Mourinho Jelas Sebab Kenapa United Tak Boleh Main ‘Build-Up’ Jika Smalling Bermain

Jika anda membaca artikel kami pagi tadi yang melaporkan Chris Smalling bakal dijual oleh Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini, anda pasti tertanya – mengapa?

Sir Alex Ferguson yang bertanggungjawab membeli Smalling dari Fulham pada tahun 2010 sentiasa meminati corak permainan defensifnya. Ketika kemenangan 1-0 United ke atas West Ham pada Januari 2013, Ferguson memuji Smalling ‘pertahanan yang boleh menangani ribut dalam kotak penalti’.

Tetapi baru semusim Smalling bermain di bawah kendalian Jose Mourinho, sudah banyak kali beliau ditempelak oleh pengurus berbangsa Portugal itu.

Pada April 2017 lepas, Mourinho mempersoalkan mentaliti Smalling (dan beberapa pemain United lain) yang ‘terlalu berhati-hati’ untuk bermain ketika United dilanda krisis kecederaan.

Kritikan terbuka Mourinho ini menguatkan lagi spekulasi bahawa masa depannya di Old Traffod bakal berakhir.

Smalling bagaimanapun pantas meredakan desas-desus tersebut dengan berkata ‘kritikan Mourinho bersifat profesional’ dan bertekad mahu membuktikan Mourinho salah.

(Photo by Nick Potts/PA Images via Getty Images)

Bagaimanapun Mourinho tidak menunjukkan sebarang tanda ingin meredakan kritikan terbukanya kepada Smalling.

Paling terbaru, Mourinho menyindir kelemahan Smalling dalam syarahannya di sebuah universiti di Lisbon. Transkrip syarahan tersebut turut dikongsi oleh akhbar Portugal, Tribuna Expresso.

Smalling punca saya tak boleh main build-up

Di hadapan ratusan pelajar universiti di Lisbon, Jose Mourinho memberitahu punca utama beliau tak dapat melakukan ‘build-up’ dari belakang seperti Ajax Amsterdam adalah kerana kelemahan Smalling.

“Semua orang cakap Ajax bermain dengan cantik. Definisi ‘cantik’ bagi saya adalah tidak memberi apa yang pasukan lawan mahu. Saya siap beritahu Smalling – dengan kaki awak, sah-sah kita takkan merancang serangan dari bawah.”

Mourinho turut memberitahu taktikal United pada malam final Europa League itu telah mengambil kira kelemahan Smalling. “Kami bersedia dengan lebih baik bila kami tahu kelemahan kami.”

Masa depan Smalling tampak malap di United berikutan kritikan terbukan Mourinho ini dan pembelian Victor Lindelof dari Benfica. Kami menjangkakan Lindelof akan digandingkan dengan Eric Bailly sebagai pasangan pertahanan tengah utama United pada musim depan.

Dedah rahsia taktikal

Mourinho turut mendedahkan dengan terperinci pelan taktikalnya ketika menentang Ajax Amsterdam pada malam perlawanan akhir Europa League Mei 2017 lepas.

“Biasanya di England, saya hanya menonton 2-3 perlawanan untuk mengkaji strategi pasukan lawan. Tetapi di Eropah, lain ceritanya. Saya menonton 8 perlawanan Ajax. Menganalisis cara permainan pasukan lawan penting bagi saya kerana ia mempengaruhi cara saya atur latihan dan taktik.”

“Ideanya adalah mencipta ketidakstabilan. Kami sengaja membiarkan Ajax membuat buld-up. Tapi kami hadkan penglibatan de Ligt. Kami hanya benarkan Davinson Sanchez memegang bola kerana beliau lebih mudah gelabah.”

“Saya juga menukar posisi trio tengah saya supaya ketiga-tiga pemain tengah Ajax tiada ruang untuk menerima bola. Jadi Sanchez tiada pilihan lain selain melancarkan hantaran tinggi. Inilah kelebihan kami. Pemain kami dominan di bahagian udara.”

Puji kebijaksanaan Herrera

Dalam syarahan sama, Mourinho tidak melepaskan peluang untuk memberitahu pemain kegemarannya. “[Ander] Herrera merupakan pemain paling bijak yang pernah saya latih,” dedah beliau.

“Jika Ajax memindahkan bola dari satu sayap ke sayap lain (switch of play), saya akan pastikan bek sisi kami tutup kawasan tengah.”

“Jika pemain sayap Ajax mendapat bola di kawasan sayap, bek sisi kami akan menjaga mereka. Herrera pula akan menutup kawasan tengah,” jelas Mourinho lagi.

Ketika diminta menjelaskan apa yang berlaku ketika Herrera mengarahkan Henrikh Mkhitaryan supaya masuk semula ke kotak penalti untuk menyerang sepakan sudut, Mourinho memberitahu:

“Saya sendiri tertanya-tanya – apa yang berlaku ini?”

“Ini kerana saya dah mengarahkan Miki [Mkhitaryan] awal-awal supaya bersedia di luar kotak penalti jika kita menyerang sepakan sudut.”

“Rupa-rupanya Herrera menganalisa perlawanan dan mengambil tanggungjawab. Beliau sedar Miki telah mempunyai kad kuning. Kalau Ajax tiba-tiba menyerang, Miki berisiko mendapat kad kuning kedua.”

“Jadi Herrera menyuruh Miki berada di depan penjaga gol. Beliau sendiri yang akan mengganti posisi Miki di luar kotak penalti.”

Mourinho jelas gembira kerana mempunyai pemain yang boleh menganalisa situasi sendiri dan mengubahsuai seperti Herrera.

Sebagai rekod, Manchester United muncul juara UEFA Europa League 2016/2017 selepas menewaskan Ajax Amsterdam 2-0.

Sumber:

1. Goal.com (2013), Sir Alex full of praise for ‘fantastic’ returning duo Smalling & Jones; http://m.goal.com/e/en-ng/news/4067/english-football/2013/01/17/3678592/sir-alex-full-of-praise-for-fantastic-returning-duo-smalling

2. Ian Herbert, Independent (2017), Jose Mourinho criticises ‘cautious’ Chris Smalling and Phil Jones for failing to heed his Manchester derby fitness plea; http://www.independent.co.uk/sport/football/premier-league/manchester-city-united-derby-jose-mourinho-criticises-chris-smalling-phil-jones-zlatan-latest-a7703841.html

3. Tiago Estêvão, Twitter (2017); https://twitter.com/TiagoEstv/status/874740369015148544

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN