Bekas pemain bek kiri Manchester United dan Argentina, Gabriel Heinze mendedahkan beliau pernah menerima akibat daripada kemarahan bekas kapten Manchester United, Roy Keane.
Heinze rebah di lantai akibat daripada pertembungan dengan kapten panas baran berbangsa Ireland itu.
Kejadian tersebut dikatakan terjadi selepas satu kekalahan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL). Manchester United sedang berada dalam misi untuk memenangi kembali kejuaraan liga sejak musim 2003.
Arsenal memenangi kejuaraan EPL pada musim 2003-2004 sebelum kedatangan Jose Mourinho membawa Chelsea menjuarai kejuaraan tersebut pada dua musim berikitnya.
Roy Keane, Gabriel Heinze dan Manchester United berjaya membawa pulang kejuaraan EPL ke Old Trafford pada musim 2006-2007.
Ketika pemain sedang berada dalam bilik persalinan, Roy Keane jelas berang dengan rakan sepasukannya dan menjerit ‘f***off’.
Gabriel Heinze jelas tidak senang dengan kata-kata dari kaptennya itu. Beliau mengambil keputusan untuk berhadapan dengan Keane pada waktu itu juga.
Ketika suasana sememangnya sudah tegang dan panas, Heinze mendapati dirinya yang terbaring di lantai selepas direbahkan oleh Roy Keane dalam percakaran yang pantas itu.
Perkara tersebut didedahkan oleh Heinze dalam satu wawancara bersama satu stesen televisyen di Argentina.
“Kami baru sahaja kalah salah satu perlawanan penting dalam EPL. Saya adalah individu pertama tiba di bilik persalinan diikuti oleh Roy Keane.”
“Saya suka untuk terus ke bilik persalinan setiap kali kalah untuk mengelakkan dari bercakap dengan sesiapa.”
“Saya tidak berapa faham Bahasa Inggeris kecuali bahasa kotor. Saya terdengar nama saya disebut dan kemudian perkataan ‘f*** off’ disebut oleh Roy Keane.”
“Saya tahu ia bukan perkara baik. Kerana itulah saya berhadapan dengan idola seluruh Manchester, individu yang ramai sayangi dan menjawab kepada beliau kembali, -‘f*** off’!
“Saya tidak dapat ingat apa yang berlaku kemudian.”
Ketika ditanya oleh wartawan jika ia adalah disebabkan oleh pertembungan secara fizikal oleh Keane, bekas pertahanan Real Madrid itu menjawab: “Ya, ya.”
Dalam buku autobiografinya, Roy Keane menyifatkan Gabrie Heinze sebagai seorang lelaki yang baik namun adalah seorang pertahanan yang ‘nasty f***ker’ (keras dan lasak).
Bagaimanapun Roy Keane yang merupakan pembantu pengurus skuad kebangsaan Ireland tidak berapa gemar akan cubaan bekas rakan sepasukannya itu untuk menyertai Liverpool pada tahun 2007.
Disebabkan kurang beraksi pada musim tersebut, Heinze ingin berhijrah dari Old Trafford ke Anfield. Bagaimanapun tawaran Liverpool yang dilaporkan berjumlah £ 6.8 juta ditolak oleh Manchester United.
Heinze kemudiannya dijual ke Real Madrid pada musim panas itu sebelum memenagi kejohanan La Liga pada musim pertama bersama Los Blancos.