Sekatan perpindahan pemain selama 6 bulan dikenakan ke atas Atletico pada beberapa minggu lalu.
Namun kelab yang berpangkalan di bandar Madrid itu akan cuba mendapatkan khidmat Costa. Ini selepas penggempur antarabangsa Sepanyol itu mengesahkan yang beliau tidak diperlukan lagi di Chelsea untuk musim hadapan.
Atletico akan cuba memberikan pra-kontrak kepada pemain tersebut. Jika berjaya, Costa akan cuba dipinjamkan ke kelab lain untuk tempoh sekitar 5 bulan.
Pada Januari nanti, mereka akan mendaftarkan Costa di dalam pasukan.
Sebelum ini, Barcelona pernah mendapatkan Arda Turan dan dilarang untuk mendaftarkan pemain tersebut. Barcelona gagal mendapatkan kelab peminjam untuk Arda Turan.
Bekas kapten Turki itu diberikan program latihan khas di Barcelona sehinggalah jendela perpindahan pemain pada separuh musim dibuka.
Sebelum ini Diego Costa pernah meminta untuk dilepaskan ke kelab China. Namun Antonio Conte menghalangnya kerana Chelsea masih memerlukan beliau sebagai penggempur utama.
Costa berkali-kali menyatakan yang beliau rindu akan Atletico dan berharap akan kembali ke kelab itu pada suatu hari nanti.
Selepas kecewa mendapat mesej daripada Conte, Diego Costa berkata:
“Anda harus tanya Antonio Conte apa yang berlaku. Dia adalah jurulatih. Dia ada kuasa untuk menandatangani pemain baru. Dia tidak mahu ada masalah dengan pemain senior, itu normal.”
“Namun, ada cara yang betul untuk menyatakan sesuatu dan melakukan sesuatu. Syukurlah saya masih ada pilihan lain. Masih ada beberapa kelab yang mahukan saya buat masa ini.”
“Saya masih ada 2 tahun baki kontrak dengan Chelsea. Jika mereka memilih untuk menjual saya, saya akan mencari pasukan terbaik.”
“Atletico adalah antara pasukan yang mahukan saya. Ia adalah kelab yang saya sangat sayangi. Menandatangani kontrak dengan Atletico buat masa ini akan membuatkan saya tidak boleh beraksi dengan mereka. Namun saya boleh pergi secara pinjaman dengan kelab di Sepanyol.”
“Kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku.”
Ditanya sama ada beliau masih berhasrat ke China? Costa menjawab:
“Tidak! Saya tidak akan ke China. Saya masih memikirkan isu masa depan karier saya, terutama dengan pasukan kebangsaan.”
“Saya mahu bermain dalam Piala Dunia. Saya akan berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapat tempat dalam skuad Piala Dunia.”