Analisis Taktikal: Ralat Teknikal & Taktikal Oleh Man Utd, Liverpool Tampil Lebih Berdisiplin

Derbi Barat Laut yang sering mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi berlangsung pada hujung minggu yang lalu. Kebiasaannya derbi di antara Liverpool dan Manchester United sering kali menyajikan kita dengan aksi panas dan mendebarkan.

Bagaimanapun kita harus akui derbi Barat Laut pada hari ini sudah tidak sama seperti musim-musim sebelumnya seperti ketika era pemain Gary Neville, Jamie Carragher, Steven Gerrard atau pun Roy Keane.

Analisa kali ini menumpukan taktikal yang disajikan oleh Jose Mourinho dan juga Jurgen Klopp, dalam usaha kedua-dua pengendali memastikan pasukan masing-masing terus berada di landasan mencabar kejuaraan EPL.

1.0 Manchester United: Ralat taktikal atau kelemahan teknikal?

Perlawanan ini adalah ujian getir pertama anak buah Jose Mourinho di dalam kalendar saingan EPL pada musim ini.

Selepas mencatat 6 kemenangan dan 1 seri dari 7 perlawanan awal, Manchester United hadir ke Anfield untuk memastikan mereka tidak pulang dengan berputih mata.

(Photo by Rich Linley – CameraSport via Getty Images)

Saya menyentuh taktikal Manchester United terlebih dahulu kerana mereka adalah pasukan yang mempunyai paling banyak isu dalam perlawanan ini.

Di atas kertas, mereka memulakan perlawanan menggunakan formasi 4-2-3-1. Ketiadaan Paul Pogba dan juga Marouane Fellaini akibat kecederaan menyaksikan Ander Herrera beraksi bersama Nemanja Matic di bahagian tengah United.

Hakikat sebenarnya, anak buah Mourinho beraksi di dalam formasi 4-4-1-1 kerana perlawanan ini memaksa mereka untuk bertahan hampir sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

1.1 Fasa bertahan

Dari aspek pertahanan, United berjaya mengekang rangkaian 3 penyerang utama Liverpool dalam perlawanan tersebut iaitu Roberto Firmino- Philippe Coutinho- Mohamed Salah.

4 pemain tengah membentuk blok pertama pertahanan untuk menyerap asakan pemain tengah Liverpool yang diketuai oleh Jordan Handerson.

Ini diikuti oleh 4 pemain pertahanan United yang menjadikan sehingga 8 pemain bertahan secara kompak dan deep.

Struktur pertahanan United

Alasannya mudah. Sistem ini tidak akan membenarkan penyerang Liverpool yang memiliki teknikal yang lebih baik untuk bergerak bebas di kawasan akhir pertahanan United.

Jika barisan kesebelasan utama dijadikan ukuran, niat taktikal untuk bertahan Jose Mourinho adalah jelas. Chris Smalling dipilih berada di dalam kesebelasan utama dan bukan Eric Bailly seperti kebiasaannya.

Alasan taktikal untuk ini adalah mudah. Bailly adalah seorang ball-playing defender.

Bertemu dengan salah sebuah pasukan yang gemar melakukan pressing ketika menyerang seperti Liverpool, akan menyebabkan pemain seperti Bailly cenderung melakukan kesilapan.

Untuk itu, seorang pemain yang lebih fizikal dan direct seperti Smalling menjadi pilihan Mourinho di posisi bek tengah.

Liverpool cuba bermain bola tinggi untuk memecah benteng United yang kompak.

Kesukaran untuk menembusi benteng United adakalanya memaksa Liverpool melakukan percubaan dari jarak jauh atau menghantar bola tinggi ke kawasan kotak penalti United.

Serangan sedemikian hanya memberi kelebihan kepada rangkaian pertahanan United untuk mengawal keadaan.

1.1 Fasa serangan

Perkara kedua mengenai kesebelasan utama United dalam perlawanan ini ialah mengenai posisi Ashley Young. Tidak seperti kebiasaan beraksi di bek kiri, Young beraksi sebagai pemain sayap kanan dalam perlawanan ini.

Mourinho melakukan sedemikian kerana kelebihan teknikal yang dimiliki oleh Young untuk melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti lawan untuk mencari Lukaku- menggunakan kelebihan fizikal dan kekuatan di udara pemain ini.

Namun prestasi Young dalam perlawanan ini amat mengecewakan. Perhatikan heat map Ashley Young seperti di bawah. Beliau dikawal sepenuhnya oleh Alberto Moreno sepanjang perlawanan.

Heat map Ashley Young vs Liverpool

Ingatkah anda bagaimana Herrera mengawal Eden Hazard dalam perlawanan Chelsea dan Man Utd pada musim lepas? Moreno melakukan perkara yang sama kepada Young dalam perlawanan ini.

Jarang sekali Young berada di kawasan width area Liverpool untuk membenarkannya melakukan hantaran lintang kepada Lukaku. Untuk ini, Alberto Moreno harus dipuji kerana berjaya menyekat kemaraan Young.

Kegagalan Young untuk menghantar bola menyebabkan Lukaku berada di dalam keadaan isolated. Perhatikan heat map Lukaku. Penyerang antarabangsa Belgium ini seolah-olah hilang arah dalam perlawanan ini.

Fakta ini disokong dengan data daripada Opta. Lukaku hanya menyentuh bola sebanyak 7 kali dalam perlawanan ini. Sentuhan kedua hanya tiba pada minit ke-25 perlawanan!

Heat map Romelu Lukaku vs Liverpool

Setelah gagal mendapatkan bola hantaran tinggi daripada Young, Lukaku turut menukar pendekatan dalam taktikal permainnanya. Perhatikan gambar di bawah, dan bandingkan dengan heat map di atas.

