Kuala Lumpur menunjukkan taring dalam misi mereka untuk mencengkam kedudukan teratas Liga Perdana seterusnya memperoleh tempat ke Liga Super pada musim hadapan.
Lawan mereka dalam perlawanan ke-16 adalah Kuantan FA yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.
Apa yang menarik mengenai perlawanan ini adalah 9 gol terhasil dari perlawanan ini sahaja. Ya, 9 gol!
Kuala Lumpur memperoleh 6 gol mereka hasil dari 3 penjaring berbeza apabila Muhammad Hafiz menjaringkan 1 gol pada minit ke-17 dan Paulo Josue menjaringkan 2 gol pada minit ke-53 dan juga minit ke-80.
Baki 3 gol Kuala Lumpur terhasil menerusi Guilherme De Paula yang menjaringkan hatrik pada perlawanan tersebut.
Gol-gol beliau dijaringkan pada minit ke-69, minit ke-78 dan juga pada minit ke-84 menerusi sepakan penalti.
Manakala 3 gol dari pasukan Kuantan FA dijaringkan oleh Ljubo Baranin dan juga Abdul Malik Mat Ariff.
Gol pertama Kuantan FA terhasil menerusi penyudah Baranin pada minit ke-26 untuk menyamakan jaringan yang terhasil oleh Kuala Lumpur.
Baranin menambah gol kedua beliau dengan menjaringkan gol pada minit ke-86 sebelum Malik menjaringkan gol tunggalnya 3 minit kemudian.
Kemenangan Kuala Lumpur itu berjaya membawa mereka kembali ke puncak Liga Perdana selepas kedudukan itu dipintas oleh Negeri Sembilan untuk beberapa jam pada petang semalam.
Negeri Sembilan diikat seri 0-0 menentang MISC-MIFA di Tanjong Malim.
Hasil dari keputusan seri itu membuatkan mereka (Negeri Sembilan) kehilangan semetara tempat ke Liga Super apabila Terengganu memintas Negeri Sembilan selepas berjaya menumbangkan Perlis 4-0 di laman sendiri.
Selepas 16 perlawanan, 6 pasukan teratas Liga Perdana telah memperoleh purata minimum 22 mata untuk kekal selamat dalam Liga Perdana.
Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, PKNP FC, JDT II dan UiTM FC semuanya telah memperoleh minimum 22 mata untuk terus kekal di Liga Perdana.
Jika anda tidak faham mengenai minimum 22 mata tersebut, anda boleh baca artikel ini: Berapakah Mata Diperlukan Pasukan Liga Super Untuk Mengelak Dari Tersingkir Ke Liga Perdana?
Berikut merupakan keputusan penuh perlawanan Liga Perdana ke-16:
- MISC-MIFA 0-0 Negeri Sembilan
- Kuantan FA 3-6 Kuala Lumpur
- Terengganu 4-0 Perlis
- PDRM 1-1 ATM
- PKNP FC 1-2 JDTII
- UiTM FC 0-1 Sabah