Jika anda memberitahu kami pada Ogos 2016 bahawa Neymar akan berpindah dari Barcelona ke PSG, kami pasti akan mentertawakan anda. Anda juga akan mentertawakan kami jika kami memberitahu perkara sama pada Ogos 2016.
Tetapi dengan duit yang ‘dipam’ oleh negara Qatar sendiri kepada PSG, segalanya mungkin. Malah Arsene Wenger sendiri sudah menjangkakannya pada tahun lepas.
Dan pada bulan ini, Neymar sah berpindah dari Barcelona ke PSG dengan nilai perpindahan sebanyak €222 juta. Bintang Brazil ini turut dilaporkan akan menerima gaji €600,000 seminggu selepas ditolak siap-siap dengan cukai.
Kini tanpa Neymar, Barcelona perlu mencari pengganti. Dan berdasarkan data statistik yang dibekalkan oleh OPTA Sports, ada 9 pemain yang mempunyai gaya permainan paling hampir dengannya.
Menurut OPTA, semua 9 pemain ini dibandingkan dengan Neymar mengikut 5 parameter berikut – umur, markah jaringan, markah pergerakan bola, posisi dan markah persamaan (dengan Neymar). Berikut merupakan data Neymar:
Umur*: 25
Markah jaringan**: 0.94
Markah pergerakan bola***: 4.69
Posisi****: 98%
Markah persamaan*****: n/a
* Semakin muda, semakin bagus
**Lebih Markah jaringan diukur dari data expected goals + expected assist per 90 minutes (XG+XAOP/90). Semakin tinggi, semakin bagus.
*** Markah pergerakan bola dikira dari data progressive passes or runs per 90 minutes (PPR/90). Semakin tinggi, semakin bagus.
**** Posisi dikira berdasarkan jumlah masa dihabiskan bermain di posisi penyerang sayap. Semakin tinggi, semakin bagus.
***** Semakin tinggi, semakin hampir dengan Neymar
9 pemain berikut akan dibandingkan berdasarkan betapa hampir (atau tingginya) markah mereka dengan Neymar.
1. Gareth Bale (Real Madrid)
Umur: 28
Markah jaringan: 0.87
Markah pergerakan bola: 3.76
Posisi: 87%
Markah persamaan: 3.19
Dengan status Gareth Bale sendiri sebagai pemain Real Madrid, kebarangkalian Bale untuk masuk ke Barcelona boleh dikatakan tiada langsung – walaubagaimana hampir pun Bale dengan Neymar.
2. Angel di Maria (PSG)
Umur: 29
Markah jaringan: 0.67
Markah pergerakan bola: 5.72
Posisi: 94%
Markah persamaan: 4.19
Dengan sejarahnya sebagai bekas pemain Real Madrid dan kini berkontrak dengan PSG, kebarangkalian bagi di Maria untuk masuk Barcelona juga boleh dikatakan tiada langsung.
3. Alexis Sanchez (Arsenal)
Umur: 28
Markah jaringan: 0.83
Markah pergerakan bola: 5.79
Posisi: 71%
Markah persamaan: 4.24
Dengan Arsene Wenger menegaskan Alexis Sanchez akan kekal sehingga kontraknya tamat pada tahun 2018, kebarangkalian beliau akan menggantikan Neymar di Barcelona juga tipis.
Tambahan pula, kami kurang pasti sama ada penyerang Chile ini mahu kembali semula ke Barcelona.
4. Ousmane Dembele (Borussia Dortmund)
Umur: 20
Markah jaringan: 0.57
Markah pergerakan bola: 4.64
Posisi: 67%
Markah persamaan: 4.38
Ketika artikel ini ditulis, Barcelona sedang membida Ousmane Dembele. Dembele pula terang-terang memberitahu pada tahun 2016 bahawa Barcelona adalah ‘kelab impiannya’.
Dembele pula masih muda. Ini membuatkan pembelian Dembele untuk menggantikan Neymar sebagai pembelian yang paling berisiko rendah kerana beliau masih mempunyai nilai jual yang tinggi jika tak menjadi.
Lagipun sebagai pemain muda, Dembele pastinya tak kisah menjadi watak ketiga di belakang persona Lionel Messi dan Luis Suarez.
5. Lorenzo Insigne (Napoli)
Umur: 26
Markah jaringan: 0.56
Markah pergerakan bola: 4.44
Posisi: 96%
Markah persamaan: 4.80
Dengan statusnya sebagai anak jati Naples dan disayangi oleh penyokong setia Napoli, Lorenzo Insigne hampir pasti tidak akan berpindah ke mana-mana kelab. Kontraknya di Napoli pula masih berbaki 5 tahun sehingga 2022.
6. Douglas Costa (Juventus)
Umur: 26
Markah jaringan: 0.47
Markah pergerakan bola: 4.81
Posisi: 89%
Markah persamaan: 5.17
Douglas Costa baru berpindah kelab dari Bayern Munich ke Juventus pada musim panas 2017 baru-baru ini. Jadi perpindahan ke Barcelona adalah mustahil.
7. Eden Hazard (Chelsea)
Umur: 26
Markah jaringan: 0.45
Markah pergerakan bola: 5.50
Posisi: 85%
Markah persamaan: 5.19
Antonio Conte awal-awal memberi amaran kepada Barcelona bahawa ‘Chelsea bukanlah kelab menjual’ berikutan khabar angin Hazard yang akan menggantikan Neymar.
Hazard pula kelihatan gembira dan fokus dengan Chelsea. Kami tidak melihat beliau akan keluar dari Chelsea dalam masa terdekat.
8. Dries Mertens (Napoli)
Umur: 30
Markah jaringan: 1.01
Markah pergerakan bola: 3.40
Posisi: 38%
Markah persamaan: 5.29
Pada usia 30 tahun, pembelian Dries Mertens bukanlah sesuatu yang bijak buat Barcelona. Lagipun Mertens lebih banyak menghabiskan masanya di Napoli bermain sebagai penyerang bantuan di Napoli – berbanding penyerang sayap.
9. Phillipe Coutinho (Liverpool)
Umur: 25
Markah jaringan: 0.58
Markah pergerakan bola: 6.16
Posisi: 81%
Markah persamaan: 5.34
Dari segi statistik, Phillipe Coutinho adalah calon paling terbaik untuk menggantikan Neymar. Penyerang sayap Brazil ini bukan sahaja boleh menjaringkan gol seperti Neymar, malah mempunyai markah pergerakan bola yang lebih baik daripada Neymar sendiri.
ESPN Brazil melaporkan Coutinho berminat dengan tawaran bermain di Barcelona. Tetapi sehingga ada media yang lebih berkredibiliti melaporkan berita sama, kami tidak akan mengambil berita ini dengan serius.
Tambahan pula, Liverpool sendiri berkeras tidak akan menjual pemain paling berharga mereka menjelang musim liga yang bakal bermula nanti.
Rumusan
Jadi berdasarkan 9 calon ini, ada 2 calon yang sedang diburu Barcelona iaitu Ousmane Dembele dan Phillipe Coutinho.
Berdasarkan potensi dan situasi sekarang, Ousmane Dembele jelas – bagi kami – calon yang paling bagus untuk menggantikan Neymar di Barcelona.
Dembele mungkin belum lagi setaraf dengan Neymar dari segi kualiti buat masa ini. Tetapi keualiti Messi dan Suarez sahaja sudah cukup sebenarnya untuk membawa cabaran Barcelona.
Sumber:
1. Simon Collings (2016). Arsenal manager Arsene Wenger says £200m transfer is just around the corner. Telegraph UK. http://www.telegraph.co.uk/football/2016/08/12/arsenal-manager-arsene-wenger-says-200m-transfer-is-just-around/
2. Alex Young (2017). Neymar’s wages: Salary Brazilian will make at PSG means he’ll earn £3,200 an hour!. Telegraph UK. http://www.standard.co.uk/sport/football/neymars-wages-salary-brazilian-will-make-at-psg-means-hell-earn-3200-an-hour-a3602831.html
3. Mattias Karen (2017). Arsene Wenger: Alexis Sanchez will ‘accept’ he must see out Arsenal deal. ESPNFC. http://www.espnfc.com/story/3171359/arsene-wenger-alexis-sanchez-will-accept-he-must-see-out-arsenal-contract
4. Danny Gallagher (2016). Borussia Dortmund starlet Ousmane Dembele: ‘I want to play for Barcelona one day’. Daily Mail. http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-3832339/Borussia-Dortmund-starlet-Ousmane-Dembele-reveals-Barcelona-dream-admits-isn-t-ready-yet.html
5. Jordi Blanco (2017). Barcelona ‘amarra’ al brasileño Coutinho. ESPN Brasil. http://www.espn.com.mx/futbol/espana/nota/_/id/3441903/barcelona-amarra-al-brasileno-coutinho