Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane menolak sebarang kemungkinan bahawa beliau akan menjadi pengurus kepada seteru mereka di La Liga, Barcelona pada masa hadapan.
Kemenangan 2-1 ke atas Getafe hasil jaringan lewat oleh bintang Portugal Cristiano Ronaldo semalam, adalah perlawanan yang ke-100 dalam semua pertandingan yang dikendalikan oleh Zidane sejak bergelar pengurus Real Madrid.
Los Blancos masih ketinggalan 5 mata di belakang Barcelona yang sedang mendahului kedudukan La Liga.
Namun ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan sebarang kemungkinan untuk beralih dan membimbing kelab Catalan tersebut, legenda Piala Dunia Perancis itu berkata ia tidak mungkin akan berlaku.
“Hati saya berwarna putih dan saya tidak akan mengubah itu,” kata Zidane kepada wartawan.
“Ramai telah bertanya sama ada saya akan menyertai kelab lain. Ia bukan untuk saya kerana saya berada di sini.”
“Saya hanya mahu memikirkan tentang apa yang saya sedang lakukan bersama Madrid, dan bukan perkara lain.”
Zinedine Zidane menyertai Real Madrid pada 2001. Beliau adalah pemain ‘Galacticos’ kedua daripada 4 yang dibawa ke Santiago Bernabeu sebelum memenangi 4 piala bersama kelab tersebut.
Sejak dilantik untuk menggantikan posisi Rafael Benitez pada Januari 2016, Zidane meneruskan rutin kejayaan ketika masih bergelar pemain.
7 trofi dalam tempoh kurang daripada 2 tahun, termasuk 2 kejuaraan UEFA Champions League (UCL) pantas menaikkan reputasi Zidane sebagai antara pengurus yang paling berjaya dalam bola sepak Eropah.
Prestasi Real Madrid pada musim ini tidak berjalan lancar seperti mana yang mereka kehendaki. Dua keputusan seri dan kekalahan kepada Real Betis menamatkan kecemerlangan Los Blancos menjaringkan gol dalam 73 perlawanan berturut-turut.
3 keputusan ini menyebabkan Madrid berada di belakang seteru utama mereka, Barcelona selepas 8 perlawanan La Liga. Ini bermakna Zidane mempunyai kerja yang perlu dilakukan.
Di bahagian pertahanan, Madrid hanya merekodkan 2 ‘clean sheet’ setakat ini, berbanding dengan Barcelona yang memiliki 5.
Kecemerlangan prestasi Lionel Messi bersama Barcelona turut merupakan salah satu faktor kecemerlangan gergasi Catalan tersebut, dengan 11 gol telah dijaringkan oleh penyerang antarabangsa Argentina tersebut berbanding hanya gol pertama Cristiano Ronaldo dalam perlawanan menentang Getafe semalam.