel Fikri bangkit dari kekecewaan silam

Shahrel berjaya hasilkan 18 gol musim ini dalam semua pertandingan.

Kekecewaan 3 tahun lalu yang dihadapi Shahrel Fikri akibat dari masalah injap jantung bocor ketika bersama skuad Harimau Muda B menjadi pembakar semangat buat penyerang ini.

18 jaringan yang dihasilkan dalam semua pertandingan (12 gol Liga Premier, 3 gol Piala FA dan 3 gol Piala Malaysia) bersama PKNP FC kembali menaikkan nama beliau yang sebelum ini pernah mengecap kejayaan bersama skuad SUKMA dan Piala Presiden Perak.

Gandingannya bersama dua pemain import, Gilberto Valdenesio Fortunato dan Hyeon Woo Kim dilihat begitu ampuh dalam menggempur gawang pasukan lawan.

Dengan aksi bertenaga yang ditampilkan Shahrel, tidak mustahil beliau akan menjadi rebutan pasukan-pasukan utama dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN