SPAL: Legasi Bola Sepak Itali Yang Hampir Lenyap Kini Muncul Kembali

Pernahkah anda mendengar sebuah kelab bernama SPAL ataupun nama panjangnya Società Polisportiva Ars et Labor sebelum ini?

Jika di Malaysia, pastinya tidak ramai yang mengenali dengan kelab ini dan malah jika sekali imbas kita pastinya akan terus teringat kepada organisasi SPAD yang bermaksud Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat!

Sejarah awal

Mengikut sejarah, SPAL diasaskan pada tahun 1907 oleh seorang penganut Roman Katolik bernama Pietro Acerbis di Ferrara – sebuah bandar terletak di bahagian Timur Laut Itali.

Acerbis adalah seorang penggerak sebuah persatuan yang dinamakan Ars et Labor yang merupakan persatuan yang lebih menumpukan kepada aktiviti keagaaman dan kebudayaan.

Beliau kemudiannya menubuhkan sebuah pasukan bola sepak pada tahun 1912 dengan dinamakan sebagai Società Polisportiva Ars et Labor.

Pada asalnya kelab ini dikenali sebagai Associazione Calcio Ferrara dan terpaksa menunggu sehingga pada 16 Jun 1919 untuk perlawanan ra,mi pertama mereka.

Dari pemain ke presiden kelab

Bagi penyokong SPAL, pastinya mereka tidak akan lupa pada Paolo Mazza.

Beliau bermain untuk kelab tersebut sekitar tahun 1936-1939. Dengan kudrat beliau dan rakan sepasukan yang lain, SPAL berjaya meraih tempat ke Serie B.

Seusai Perang Dunia Kedua, Mazza dilantik menjadi presiden kelab.

Beliau membawa SPAL yang dibarisi dengan ramai pemain muda yang berbakat, antaranya Egisto Pandolfini yang kemudiannya menjadi lagenda Fiorentina, AS Roma dan Itali.

Lantas dengan itu, Mazza dikenali sebagai The Wizard oleh media di Itali.

Beliau merupakan presiden kelab yang paling lama memegang jawatan iaitu selama 30 tahun dari tahun 1946 hingga 1976.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1981 dan kini nama beliau diabdikan pada stadium yang digunapakai oleh SPAL hari ini, Stadio Paolo Mazza yang berkapasiti 19 ribu orang.

Stadio Paolo Mazza yang dinamakan sempena pemain dan presiden SPAL terdahulu iaitu Paolo Mazza.

Era Serie A

Tahun 1950 menyaksikan SPAL berjaya layak bermain di Serie A buat kali pertama dalam sejarah kelab dengan menjuarai Serie B pada musim sebelumnya.

Zaman kemuncak kelab berlaku pada musim 1959/60 dan 1960/61 di mana mereka berjaya menduduki tangga kelima liga, dibelakang Juventus, AC Milan, Inter Milan dan Fiorentina.

Musim 1961/62 pula menyaksikan SPAL kempunan untuk merangkul Coppa Italia apabila tewas di tangan Napoli di perlawanan akhir.

Mezza yang masih memegang jawatan presiden kelab gemar untuk mengasah bakat pemain muda antaranya ialah Oscar Massei yang sehingga kini merupakan antara lagenda yang menjadi ingatan untuk SPAL.

Setelah gagal di perlawanan akhir Coppa Italia pada musim sebelumnya, nasib SPAL semakin parah apabila tersingkir ke Serie B setelah 13 musim bermain di Serie A.

Namun begitu, mereka berjaya naik semula ke Serie A pada musim 1965/66. Pada ketika inilah, bakat seorang pemain muda yang bernama Fabio Capello dinaikkan daripada pemain peringkat remaja kepada pemain senior mula digilap.

Beliau bermain selama 3 musim untuk SPAL sebelum berhijrah ke Roma.

Fabio Capello merupakan antara produk keluaran SPAL sebelum ke AS Roma.

Zaman gelap

Dengan perubahan format liga dengan mengurangkan jumlah pasukan daripada 18 kepada 16 bermula pada musim 1968/69, SPAL diturunkan ke Serie B pada musim tersebut.

Lebih parah apabila SPAL sekali lagi turun divisyen kali ini ke Serie C pada musim berikutnya. Semenjak itu, SPAL acapkali turun naik divisyen diantara Serie B dan Serie C sehinggalah memasuki era millennium.

Lebih perit, pada musim ke 1989/1990 apabila mereka tersingkir ke Lega Pro pada ketika itu. Segala usaha untuk membawa SPAL pulang semula ke Serie A tampak gagal.

Hampir bankrap

Beberapa musim lepas, kita dikejutkan dengan berita sebuah kelab termashyur di Itali iaitu Parma diturunkan ke Serie D akibat disahkan muflis danSPAL juga pernah mengalami nasib yang sama.

Namun ianya bukannya berlaku sekali tetapi 2 kali. Musim 2004/05 merupakan musim pertama mereka dilanda masalah kewangan dan terpaksa bermain di divisyen Lega Pro.

Musim 2012/13 pula menyaksikan kelab ini sekali lagi dihimpit masalah yang sama dan diturunkan ke Serie D.

Titik kebangkitan semula SPAL bermula apabila sebelum musim 2013/14 bermula apabila pemilik kelab iaitu Roberto Benasciutti membuat perjanjian dengan keluarga Colombarini untuk menggabungkan SPAL dengan Giacomense.

Giacomense merupakan sebuah kelab kerdil yang bermain di Serie D. Perjanjian ini di buat apabila SPAL sekali lagi berkedudukan hampir muflis.

Berwajah baharu

Bermula daripada penggabungan tersebut, SPAL mula mengorak langkah dengan pantas.

Dalam masa 4 tahun sahaja, kelab ini telah pun bermain di peringkat tertinggi di Itali. Musim 2013/14 mereka bermain di Lega Pro dan kemudian mereka bemain pula di dalam Serie C untuk 2 musim sehingga tamat musim 2015/16 untuk naik ke Serie B.

Mereka layak secara automatik ke saingan Serie A pada musim 2017/18 dengan merangkul kejuaraan Serie B.

Adakah musim pertama mereka ini di Serie A setelah menanti hampir separuh abad bakal diwarnai dengan elemen kejutan sepertimana RB Leipzig membuat kejutan di Bundesliga musim lalu?

Untuk persiapan pasukan pada musim baharu ini, mereka membawa masuk penyerang yang tidak asing lagi dalam kancah Serie A iaitu Marco Borriello.

Selain itu mereka juga membawa masuk pemain antarabangsa Poland iaitu Bartosz Solomon. Kedua-dua pemain ini dipinjamkan untuk semusim dari kelab Cagliari.

Pada perlawanan pertama mereka yang berlangsung awal pagi tadi menentang Laziodi tempat lawan, mereka berjaya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan.

Ia adalah satu permulaan yang baik untuk sebuah kelab seperti SPAL ini.

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan saudara Hisyam. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Sumber: 

  1. SPAL Ferrara (2017): Le origini: il nome Spal e i colori dei Salesiani; http://www.spalferrara.it/chi-siamo/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN