Finalis UEFA Champions League musim 2016/17, Juventus menerima wang hadiah kemenangan paling besar di antara semua pasukan yang bertanding di Eropah pada musim lalu dengan nilai bayaran €110.4 juta daripada UEFA.
Leicester City berada di tangga kedua senarai penerima terbanyak mengatasi jumlah yang diperolehi oleh Real Madrid. Ini adalah kerana siaran yang melibatkan Leicester City mempunyai lebih banyak pegangan berbanding dengan Real Madrid.
Ini dijelaskan dengan hak penyiaran daripada Britain dan Itali mempunyai lebih nilai berbanding hak penyiaran dari Sepanyol.
Sepanyol(La Liga) masih perlu membahagikan keuntungan tersebut di antara 5 kelab dari negara berkenaan yang mengambil bahagian pada musim lalu berbanding Itali(Serie A) dan Britain(EPL) yang menampilkan 4 pasukan pada musim lalu.
Leicester City yang tersingkir di peringkat suku akhir kejohanan elit kelab eropah itu pada musim lalu menerima sejumlah €81.7 juta daripada UEFA, manakala Real Madrid hanya menerima sejumlah €81 juta daripada badan bola sepak eropah itu.
Di kalangan kelab yang bertanding setakat peringkat kumpulan, Basel menerima jumlah terendah pada nilai €16.3 juta daripada nilai keseluruhan €1.4 billion yang diagihkan oleh UEFA.
Juara UEFA Europa League, Manchester United mendahului senarai penerima terbesar pertandingan itu dengan nilai bayaran €44.5 juta, lebih dua kali ganda dari nilai yang diterima oleh kelab-kelab lain.
Jumlah keseluruhan pembayaran yang diagihkan oleh UEFA untuk Europa League ialah €423 juta.
Tottenham Hotspur yang beraksi di UEFA Champions League sebelum tersingkir ke Europa League menerima bayaran keseluruhan €46 juta.
Menurut format pembahagian oleh UEFA, setiap 32 pasukan yang bertanding di peringkat kumpulan Champions League akan menerima bayaran berjumlah €12.7 juta setiap kelab. Nilai ini akan ditambah dengan bonus dan juga nilai hak penyiaran.
UEFA dan European Club Association telah bersetuju dengan kaedah pengagihan yang baharu untuk musim 2018 sehingga 2021, di mana nilai hadiah dijangka akan meningkat.
Bagaimanapun, kaedah pengagihan terbaru itu akan memberi manfaat kepada kelab yang mara lebih jauh dalam pertandingan anjuran UEFA tersebut.
Selain daripada itu, UEFA dan ECA turut bersetuju bahawa empat tempat automatik di peringkat kumpulan akan diberikan kepada 4 liga paling berjaya di Eropah – Sepanyol, England, Jerman dan Itali.