Lupakan seketika kejayaan skuad B-23 kebangsaan menempah tiket separuh akhir Sukan SEA 2017, malam tadi. Malam ini, skuad kebangsaan kendalian Nelo Vingada akan turun menentang Syria dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Ini merupakan salah satu daripada tiga perlawanan persahabatan yang telah diatur oleh pengurusan skuad kebangsaan menjelang aksi kedua Kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong pada 5 September depan. Dua lagi aksi adalah menentang Macau (25 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos).
Syria pastinya tiada masalah untuk menyesuaikan diri untuk beraksi di Malaysia kerana telah berkampung sejak September tahun lalu untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, bagi Zon Asia.
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Stadium Hang Jebat, Melaka sudah tidak asing buat mereka kerana di situlah ‘rumah’ mereka.
Vingada menjelaskan tugasnya kini adalah untuk menyelaraskan gaya pengendaliannya dengan kemampuan para pemain.
Beliau tidak akan memaksa pemain untuk mengikut strategi, gaya permainan dan latihan ketat jika pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik.
“Menjadi tugas saya membawa penyelesaian tetapi saya perlu kenal pemain dengan lebih baik (jadi) saya telah pergi ke lebih 20 perlawanan untuk memilih pemain terbaik dan saya kenal mereka dengan baik.
“Perlawanan menentang Syria esok adalah sebahagian daripada proses untuk persiapan kami dan saya berharap kita dapat lakukannya dengan baik,” ujar Vingada kepada Bernama.
Vingada mengakui bahawa 11 pemain yang baru dipanggil ke sesi latihan pusat baru-baru ini telah menunjukkan persefahaman yang baik.
Ini akan memudahkan barisan kejurulatihan merencana corak taktikal berdepan Syria yang sememangnya memiliki pemain yang jauh lebih baik berbanding Malaysia.
“Saya boleh katakan kali ini (kesebelasan utama perlawanan dengan Syria) akan menjadi sedikit berbeza berbanding perlawanan menentang Lubnan kerana saya percaya pasukan terbaik berada di Lubnan tetapi kita mahu melihat persembahan pemain baharu dahulu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” jelas Vingada.
Keputusan menentang Syria ini akan dijadikan asas untuk Vingada melihat sejauh mana skuadnya mampu beraksi dan mengikut arahan yang diterapkan olehnya. Baginya lagi, ini adalah sebahagian persiapan untuk mencapai yang lebih baik dalam perlawanan selepas ini.
Malaysia belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam dua perlawanan yang dilangsungkan sepanjang tahun ini. Pada 22 Mac yang lalu, skuad kebangsaan diikat Filipina dengan keputusan seri tanpa jaringan sebelum tewas tipis 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun lalu dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2019.
Sementara itu, Syria pula telah beraksi lima perlawanan. Dalam tiga perlawanan terkini, skuad kendalian Ayman Al Hakeem ini mencatatkan keputusan seri iaitu ketika berdepan Oman (1-1), Jepun (1-1) dan China (2-2).
Kemenangan terakhir mereka adalah pada 23 Mac lalu ketika menumbangkan Uzbekistan dengan jaringan 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, di Stadium Hang Jebat.
Kedua-dua pasukan pernah bertembung sekali tiga tahun lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Syria dengan keputusan 3-0. Perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam.