Southampton sudah bersedia untuk berperang dengan Liverpool setelah mereka percaya bahawa Virgil van Dijk cuba dipancing secara haram oleh kelab Merseyside itu.
John Cross dari Mirrorsport mendedahkan butiran yang menyebabkan kemarahan pihak pengurusan di St.Mary atas kelakuan pesaing mereka dari Anfield itu.
Pertemuan Rahsia
Pertahanan antarabangsa Belanda itu diterbangkan ke Blackpool untuk satu pertemuan rahsia bersama pengurus Liverpool, Juergen Klopp sebelum berita Van Dijk ke Livepool tersebar di media.
Pertemuan itu dikatakan adalah sebahagian daripada usaha Liverpool untuk memancing Van Dijk dalam perpindahan yang menjangkau rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan.
Perpindahan bernilai £60 juta untuk Van Dijk juga akan mengatasi rekod kelab berkenaan setelah membawa masuk Andy Carrol pada nilai £35 juta beberapa musim yang lalu.
Klopp turut didakwa sering menghantar mesej kepada Van Dijk setelah pertemuan yang membelakangkan Southampton di Blackpool.
Kini hierarki di Southampton berkeras tidak akan menjual pemain yang masih mempunyai baki kontrak selama 6 tahun bersama mereka itu.
Laporan yang kami kongsikan semalam turut menyatakan bahawa Southampton sudah membawa kes ini ke pengetahuan Premier League untuk tujuan siasatan.
Kerana Juergen Klopp
Di sebalik segala kontroversi yang timbul, Liverpool tetap yakin mampu membawa Virgil van Dijk ke Anfield pada jendela perpindahan musim panas ini.
Manchester City, Arsenal dan Chelsea turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan tandatangan pemain pertahanan tengah ini.
Van Dijk turut dilaporkan telah bertemu dengan kesemua wakil kelab berkenaan namun memilih untuk ke Liverpool kerana ingin bekerja bersama Klopp.
Liverpool turut dilaporkan telah menawarkan pakej yang paling menarik untuk pemain pertahanan antarabangsa Belanda itu.
Persetujuan Van Dijk ke Anfield adalah sesuatu yang positif untuk kem Liverpool.
Namun ia tidak menyenangkan kem Southampton yang telah menyaksikan deretan bintang mereka dipancing oleh kelab Merseyside berkenaan.
Ricky Lambert, Adam Lallana, Dejan Lovren, Sadio Mane dan Nathaniel Clyne adalah pemain yang telah berhijrah ke Anfield dari Southampton sejak 3 musim yang lalu.
Tidakan Memakan Diri
Tindakan Liverpool untuk memancing Van Dijk tanpa pengetahuan Southampton mungkin menjadi satu tindakan yang akan memakan diri.
Southampton kini berkeras tidak akan berlembut dengan desakan Van Dijk dan tawaran dari Liverpool.
Tindakan Southampton mungkin ada asasnya memandangkan Van Dijk baru sahaja menanganani kontrak baharu 11 bulan yang lalu.
Jika Southampton dapat membuktikan bahawa Liverpool cuba memancing pemain mereka secara haram, maka jumlah denda yang besar dan juga kemungkinan pergantungan daripada membeli pemain boleh dikenakan oleh Premier League.
Buku peraturan Premier League jelas menggariskan peraturan untuk isu sebegini. Peraturan tersebut menyatakan:
“Pemain yang masih terikat dengan kontrak, sama ada oleh dirinya sendiri atau pun melalui wakil, tidak boleh sama sekali secara langsung atau tidak langsung berhubung dengan kelab lain seperti yang terkandung dalam Peraturan T.5 tanpa kebenaran bertulis daripada kelab yang beliau masih terikat dan memiliki kontrak yang sah.”
Rujukan Kes
Kes pemain dipancing tanpa pengetahuan kelab asal bukanlah pertama kali berlaku di era Liga Perdana Inggeris.
Kes berprofil tinggi yang pernah berlaku sebelum ini melibatkan Chelsea yang mengadakan pertemuan rahsia bersama Ashley Cole di kala pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Arsenal.
Chelsea diarah untuk membayar denda sebanyak £300,000 dan juga penolakkan 3 mata jika mengulangi kesalahan yang sama kemudian.
Pengurus Chelsea pada masa itu, Jose Mourinho turut didenda sebanyak £100,000 dan Ashley Cole turut diarahkan untuk membayar £200,000 kepada Premier League.
Jurucakap Premier League turut mengesahkan sudah menerima laporan daripada Southampton dan pihak mereka sedang menyiasat perkara ini.