Lukaku cuba untuk mengheret Dejan Lovren yang mengawal beliau ke sebelah tepi kanan serangan United. Ini menjelaskan heat map Lukaku yang kelihatan sering berada di sebelah kanan bahagian serangan United.

Adakah taktik ini berjaya? Jurgen Klopp seolah-olah sudah menghidu apa yang Lukaku ingin lakukan.

Tindakan Lovren yang ‘man marking’ Lukaku sehingga ke arah tepi kanan padang hanya akan membuka ruang untuk Henrikh Mkhitaryan dan Anthony Martial melakukan larian ke dalam kotak penalti Liverpool.

Peranan Lukaku untuk mengalih perhatian benteng pertahanan Liverpool.

Namun usaha United dalam fasa serangan sebegini turut menemui kegagalan. Ada dua sebab.

Pertama Lukaku ada isu ‘first touch’ dalam perlawanan ini. Sepanjang perlawanan Lukaku gagal menyimpan bola dengan kemas untuk membenarkannya membebaskan bola kepada rakan lain.

Perkara kedua, Mkhitaryan dan Martial turut tidak berfungsi dalam sistem ini. Kedua-duanya kerap kehilangan bola setiap kali memperolehinya. Ini mungkin boleh dikaitkan dengan taktik gegenpressing yang diterapkan oleh pemain Liverpool.

Gegenpressing oleh sekurang-kurangnya 2 pemain Liverpool setiap kali pemain United memperolehi bola membuatkan pemain United melakukan kesilapan dan hilang bola dengan mudah.

Satu-satunya gerakan daripada gandingan Mkhitaryan-Lukaku-Martial yang berjaya mengelirukan pertahanan Liverpool.

Sepanjang perlawanan, gandingan Martial-Lukaku-Mkhitaryan hanya berhasil sekali. Namun gerakan yang disudahi dengan percubaan oleh Lukaku berjaya diselamatkan oleh Mignolet.

1.3 Sistem United bermasalah tetapi menjadi

Perhatikan bagaimana 4 pertahanan Liverpool mendominasi kawasan mereka dan bagaimana Lukaku-Martial-Mkhitaryan yang seolah-olah tiada arah dalam permainan ini. Jelas serangan United tidak menjadi dalam perlawanan tersebut.

Heat map Lukaku-Martial-Mkhitaryan vs Matip-Lovren-Gomez-Moreno

Bagaimanapun United dan Mourinho boleh dikatakan berjaya memperolehi apa yang mereka hajati dalam perlawanan ini iaitu 1 mata dan mengelakkan diri daripada kekalahan.

Formasi pertahanan United sepanjang perlawanan adalah bukti kepada kenyataan di atas.

2.0 Liverpool bertahan lebih baik tetapi tumpul di hadapan

Menuju ke perlawanan derbi Barat Laut ini, Liverpool memiliki 2 isu utama. Pertama, mereka mempunyai pertahanan yang rapuh, dan jentera serangan mereka gagal menemui sentuhan penyudah yang sewajarnya walaupun mendominasi perlawanan.

Perhatikan statistik perlawanan di bawah.

Statistik penuh perlawanan Liverpool vs Manchester United

Liverpool menguasai 62% dominasi bola, menghasilkan 19 percubaan ke arah gawang lawan dan 5 daripadanya merupakan percubaan tepat.

2.1 Analisis serangan Liverpool

Untuk 5 percubaan tepat yang dilakukan, sekurang-kurangnya 2 percubaan adalah peluang besar untuk menghasilkan jaringan. David de gea sekali lagi bertindak cemerlang dalam perlawanan ini untuk menafikan rangkaian serangan Firmino-Coutinho-Salah.

8 percubaan dari luar kotak penalti milik Liverpool juga membuktikan kenyataan saya pada perenggan di atas mengenai kesukaran Liverpool menembusi benteng pertahanan United yang kompak dan bertahan secara deep.

(Photo by Peter Byrne/PA Images via Getty Images)

Kegagalan Liverpool melakukan jaringan dalam perlawanan ini bukanlah kerana taktikal bertahan United semata-mata. Perhatikan keseluruhan 11 percubaan dari dalam kotak penalti.

Penyerang yang bagus dan berkualiti seharusnya mampu mengancam gawang lawan walaupun melalui peluang yang dikategotikan sebagai ‘half chance’. Ini merupakan perkara yang harus diperbaiki oleh Klopp untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.

2.2 Analisis pertahanan Liverpool

Berbeza dengan perlawanan-perlawanan sebelum ini, menentang pasukan-pasukan yang berada di bahagian tengah dan bawah liga, pertahanan Liverpool kelihatan rapuh.

Dalam perlawanan menentang United, pertahanan Liverpool tampil lebih berdisiplin. Semestinya peranan Moreno mematikan peranan Ashley Young adalah headline utama dalam perlawanan ini.

Jika Liverpool berjaya menampilkan disiplin yang sama dalam aspek pertahanan di perlawanan lain, saya yakin mereka mampu pergi lebih jauh pada musim ini.

Rumusan

Seri adalah keputusan yang mengecewakan buat Liverpool. Apatah lagi beraksi di halaman sendiri. Namun saya harus akui Manchester United lebih bernasib baik kerana berjaya membawa pulang satu mata.

Pemain terbaik perlawanan pilihan kami ialah David de Gea dari Manchester United.

Namun satu persoalan yang wajar ditanya oleh penyokong Manchester United ialah bolehkah Jose Mourinho menjuarai liga dengan pendekatan sebegini?

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN