Sebut tentang Javier Zanetti, hanya ada satu perkara yang berada dalam fikiran peminat bola sepak – Inter Milan.
Sepanjang tempoh 19 tahun karier Zanetti di Inter Milan, beliau telah memenangi maksimum semua trofi yang boleh dimenangi oleh seorang pemain bola sepak di Itali.
Trofi Serie A, Coppa Italia, Supercoppa Italiana, UEFA Champions League, UEFA Cup dan FIFA Club World Cup – semuanya pernah dimenangi oleh Zanetti.
Jadi secara semulajadinya, tiada sebab bagi Zanetti untuk rasa ‘gagal dan menyesal’ dalam kariernya. Tetapi menurut pendedahan Zanetti, terdapat satu insiden yang membuatkan beliau terasa begitu. Gagal dan menyesal.
Kagum jumpa Adriano
Menurut Zanetti, saat pertama beliau mula mengesan ada sesuatu yang unik dalam diri Adriano sebagai penyerang adalah ketika Inter Milan menentang Real Madrid dalam perlawanan persahabatan pada tahun 2001.
“Kami bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Real Madrid. Dia (Adriano) menjaringkan gol cantik. Saya berkata kepada diri sendiri, inilah Ronaldo baru.”
“Dia ada semuanya – kekuatan, teknik, skil menggelecek, kelajuan, rembatan dan tandukan.”
Sebagai salah satu pemain senior di Inter Milan pada 2001, Zanetti merasakan salah satu tanggungjawabnya adalah membimbing pemain muda seperti Adriano.
“Adri berasal dari favelas. Itu yang membuatkan saya takut. Saya tahu sangat bahaya favelas di Brazil. Kerana bila anda miskin, kemudian tiba-tiba kaya – situasi hidupnya boleh menjadi rumit.”
“Setiap hari saya tanya dia, pergi mana dan buat apa. Bukan apa, saya takut dia akan menglibatkan diri dalam masalah.”
Adriano rapat dengan bapanya
Zanetti perasan Adriano mula berubah selepas kematian bapanya.
“Adri rapat dengan bapanya. Pada satu hari ketika kami bermain dalam TIM Trofeo, dia dapat panggilan telefon dari Brazil yang memberitahu bapanya telah meninggal dunia.”
“Saya nampak sendiri beliau meratapi kematian bapanya di bilik. Dia baling telefon dan mula menjerit. Tak pernah saya dengar orang menjerit sekuat itu. Bulu roma saya masih menegak hingga ke hari ini setiap kali terkenang hari itu.
Sejak hari Adriano kehilangan bapanya, Zanetti dan presiden Inter Milan, Massimo Moratti menjaga penyerang Brazil itu seperti ahli keluarga sendiri.
2 tahun selepas kematian bapanya pada 3 Ogos 2004, Adriano mencapai kemuncak prestasinya. Tetapi bagi Zanetti sejak panggilan telefon dari Brazil pada 2004 itu, Adriano bukan pemain sama lagi.
Adriano menjaringkan 47 gol dalam 89 penampilan sepanjang musim 2004/2005 dan 2005/2006. Mungkin bagi dari perspektif peminat dan wartawan, statistik tersebut sudah cukup bagus untuk Adriano. Tetapi bagi Zanetti, Adriano boleh melakukan lebih lagi.
“Selepas kematian bapanya, Adri terus bermain bola, menjaringkan gol dan mendedikasikan gol kepada bapanya yang melihat dari ‘atas’. Tetapi sejak panggilan telefon tersebut, Adriano berubah.”
Bekas kapten Inter Milan tersebut turut teringat komen Ivan Cordoba ketika berparti dengan Adriano pada satu malam.
“Ivan Cordoba cakap kepada Adriano, ‘Adri, awak bagaikan gabungan Ronaldo dan Ibrahimovic. Kau tak sedarkah kau boleh jadi pemain terbaik di dunia?”
“Kami tak berjaya merawat penyakit kemurungan yang Adri hadapi selepas kematian bapanya. Dan itulah kegagalan besar sepanjang karier saya. Saya masih kecewa. Saya rasa tak mampu berbuat apa-apa.”
Sumber:
1. Twitter (2017). @SempreIntercom. https://twitter.com/hashim0307/status/893796455126884353
2. Inter Milan (2005). “Adriano: quaranta gol in 12 mesi” (in Italian). http://www.inter.it/it/news/28188/adriano-quaranta-gol-in-12-mesi