Selangor menang 2-1 ke atas seteru mereka dalam era moden, JDT. Satu perlawanan yang berkualiti daripada kedua-dua pasukan.
Permulaan
Selangor menggunakan sistem 3-4-1-2 dengan meletakkan Syahmi Safari sebagai no.10, dan menggandingkan Amri Yahyah dan Forkey di serangan utama.
JDT kekalkan pasukan terbaik mereka dengan formasi terkuat mereka 4-3-3. Calon pemain terbaik bulan Julai, Fadhli Shas beraksi di pertahanan.
JDT bermula dengan intensif
JDT terus menekan Selangor dengan intensiti yang tinggi. Mereka mencipta peluang gol tidak sampai 5 minit perlawanan dimulakan.
Selangor jelas bergelut dengan intensiti pasukan JDT ini. Seperti sebelum ini, serangan JDT berpaksi kepada Natxo Insa di tengah. Cabrerra juag memainkan peranan penting di bahagian atas.
Selangor mengambil masa yang agak lama untuk mengurangkan impak tekanan oleh JDT. Namun mereka berjaya melakukannya selepas minit ke-25. JDT dineutralkan oleh Selangor.
JDT tetap berjaya masuk ke bilik persalinan dengan gol pendahuluan gred A daripada Naxto Insa. Terdapat isu ruang terlalu besar diberikan kepada pemain ini.
Ia masalah biasa di dalam Liga Malaysia kerana kurangnya ancaman terus daripada luar kotak penalti daripada pemain-pemain di dalam liga kita.
Ada beberapa pemain efektif melakukan jaringan jarak jauh seperti Baddrol Bakhtiar, kerap diberikan ruang besar. Natxo Insa punyai segala masa dan ruang yang beliau mahukan untuk melakukan cubaan tepat.
Sistem serangan Selangor
Menjadikan Syahmi Safari sebagai no.10 adalah idea yang agak mengejutkan. Pemain ini lemah dalam mengatasi garisan pertahanan. Beliau terlalu mudah untuk ofsaid.
Syahmi masih perlu meningkatkan kreativiti beliau sebagai pemain yang bermain di kawasan poket. Namun paling menarik adalah Selangor berjaya meneutralkan asakan JDT dan berkesan untuk melangkau sistem pertahanan JDT yang sangat tinggi.
Cuma masalah Selangor adalah tidak cukup tajam di hadapan gol. 3 peluang yang berpotensi gol pada separuh masa pertama gagal disempurnakan oleh Selangor.
Selangor semakin positif untuk menekan JDT di kawasan mereka. Lihat struktur di bawah ini, ketika fasas selepas minit ke-25, Selangor bermain baik.
Ralat taktikal oleh Morais
Kali ini pengendali JDT ini ada isu ralat taktikal (tactical error). Beliau gagal memperbaiki sistem garisan pertahanan tinggi yang rapuh.
Tiada usaha untuk mengarahkan garisan itu diturunkan sedikit. Ini kerana Selangor jelas ada kemampuan untuk mengatasi garisan itu.
Morais cuba memenangi perlawanan ini dengan sistem 4-3-3 yang digerakkan menjadi 3-4-3 bila menyerang dengan memasukkan Junior Eldstal.
Sebelum ini, Morais gemarkan sistem 4-2-4 sebagai plan B dan ia sudah beberapa kali membantu mereka bangkit dengan bergaya.
Eksperimental bek bertiga JDT gagal. Eldstal adalah satu pertukaran agak lemah dari segi keperluan taktikal.
Berbeza dengan P. Maniam, pemain simpanan beliau memberikan perbezaan dengan berjaya menjadi match winner iaitu Andik Vermansyah.
Pertukaran pelan taktikal Morais ini lebih kepada meningkatkan kualiti di bahagian serangan. Namun tidak memperbaiki aspek pertahanan.
Dari segi serangan, mereka menjadi lebih intensif dengan pembentukan 3-4-3 ketika menyerang. Harus diakui ada beberapa pemain tidak bermain dalam prestasi terbaik, terutama sekali Mohamed Ghaddar.
Ghaddar terpaksa dikeluarkan kerana tidak efektif.
Afiq Fazail jelas harus meningkatkan lagi mutu permainan beliau. Adakah kualiti Natxo Insa membuatkan pemain ini seperti hilang keyakinan diri untuk menjadi jeneral di kawasan no.6. Beliau adalah pivot!
Ini gambaran kepada posisi dominan JDT dalam perlawanan ini dengan 2 titik dinamik dalam pasukan. Selangor cuba menutup 2 pemain ini dan mereka berjaya mengurangkan impak Cabrera dan Natxo daripada terlalu dominan.
Penilaian
Selangor berhak menang kerana disiplin pertahanan mereka berbanding dengan JDT. JDT pasukan yang lebih baik dari segi serangan dan kawalan di tengah padang, tetapi mereka tidak berdisiplin ketika bertahan.
Selangor bertahan sebagai unit untuk mengekang pemain-pemain JDT yang berteknikal.
Berlaku isu bocor di garisan pertahanan tinggi yang kritikal oleh JDT yang dimanipulasi oleh Selangor, terutama sekali dengan peningkatan ketara pada Amri Yahyah pada separuh masa kedua.
Selangor selayaknya menang perlawanan, JDT selayaknya Juara Liga Super 2017.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Norazlan Razali (Selangor)
Antara aksi terbaik beliau adalah ‘save’ di atas garisan yang boleh dikira point blank save. Melakukan banyak aksi menyelamat.
Secara kasarnya, ada beberapa pemain yang berhak mendapat pemain terbaik termasuk, Ugo Ukah, dan Amri Yahyah.