‘Transfer request’ ataupun permohonan pindah antara satu perkara yang paling tidak digemari oleh pengurus dan penyokong. Sebelum ini Inter Milan pernah menyatakan mereka hampir pasti mendapatkan Luka Modric selepas menawarkan pakej menarik untuk pemain itu.
Luka Modric kemudiannya menghantar permohonan pindah ini kepada Real Madrid. Namun ianya ditolak oleh kelab. Real Madrid memberikan amaran agar Inter Milan tidak mendekati pemain itu lagi ataupun mereka membawa kes itu ke mahkamah sukan.
Transfer request dalam bola sepak
Secara konsepnya, permohonan pindah ini hanya dibuat oleh pemain setelah kelab atau pengurus memutuskan pemain tersebut tidak dijual sama ada memang bukan untuk dijual ataupun harga yang ditawarkan tidak kena.
Setiap kali jendela perpindahan kita disuapkan dengan beberapa cerita tentang permohonan pindah ini.
Kenapa kelab ataupun penyokong akan kecewa dengan permohonan pindah ini?
Ianya adalah berkaitan dengan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani mereka. Sebelum ini Luis Suarez pernah menghantar permohonan pindah ke Arsenal.
Namun beliau tetap menghormati Liverpool yang enggan melepaskan beliau atas alasan masa dan harga yang tidak sesuai.
Namun ada sesetengah pemain akan memberontak apabila permohonan mereka tidak dipenuhi. Itu yang berlaku kepada Dmitri Payet, Ousmane Dembele dan Diego Costa yang enggan hadir ke sesi latihan.
Dalam kes Coutinho pada pra-musim 2017/18, beliau sebelum ini diberitakan sakit belakang. Tetapi yang mengejutkan beliau boleh berlatih bersama-sama skuad kebangsaan Brazil.
Ianya mungkin kerana beliau memberontak selepas 3 bidaan dari Barcelona ditolak.
Adakah surat permohonan ini sah?
Sebenarnya dalam konteks perundangan, permohonan pindah ini tidak sah namun ia adalah satu surat yang mewakili hati pemain tersebut. Dalam bola sepak ada disebut persetujuan bersama ataupun ‘mutual consent’.
Ia adalah salah satu cara mengekspresikan dirinya sudah tidak gembira di kelab dan lebih tertarik kepada tawaran luar. Pemain ini adalah manusia dan pengurusan bola sepak menguruskan manusia yang ada emosi. Begitu juga dengan pengurusan juga manusia. Itulah sebab permohonan pindah ini tetap diterima kelab dan diteliti, untuk dibincangkan dengan pemain.
Namun pada dasarnya pemain perlu menghormati apa yang mereka telah tandatangani dan persetujui sebelum ini.
Kecualilah ada pemain yang sudah memasukkan klausa perlepasan seperti mana Neymar yang masukkan klausa bernilai €222 juta di dalam kontrak mereka.
Klausa perlepasan berikan kuasa mutlak kepada pemain
Klausa perlepasan dianggap lawan sebenar kepada permohonan pindah ini. Kelab boleh menghiraukan sebarang tawaran yang tidak menepati angka pada klausa perpindahan.
Namun untuk memasukkan klausa perpindahan ini, kelab terpaksa menambah banyak pakej tambahan kepada pemain untuk memastikan kelab mendapat angka yang mereka mahukan, begitu juga pemain pula merasakan angka itu realistik. Kecualilah pemain itu memang jiwa raga dia untuk kelab.
Dalam situasi ini, kelab lain akan membeli klausa perlepasan tersebut. Jadi, pemain berhak untuk mendesak kelab semasa mereka menerima tawaran itu.
Namun dalam bola sepak pembelian klausa itu diaktifkan oleh pemain. Sebab itu akan ditulis, pemain akan ‘membeli’ klausa pelepasan itu – dengan keyakinan kelab yang mahukan beliau ada wang sebanyak itu untuk membayar.
Segalanya bergantung kepada pemain. Jika pemain merasakan mereka mahu kekal, maka kelab boleh menarik nafas lega.
Namun kelab masih boleh menjual pemain jika mereka nak walaupun tak cecah angka klausa perlepasan. Misalnya Ronaldo yang dilaporkan ada hampir €1 billion di Real Madrid. Namun tetap boleh dijual pada harga €108 juta.
Real Madrid mendakwa Ronaldo ada menghantar transfer request dan kelab merasakan €108 angka yang menguntungkan tanpa perlu meminta pemain membeli klausa perlepasan.
Permohonan pindah boleh dibakul sampahkan
Oleh itu, tiada peraturan dalam FIFA yang menyebut permohonan pindah ini perlu dipertimbangkan dan kelab berhak menolaknya. Kelab boleh menolaknya begitu sahaja tanpa perlu risau akan risiko pemain menggunakan surat tersebut untuk dibawa ke mahkamah sukan.
Kelab boleh menyimpan pemain tersebut walaupun dia tidak gembira sekalipun. Tetapi dalam soal perniagaan, untuk pemain yang kontrak kurang 2 tahun, banyak kelab akan cuba mendapatkan harga terbaik untuk menjual pemain tersebut.
Ini kerana, pemain tersebut berpotensi untuk tidak melanjutkan kontrak. Adalah lebih baik untuk mereka menjual pemain yang tidak gembira daripada tidak mendapat apa-apa kerana pemain itu akan menjadi ejen bebas.
Bagi pemain yang sudah menandatangani kontrak jangka panjang, kelab akan menggunakan hujah pemain tersebut masih ada kontrak yang sangat panjang dan bermaksud mereka setuju untuk menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang kelab.
Dalam kes Ousmane Dembele, pemain tersebut sudah tentunya bukan pada nilai €80 juta sekalipun. Tetapi CEO Dortmund menolak bidaan bernilai €80 juta kerana mereka tahu, Barcelona tengah ‘geram’ untuk mendapatkan pemain yang sudah memberikan bayangan mahu ke Camp Nou.
Bidaan kedua dilaporkan bernilai €100 juta juga ditolak. Barca akhirnya membeli pemain tersebut dengan nilai €150 juta.
Untuk pemain yang tidak ada klausa perlepasan seperti Dembele, kelab berhak untuk meminta harga yang dianggap tidak munasabah. Namun, tidak ramai pemain yang setuju dengan kontrak yang tanpa klausa perlepasan.
Pengaruh ejen dalam menasihatkan pemain ketika perbincangan kontrak memainkan peranan yang penting. Kelab sudah pastinya mahu meletakkan klausa perlepasan yang tinggi. Namun tidak semua pemain akan setuju.
Kepada yang masih tidak tahu apa itu klausa perlepasan. Ianya adalah merujuk kepada butiran nilai tebus harga yang membolehkan pemain itu dijual.
Di antara pengurus atau pemilik kelab, biasanya pemilik kelab yang diwakili oleh ‘board’ mereka akan menentukan sama ada mereka menerima atau tidak permohonan pindah tersebut.
Ini kerana, mereka yang akan dapat duit masuk. Mereka akan berbincang dengan pengurus dan memberitahu jika pemain itu perlu dijual atau tidak.
Jika pihak pentadbiran tertinggi menyatakan mereka memberikan kebebasan kepada pengurus untuk menjual atau tidak, maka pengurus biasanya akan berjumpa dengan pemain untuk memujuk mereka untuk kekal.
Kesan daripada penolakan permohonan pindah
Kesan dan impak kepada kelab dan pemain tetap akan ada. Ada sesetengah kelab akan menyah-aktif klausa bonus kesetiaan. Jadi, mana-mana pemain yang menghantar permohonan pindah tidak berhak mendapat bonus tersebut.
Dalam kes Neymar sebelum ini, Barcelona enggan membayar bonus kesetiaan itu kerana Neymar meminta pindah ke PSG.
Tetapi ada percanggahan kerana Neymar meminta bonus yang dipersetujui Barca di mana, jika beliau menandatangani kontrak baru dan kekal di kelab sehingga 1 Julai 2017, automatik beliau berhak mendapat bonus yang lebih €20 juta itu. €8.5 juta lagi milik ayahnya.
Neymar menyatakan yang bonus dijanjikan kepada beliau lebih kepada bonus ketika menandatangani kontrak baru (sign-on bonus) bukannya bonus kesetiaan.
Bonus kesetiaan ini terserah kepada kelab dan pemain dalam menentukannya ketika mereka menandatangani kontrak.
Dari sudut pemain, ramai pemain mengancam tidak mahu beraksi lagi dengan kelab mereka. Ada yang ponteng latihan membuatkan mereka dikenakan tindakan.
Ada antara mereka sengaja mewujudkan konflik dengan pengurus dan rakan sepasukan. Itu yang pernah berlaku ketika Dmitri Payet mendesak West Ham United menerima permohonan pindah beliau ke Marseille.
Namun ada juga pemain yang menghormati kelab mereka apabila transfer request mereka ditolak. Misalnya Coutinho di Liverpool dan Luka Modric di Real Madrid. Itu menunjukkan tahap profesional seseorang pemain itu berbeza.
Kenapa pemain menghantar permohonan pindah?
Kebiasaannya kerana hati mereka sudah berubah dan tertarik dengan kelab lain terutama sekali apabila tawaran datang daripada kelab yang lebih besar. Faktor tawaran gaji yang lebih lumayan serta pakej-pakej bonus yang mewah.
Selain itu, pemain mahu pergi ke kelab yang boleh menjanjikan mereka lebih banyak trofi dan aksi di peringkat lebih tinggi. Ada juga pemain menjadikan alasan peribadi termasuk faktor keluarga, ‘home-sick’ dan lain lagi.
Potensi mendapat kontrak baru
Namun begitu ada sesetengah pemain akan akur untuk kekal dan mengambil kesempatan untuk berunding semula kontrak sedia ada jika mereka kekal. Mereka mungkin akan meminta kenaikan gaji serta beberapa bonus lain.
Dalam kes Luis Suarez di Liverpool pada 2013 telah menandatangani kontrak baru pada 2013. Dalam kontrak tersebut dimasukkan syarat khas yang membolehkan beliau menyertai Barcelona pada musim akan datang.
Bagi pihak kelab pula, mereka boleh meletakkan satu angka minimum ataupun klausa perlepasan yang baru di dalam rombakan kontrak tersebut.
Luis Suarez sebelum itu ada klausa perlepasan £40 juta. Angka itu dinaikkan lagi untuk membolehkan kelab mendapat bayaran yang lebih tinggi.
Pada 2010, Wayne Rooney pernah menghantar permohonan pindah daripada Manchester United untuk menyertai Manchester City. Sir Alex Ferguson enggan melepaskan Rooney selepas sebelum itu melepaskan Tevez ke sana.
Apa yang berlaku, Sir Alex memujuk pemain itu untuk kekal dan Rooney telah diberikan gaji berganda yang menjadikan beliau pemain dengan bayaran gaji tertinggi ketika itu.
Kelab tidak ada pilihan lain kerana mereka tidak mahu kehilangan pemain utama dan Rooney berada dalam kemuncak prestasi beliau. Rooney bersetuju dengan kontrak baru dengan durasi 5 tahun.
Penyokong United agak marah dengan berita itu namun ianya dimaafkan selepas aksi gol kemenangan ke dalam derbi Manchester.
Kelab biasanya akan mempertimbangkan permohonan pindah ini berdasarkan:
1. Tempoh ia dihantar
2. Nilai bidaan
2 aspek ini penting untuk memastikan kelab ada duit dan masa yang cukup untuk mencari pengganti pemain tersebut.
Namun segalanya berbalik kepada asal – setiap pihak harus menghormati persetujuan yang telah mereka tandatangani. Jika tidak, itu yang membuatkan kelab yang inginkan pemain itu akan membayar angka yang lebih besar daripada yang sepatutnya.