Pasca Sukan SEA 2017, Syamer Kutty Abba Dilamar Chonburi FC?

“Tiada tawaran rasmi dari mana-mana kelab. Hanya dengar khabar angin sahaja dan tiada surat tawaran,” jelas pemain tengah skuad Sukan SEA 2017, Syamer Kutty Abba apabila dihubungi oleh Semuanya BOLA berkaitan ura-ura tawaran beraksi di liga Thailand.

Mungkin penjelasan ini dapat menutup segala khabar angin yang mengatakan enam pemain daripada skuad tersebut sedang diintai kelab-kelab yang berpengkalan di Liga Thailand.

Laporan akhbar Harian Metro mengenai enam pemain yang diintai kelab Thailand.

Akhbar Harian Metro sebelum ini melaporkan Adib Zainudin, Adam Nor Azlin, Jafri Firdaus Chew dan Nor Azam Azih serta Syamer telah menarik minat kelab-kelab di sana selepas mempamerkan aksi memberangsangkan.

Selain itu, kedengaran juga ‘sembang-sembang kedai kopi’ di Pulau Pinang yang anak muda kelahiran Pulau Pinang itu telah dilamar oleh sebuah kelab besar, Chonburi FC. Chonburi kini berada di kedudukan ke-6 dan pernah menjuarai Liga Thailand pada musim 2007.

Syamer menyatakan sekiranya benar ada tawaran, dia sememangnya berminat untuk berkelana ke luar negara. Ianya pasti peluang terbaik buat dirinya untuk menimba ilmu di tempat orang.

Apabila ditanya oleh Semuanya BOLA berkenaan prestasinya dalam Sukan SEA tempohari, dia nyata tidak berpuas hati apabila gagal mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Aksi Syamer Kutty Abba ketika Sukan SEA 2017. Foto: Facebook FAM.

Gandingannya bersama Nor Azam Azih dilihat cukup serasi di jentera tengah walaupun pada awalnya, Syamer hadir sebagai pilihan kedua di belakang Amirul Hisyam Awang Kechik.

Barangkali sudah rezekinya, bermula sebagai pemain gantian, Syamer terus kekal sebagai pilihan utama Datuk Ong Kim Swee dan telah mempamerkan kelainan di posisi tengah bertahan buat skuad Malaysia.

Dengan fizikal yang tinggi dan besar, Syamer menggunakan skil sentuhan serta kawalan bola yang baik untuk membawa bola keluar dari kawasan sukar. Dia juga membantu jentera tengah untuk lebih tenang apabila diasak.

Justeru itu, pasca Sukan SEA 2017 tempohari, Semuanya BOLA telah memilih Syamer sebagai antara pemain yang telah menyerlah sepanjang temasya tersebut. Berikut adalah lima pemain paling menyinar di temasya Sukan SEA tempohari, baca di sini.

“Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan belajar untuk masa hadapan,” tambah pemain yang bakal menginjak ke usia 20 tahun pada 1 Oktober itu lagi.

Syamer merupakan pemain utama skuad Pulau Pinang musim ini. Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Walaupun banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang bersama skuad B-22 tempohari, Syamer menjelaskan yang dia sebenarnya tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaluinya.

“Kami bersama dalam masa yang singkat, intensiti permainan yang lebih tinggi dan kena sesuaikan diri dengan taktikal yang berbeza,” terang Syamer ketika ditanya mengenai cabaran ketika bersama skuad Sukan SEA.

Mengulas mengenai masa depannya bersama Pulau Pinang, Syamer mengakui masih berminat untuk kekal. Tetapi ia terpulang kepada perancangan pasukan kerana kontraknya akan berakhir pada hujung tahun ini.

Syamer telah memulakan karier bolasepaknya bersama skuad Piala Presiden Pulau Pinang pada musim 2014 sebelum dibawa beraksi di Slovakia bersama Harimau Muda C pada 2015. Sekembalinya ke Pulau Pinang pada 2016, Syamer mula mengorak langkah ke skuad utama.

Skuad Harimau Muda C kendalian Hassan Sazali Waras yang beraksi di Slovakia pada 2015. Foto: Laman Web FAM.

Pulau Pinang pada ketika ini sedang bergelut untuk kekal bersaing di Liga Super musim hadapan. Berada di dasar liga, Pulau Pinang perlu memenangi baki tiga perlawanan sambil mengharapkan pasukan yang bersaing bersama keciciran mata.

“Alhamdulillah, semua pemain masih percaya antara satu sama lain. Semua masih bersemangat menjalani latihan untuk baki saingan liga,” ujar Syamer apabila ditanya mengenai situasi di kem Pulau Pinang ketika ini.

Pemilik jersi bernombor 14 itu turut mengakui setiap perlawanan amat penting buat mereka ketika ini. Harimau Kumbang kini mengutip 12 mata, lima mata di belakang Sarawak. Pulau Pinang akan turun menentang T-Team pada 20 September ini.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN