Ikuti 10 Kata-Kata Karl-Heinz Weigang Dan Memori Di Kancah Liga Malaysia

Karl-Heinz Weigang adalah lagenda bola sepak Malaysia dengan caranya yang tersendiri. Bersama skuad negara, beliau pernah membimbing Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Kerajaan Malaysia kemudiannya memboikot penyertaan ke acara sukan terulung dunia itu. Weigang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2003.

Selain sinonim dengan kejayaan bersama Perak FA, Weigang turut pernah menjawat jawatan ketua jurulatih bersama pasukan Johor sekitar tahun 2005-2006.

Tidak ada cara lain untuk mengungkap kehilangan Weigang. Tiada ada definisi untuk menceritakan kisah seorang lelaki yang cintakan bola sepak khususnya di Malaysia.

Kami bawakan kepada anda 10 kata-kata Karl-Heinz Weigang untuk menggamit kembali memori anda ketika mendiang mewarnai kancah bola sepak tanah air.

1. Menjelang Perlawanan Akhir Piala Malaysia (Disember, 1998)

“Dua pasukan yang tidak diberikan sebarang harapan mara ke akhir mengejutkan semua peminat. Perlawanan akhir malam esok akan membuktikan era baru bola sepak Malaysia bakal bermula.”

Perak melayakkan diri ke perlawanan akhir melalui perlawanan penentuan. Manakala lawan di final, Terengganu mara sebagai juara Liga Perdana 2.

Pertemuan kedua-dua pasukan menyingkirkan pasukan pilihan seperti Selangor (juara Piala Malaysia 1995, 1996, 1997) dan gergasi Borneo pada ketika itu, Sabah, Sarawak dan juga Brunei.

2. Selepas Keputusan Pergantunggan Dan Denda Daripada FAM (Oktober, 1999) 

“Saya sudah nekad akan berundur daripada membimbing pasukan Perak hujung musim ini, tetapi biarlah ia berakhir dengan kejayaan.”

Weigang berkata demikian sebagai respon kepada hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam perbicaraan terpanjang dalam sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun, Weigang kekal untuk semusim lagi untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua bersama Perak.

3. Perang Psikologi Selepas Pusingan Pertama Separuh Akhir Piala Malaysia (Oktober, 2000)

“Gol kedua pasukan Selangor sepatutnya tidak diperolehi. Tetapi apa boleh buat, pemain saya tidur.”

Pemain Perak nyata mendapat motivasi dari kata-kata ini. Di separuh akhir kedua di Ipoh, Perak bangkit menewaskan Selangor 3-0 untuk mara ke final dengan agregat 4-2.

Khalid Jamlus dan V. Saravanan menjaringkan satu gol setiap seorang. Perak muncul juara Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada musim tersebut.

4. Weigang Juga Bermain Golf Dan Tenis (Julai, 2001)

“Sebagai jurulatih asing, saya perlukan tempat untuk bermain tenis dan bermain golf tanpa diganggu. Sebab itu saya meminta keahliah Kelab Golf Diraja Perak.”

Weigang menjelaskan tuntutan dari butiran kontrak yang dipohon kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

PAFA dikatakan menawarkan gaji yang lumayan. Namun kontrak berkenaan menolak beberapa permintaan Weigang. Antaranya iala nombor pendaftaran dengan satu angka dan keahlian Kelab Diraja Perak?

Jelas PAFA dan Weigang tidak dapat mencapai kata sepakat.

5. Provokasi Ala Mourinho (Jun, 2005)

“Saya gembira kerana mendapat satu mata dan Terengganu hilang dua mata. Pergi tanya perasaan mereka (Terengganu).”

Karenah Weigang dalam perlawanan itu mencetuskan kemarahan penyokong pasukan Terengganu. Johor berjaya mengikat pasukan pantai timur itu dengan jaringan 3-3 walaupun beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun ia adalah perang psikologi jurulatih berbangsa Jerman tersebut. Johor tewas 0-1 kepada Terengganu dalam saingan Pusingan Ke-2 Piala FA di Larkin.

Perlawanan timbal balik akan dilangsungkan selang beberapa hari di stadium yang sama selepas perlawanan liga tersebut.

Jelas taktikal Weigang tidak menjadi apabila kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 0-0 dan Terengganu mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 1-0.

 

6. Weigang Raikan Hari Lahir (Ogos, 2016)

“Memang istimewa malam ini. Jurulatih mana yang tidak gembira melihat gol-gol jaringan yang dihasilkan melalui gerakan cantik dan menarik? Hadiah paling bermakna sempena harijadi saya.”

Weigang jelas gembira ketika ditemuramah oleh wartawan selepas kemenangan 4-1 ke atas Pulau Pinang di Ipoh.

Pemain-pemainya juga telah berikrar sejak awal lagi untuk melakar kemenangan bergaya dalam saingan Liga Super itu sebagai hadiah kepada jurulatih berkenaan.

Weigang menyambut harijadinya yang ke-81 pada malam kemenangan tersebut.

7. Bola Kampung ( September, 2016)

“Kami tidak bermain langsung. Ini bukan bola sepak. Kedua-dua pasukan bermain bola sepak kampung walaupun mereka ini pemain profesional yang telah dibayar gaji.”

Weigang dipetik sebagai berkata demikian walaupun menang ke atas Selangor dalam saingan Liga Super musim lalu.

Kemenangan tipis tersebut dicatat di gelanggang lawan di Shah Alam. Anehnya pengendali Selangor, P.Maniam memuji persembahan anak buahnya walaupun tewas.

8. Pemain Pakai Sayap Dan Terbang (Februari, 2017)

“Saya tidak tahu kenapa pemain suka bermain bola hantaran tinggi. Mungkin lepas ini saya boleh suruh mereka pakai sayap untuk terbang tinggi menyambut hantaran lintang.”

Pengendali berbangsa Jerman itu berang dengan anak-anak buahnya yang tidak akur akan arahan taktikal yang dirancang oleh beliau.

Perak menewaskan Melaka United 3-2 dalam perlawanan yang diadakan di stadium kosong akibat hukuman oleh FAM. Nasib baik stadium kosong.

Kalau tidak, pasti persembahan tersebut dimaki oleh penyokong.

9. Superstar (Februari, 2017)

“Superstar konon. Pemain terbaik daripada serata Malaysia?”

Kemarahan Weigang terhadap anak didiknya dalam pasukan Perak TBG disambung lagi dengan satu kenyataan bernada sindiran.

Kenyataan tersebut seolah-olah menyelar pemain yang seolah-olah ingkar akan arahan yang diberikan beliau ketika beraksi di atas padang.

Khabar angin pemain tidak sebulu dengan Weigang mulai tular selepas itu. Anda ada mendengarnya?

10. Saya Sudah Selesai (Februari, 2017)

“I’m finished. I’m flying back home.”

Kata-kata ringkas ini dilemparkan kepada kumpulan penyokong Perak selepas tamat perlawanan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Perak ditewaskan dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan pada petang itu.

Kata-kata dengan nada merajuk itu nyata menjadi realiti. Sebuah gambar kemudiannya tular menunjukkan Weigang menjinjing beg seolah-olah meninggalkan kem Perak TBG.

Rumusan 

Karl-Heinz Weigang. Apakah cara terbaik untuk mengambarkan kehadiran beliau dalam kancah bola sepak di negara kita?

Adakalanya kontroversi. Ada masanya, nakal. Tidak kurang juga ‘genius’ taktikal ketika membawa Perak memenangi kejuaraan.

Anda mungkin tersenyum ketika membaca kata-kata Weigang ketika beliau masih bersama kita. Tetapi itulah warna dan kenangan yang telah ditinggalkan kepada bola sepak tanah air.

Kesungguhan, dedikasi, ketegasan, disiplin. Itulah Karl-Heinz Weigang.

Terima kasih untuk segalanya Atuk Weigang. Damailah di sana.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN