Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia, FMLLP membidas pihak yang mempersoalkan badan itu atas hukuman larangan dan sekatan perpindahan pemain di Liga Malaysia.
Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman media sosial Facebook agensi bola sepak itu sebentar tadi
Menurut FMLLP, hukuman larangan pendaftaran di dalam sukan bola sepak oleh badan penganjur bukanlah amalan asing.
FMLLP turut merujuk kepada kelab-kelab besar di luar negara yang pernah diambil tindakan serupa untuk pelbagai kesalahan.
Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid sebagai conyoh, adalah kelab La Liga yang telah diambil tindakan oleh UEFA atas kesalahan berkaitan etika pembelian pemain di bawah umur 18 tahun dalam tempoh 3 tahun ini.
Selain daripada La Liga, beberapa pasukan lain seperti Blackburn Rovers, Leeds United, Nottingham Forest, Portsmouth dan Chelsea adalah antara pasukan yang pernah dilarang untuk mendaftarkan pemain oleh The Football League dan juga Premier League.
The Football League dan juga Premier League adalah entiti yang sama seperti FMLLP di Malaysia.
Beberapa pasukan besar dan ternama lain seperti AS Roma, Glasgow Rangers, Port Vale dan juga Watford turut pernah diambil tindakan yang sama.
FMLLP turut menegaskan bahawa kegagalan pasukan yang bertanding untuk menjaga obligasi kewangan masing-masing, tidak harus dipertanggungjawabkan kepada pihak lain termasuklah kepada FMLLP dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini adalah kerana perbelanjaan mengurus pasukan ditentukan oleh pengurusan pasukan masing-masing. Oleh kerana itu, jika terdapat kegagalan dari segi kewangan, ia seharusnya dipertanggungjawabkan kepada pengurusan persatuan terbabit.
FMLLP juga kesal dengan pihak yang merumuskan pasukan Kelantan akan jatuh ke Liga Perdana semata-mata kerana kegagalan pasukan terbabit untuk mendaftarkan seorang pemain import.
FMLLP berpendapat kenyataan tersebut seoah-olah menidakkan kekuatan dan pasukan Kelantang yang dikenali dengan semanat berpasukan yang tinggi, punyai penyokong setia yang tegar dan barisan pemegang taruh yang sentiasa memberi komitmen kepada bola sepak di negeri tersebut.
Sambil menjelaskan bahawa pasukan bola sepak Kelantan tetap dihormati oleh semua pihak yang terlibat dalam bola sepak di negara ini, FMLLP berharap pasukan Kelantan akan terus kekal sebagai sebuah pasukan yang berjaya di dalam kancah bola sepak di Malaysia.
Pada pagi tadi, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memuat naik satu kenyataan di laman sosial Facebook yang menimbulkan tanda tanya di kalangan pengikut bola sepak tempatan.
Kenyataan tersebut mendakwa seolah-olah FMLLP dan FAM berniat memusnahkan keupayaan pasukan Kelantan sekaligus akan menghumban gergasi Pantai Timur itu ke Liga Perdana pada musim hadapan.
Sumber:
1. FMLLP, Facebook (2017): Hentikan Menyalahkan Pihak Lain; https://www.facebook.com/footballmalaysiallp/posts/1546879612051205:0