Semalam keputusan undian pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 tahun menyaksikan skuad negara diundi dalam kumpulan C bersama 3 pasukan gergasi Asia Barat iaitu Iraq, Jordan, dan Arab Saudi.
Malaysia dilihat berdepan laluan sukar apabila diletakkan bersama tiga pasukan gergasi Asia Barat itu tetapi ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee enggan menyerah kalah dan menyuarakan keyakinan tinggi bahawa anak buahnya mampu melakar kejutan di China tahun depan.
“Sebelum undian lagi, kita tahu di mana pun kita diletakkan sekali pun, saya percaya itu satu tugas yang cukup mencabar.
“Apabila diundi bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi, saya percaya ini satu pengalaman yang cukup baik buat para pemain dan pada masa sama kita harus mencuba untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Itu bukan sesuatu yang mustahil kerana selalu saya katakan yang pada pertandingan peringkat umur seperti ini, jurang tidak begitu jauh antara satu sama lain.
“Kita tahu ketiga-tiga pasukan ini dari Timur Tengah dan mereka pasti mempunyai kelebihan kerana sudah selalu bermain di kalangan mereka dan kemungkinan besar mereka mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama,” kata Kim Swee selepas majlis undian.
Berdasarkan rekod kejohanan ini, Iraq merupakan juara edisi pertama pada tahun 2013 di Oman dengan menewaskan Arab Saudi di final 1-0, manakala Jordan menduduki tempat ketiga dengan mengalahkan Korea Selatan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Iraq juga mengalahkan Qatar 2-1 untuk meraih tempat ketiga pada tahun 2016. Tahun depan, Malaysia membuat penampilan pertama dalam kejohanan AFC Bawah 23 Tahun sejak ia diperkenalkan pada tahun 2013.
“Secara peribadi, sebaik kita berjaya layak ke pusingan akhir AFC B-23 di China, kita tiada pilihan lain melainkan bersiap sedia dengan lebih awal. Saya tidak rasa kita akan menjadi pasukan belasahan nanti. Ini kerana kita pernah bermain dengan pasukan dari negara Arab ini.
“Jurang tidak begitu besar jika kita bandingkan seperti Korea Selatan atau Jepun. Dalam saingan peringkat umur ini, ia tidak begitu jauh jurang untuk mana-mana pasukan,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.
Dalam pusingan kelayakan, anak buah Ong Kim Swee menewaskan Indonesia 3-0 dan Mongolia 2-0 lalu muncul sebagai juara kumpulan walaupun tewas kepada Thailand, 3-0 di Bangkok.
Prestasi cemerlang mereka diteruskan dengan meraih pingat perak dalam acara bola sepak Sukan SEA di Kuala Lumpur setelah tewas kepada Thailand 1-0 di perlawanan akhir.
Tidak seperti skuad senior yang masih bergelut dengan prestasi yang buruk, skuad muda ini memberikan harapan baru kepada bola sepak Malaysia untuk mencipta sejarah di peringkat asia.
Kim Swee juga hanya mahu memikirkan soal persiapan pasukannya daripada sibuk berbicara mengenai kekuatan lawan.
“Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi tapi kami akan cuba yang terbaik dalam usaha melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Ia bukan tugas mudah tetapi bukan mustahil jika kita membuat perancangan serta persiapan yang baik,” katanya
Skuad negara akan berkumpul dan menjalani latihan pusat pada bulan Disember ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan AFC bawah 23 tahun yang akan bermula pada 10 Januari hingga 27 Januari 2017.
Venue perlawanan pasukan Malaysia ialah di Bandar Changshu dan Kunshan. Selain Malaysia, Thailand dan Vietnam turut mewakili asia tenggara dalam kejohanan ini.
Thailand di undi dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Jepun, Korea Utara dan Palestine manakala Vietnam diundi dalam kumpulan D bersama Korea Selatan, Australia dan Syria.
Jepun muncul juara edisi 2016 selepas menewaskan Korea Selatan pada perlawanan akhir di Doha