Adakah Gol Zaquan Adha Ketika Separuh Akhir Ke-2 Piala Malaysia 2017 Dikira Ofsaid?

Keputusan pengadil perlawanan separuh akhir ke-2 TM Piala Malaysia 2017 antara tuan rumah, JDT menentang Perak malam semalam sekali lagi menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan.

Ketika JDT sedang mendahului 1-0 (2-1 secara agregat), Perak mempunyai satu gol yang dibatalkan oleh pengadil kerana penyerang Perak, Zaquan Adha dipersalahkan kerana ofsaid.

Insiden ini bukan sahaja mengundang rasa tidak puas hati pemain-pemain Perak. Malah turut dipersoalkan oleh sesetengah peminat bola sepak tempatan yang mendakwa keputusan pengadil yang sentiasa memihak kepada tuan rumah di Larkin adalah sesuatu yang ‘normal’.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Insiden kontroversi ini berlaku pada minit ke-61. JDT yang hilang bola di kawasan separa ruang (half space) kanan kepada Nasir Basharuddin memberi ruang kepada Perak untuk menyerang balas.

Nasir Basharuddin terus menghantar bola kepada Gilmar. Gilmar pula terus melarikan bola sebelum membuat hantaran lintang rendah ke Zaquan Adha yang menunggu di far post. Di antara Gilmar dan Zaquan, terdapat 3 pemain JDT iaitu Afiq Fazail, Junior Eldstal dan S. Kunanlan.

Hantaran lintang Gilmar berjaya mencetuskan panik dalam kotak penalti JDT sehingga menyebabkan gol. Bagaimanapun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, Zohri Tajudin selepas penjaga garisan, Nojey Naking mendakwa Zaquan Adha (yang berada dalam kedudukan ofsaid) menyentuh bola tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=jHyOEPbFvFg

Mengapa gol Zaquan Adha dibatalkan?

Berdasarkan pindaan terbaru buku peraturan bola sepak, Laws of the Game, berada dalam kedudukan ofsaid bukanlah satu kesalahan. Pengadil tidak akan menghukum anda jika anda berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun berada di kedudukan ofsaid akan menjadi satu kesalahan apabila anda terlibat secara aktif dalam permainan dengan melakukan 3 perkara di bawah:

  • menganggu permainan
  • menganggu pemain lawan
  • mendapat kelebihan dengan berada di kedudukan ofsaid

Dalam insiden malam semalam, Zaquan jelas terlibat secara aktif dalam permainan apabila mendapat kelebihan (mendapat gol) dengan berada di kedudukan ofsaid.

Oleh sebab itulah, gol Zaquan dibatalkan oleh pengadil.

Tetapi…

Bagaimanapun isu timbul apabila sesetengah peminat bola sepak yang menyaksikan ulang tayang perlawanan semalam mendakwa S. Kunanlan terlebih dahulu menyentuh bola sebelum Zaquan.

Apabila S. Kunanlan berjaya menyentuh bola terlebih dahulu berbanding Zaquan, di sinilah peraturan peraturan ofsaid menjadi sedikit kompleks.

Berdasarkan buku Law of the Games:

“Jika pemain yang ofsaid menerima bola daripada pemain lawan yang menyentuh bola (kecuali pemain yang cuba menyelamatkan bola) terlebih dahulu, beliau tidak dikira ofsaid.”

Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai konteks peraturan ini, kami sarankan anda menonton video di bawah:

Dari Mata Pengadil (Episod 4): Deliberate Play Dalam Offside

Mengikut peraturan baru FIFA, penyerang offside takkan dihukum offside kalau pertahanan melakukan ‘deliberate play’. Apa maksud ‘deliberate play’?

Posted by Semuanya BOLA on Saturday, October 1, 2016

Ini bermakna jika benar Kunanlan menyentuh bola sebelum Zaquan, gol tersebut adalah sah.

Berdasarkan situasi malam semalam, sama ada Zaquan dapat menyentuh bola atau tidak – gol tersebut SAH JIKA Kunanlan menyentuh bola hantaran lintang Gilmar.

(Diedit pada 22 Oktober 2017, 1.11pm) Bagaimana pengadil FIFA lain mengadili situasi sama?

Seorang peminat bola sepak, Ahmad Yani Ismail memberi satu penjelasan yang baik yang mungkin menjelaskan persoalan mengapa pengadil membatalkan gol tersebut.

Menurut penjelasan beliau, pemain ofsaid yang terlibat secara aktif (Zaquan) dalam permainan TETAP DIKIRA OFSAID walaupun gol tersebut dijaringkan oleh pertahanan lawan (Kunanlan).

Ini kerana pemain ofsaid tersebut boleh diklasifikasikan sebagai ‘menganggu pemain lawan’ – satu kesalahan bagi pemain ofsaid menurut Laws of the Game.

Ahmad Yani turut memberi contoh dalam video di bawah sebagai rujukan keputusan-keputusan pengadil FIFA lain jelas membatalkan gol tersebut berdasarkan situasi hampir serupa.

Impeding by movements – 7 situations from Offside Explained on Vimeo.

Rumusan

Isu sekarang adalah sama ada Kunanlan berjaya menyentuh bola atau tidak.  Dalam situasi ini, ia bergantung kepada interpretasi anda terhadap undang-undang bola sepak.

Jika anda berpendapat bahawa kedudukan ofsaid Zaquan menganggu Kunanlan, maka anda akan membuat keputusan gol tersebut adalah ofsaid – seperti yang dilakukan oleh pengadil semalam.

Tetapi jika anda berpendapat bahawa kedudukan ofsaid Zaquan tidak menganggu Kunanlan, maka anda akan membuat keputusan gol tersebut sepatutnya sah.

Dalam permainan bola sepak yang memerlukan pengadil untuk membuat keputusan kritikal dalam masa yang pantas, insiden seperti ini sentiasa akan mengundang kontroversi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN