Tan Sri Annuar Musa (TSAM) difahamkan yang perebutan jawatan kerusi Presiden KAFA kali ini akan melibatkan sekurang-kurangnya 4 penjuru selepas beliau menarik diri.
Beliau mengalu-alukan dasar demokrasi tetapi pada masa yang sama melihat dari sudut positif dan negatif. Beliau berkata:
“Besar kemungkinan berlaku perebutan jawatan Presiden KAFA. Ada baik dan ada buruknya.”
“Berdasarkan pengalaman, masalah (utama) KAFA adalah tidak cukup jumlah tajaan. Kos (operasi) lebih tinggi daripada hasil (yang masuk).”
Beliau kemudian meminta pihak-pihak yang bertanding untuk memikirkan usahasama di kalangan nama-nama yang bertanding.
Ini kerana mereka memiliki latar belakang kewangan yang baik serta ada tokoh yang memiliki hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat besar untuk menari tajaan.
Dari sudut kontra, calon-calon yang kalah mungkin akan terus lepas tangan kepada bola sepak Kelantan selepas ini. TSAM menambah:
“Jadi agak rugi kalau ada perebutan. Sebaiknya gembeling semua tenaga anak Kelantan yang mahu membantu. Pastikan TRW ada tajaan yang cukup. Baru keadaan diperbaiki.”
Beliau juga tidak mahu budaya cakap lebih banyak daripada kerja di dalam memajukan bola sepak Kelantan.
“Jangan, yang komen ramai tetapi yang tampil dan sumbang wang tak ada.”
TSAM juga berharap yang pemilihan kali ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama semua pihak dalam memberikan sinar baru kepada bola sepak Kelantan yang berhadapan dengan beberapa masalah terutama sekali kewangan.
“Saya harap ada titik muafakat yang baik. Jika tidak, ia ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”
“Jadilah kita Kelate yang padu, Kelate yang satu, Kelate yang maju.”