Cheick Ismaël Tioté Di Dalam Kenangan, Damailah Di Sana

Ucapan penghormatan terus mencurah daripada keluarga, sahabat handai dan komuniti bola sepak dari seluruh dunia untuk meratapi pemergian Cheick Ismaël Tioté.

Cheick Tioté meninggal dunia pada usia 30 tahun setelah rebah ketika menjalani latihan bersama kelabnya di China pada Isnin lalu.

Pemain antarabangsa Ivory Coast ini bukanlah pemain yang mempunyai nama ketika beliau tiba di England pada tahun 2010 daripada Twente.

Latar Belakang

Tioté dilahirkan di Yamoussoukro, Ivory Coast. Bandar yang terletak di sebelah barat benua Afrika itu adalah tempat di mana Tioté menjalani kehidupan kanak-kanaknya.

Seperti kanak-kanak yang lain, Tioté  gemar bermain bola sepak jalanan di sekitar bandar Yamoussoukro dengan berkaki ayam kerana tidak mampu untuk membeli sepasang kasut sehingga berusia 10 tahun.

(Photo by Serena Taylor/Newcastle United via Getty Images)

Bagaimanapun bakat dan kualiti yang ada pada anak muda ini dikesan oleh sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Ivory Coast, FC Bibo.

Ketika beraksi bersama FC Bibo, bakatnya ditemui pula oleh pencari bakat untuk untuk kelab Belgium, Anderlecht. Tiote kemudiannya diterbangkan ke Belgium dengan tawaran kontrak selama 3 tahun pada tahun 2005.

Ke Eropah

Inilah pertama kali Tiote mendapat peluang beraksi di Eropah. Sepanjang bersama Anderlecht, Tiote hanya tampil 4 kali untuk skuad senior kelab Belgium tersebut.

Pada tahun 2007, Tiote ditawarkan untuk beraksi secara pinjaman ke Belanda bersama Roda JC. Beliau tidak memandang ke belakang selepas itu.

(Photo credit should read JOSE LUIS ROCA/AFP/Getty Images)

Bersama Roda JC, Tiote menjadi antara pemain tengah terbaik di Liga Belanda. Beberapa buah kelab mulai mengintai potensi untuk mendapatkan beliau, namun Tiote memutuskan untuk kekal di Belanda.

Pada musim panas tahun 2008, Cheick Tiote menyertai FC Twente dengan yuran perpindahan sekitar £750,000.

Tiote juga membuktikan beliau boleh bermain di pentas tertinggi apabila menunjukkan permainan yang cemerlang dalam aksi Europa League dan Champions League.

FC Twente Dan Newcastle United

Ketika bekas pengurus England Steve McClaren mengendalikan FC Twente, Tiote adalah antara pemain yang memainkan peranan penting untuk membawa kejuaraan Eredivisie buat pertama kali untuk FC Twente pada musim 2009-2010.

Tiote turut membantu FC Twente menewaskan Ajax Amsterdam untuk memenangi Dutch Supercup pada permulaan musim berikutnya.

(Photo credit should read MUSTAFA OZER/AFP/Getty Images)

Pada 26 August 2010, Cheick Tiote diumumkan sebagai pemain Newcastle United dengan yuran perpindahan bernilai sekitar £3.5 juta. 

Bersama kelab yang berpangkalan di St.Jame’s Park itu, Tiote membuat penampilan sebanyak 161 kali.

(Photo credit should read GRAHAM STUART/AFP/Getty Images)

Satu-satunya jaringan Tiote untuk skuad The Magpies adalah jaringan penyamaan ketika menentang Arsenal pada Februari 2011.

Newcastle United ketinggalan 4-0 sebelum bangkit mengikat The Gunners dengan jaringan 4-4 dalam perlawanan di St. Jame’s Park itu.

Pentas Antarabangsa

Kehebatan Cheick Tiote turut membuatkan beliau mendapat panggilan untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Cheick Tiote muncul dalam kesemua 3 perlawanan peringkat kumpulan namun gagal membantu negaranya melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Cheick Tiote tampil sebanyak 52 kali untuk negaranya dan turut menjaringkan hanya 1 gol sepanjang aksi di pentas antarabangsa.

Photo by Mike Hewitt – FIFA/FIFA via Getty Images)

Tiote yang mempunyai perwatakkan yang rajin di atas padang dan mempunyai visi luar biasa dalam permainnanya turut membantu Ivory Coast ke perlawanan akhir Piala Afrika pada tahun 2012 di Gabon.

Namun Tiote dan Ivory Coast dikecewakan oleh Zambia melalui penentuan sepakan penalti apabila Kolo Toure dan Gervinho gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.

Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, Tiote dan Ivory Coast terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-3 Kumpulan C apabila tewas dua kali dan hanya menang 2-1 ketika bertemu dengan wakil Asia iaitu Jepun.

Kehidupan Peribadi

Cheick Tiote mempunyai tiga isteri dalam kehidupannya. Tiote tinggal bersama isterinya, Madah dan dua anaknya di kediaman mereka di Ponteland, Newcastle.

Beliau kemudiannya mengahwini Laeticia Doukrou dalam satu majlis di Ivory Coast untuk perkahwinan keduanya.

Kediaman Cheick Tiote di Newcastle.

Tidak lama kemudian, laporan di Britain melaporkan bahawa Tiote turut mempunyai seorang isteri di Zimbabwe, Nikki Mpofu yang turut telah melahirkan seorang anak untuk beliau.

Di mata masyarakat di Eropah, memiliki lebih daripada seorang isteri yang sah adalah sesuatu yang janggal.

Bagaimanapun ia bukanlah satu amalan yang pelik memandangkan Cheick Tiote adalah seorang Muslim yang patuh kepada ajaran Islam.

Rumusan

Cheick Tiote menyertai Beijing Enterprise pada Februari lalu untuk bermain dalam aksi Liga 1 China.

Berita kematiannya semalam mengejutkan ramai pihak terutama di kalangan keluarga, sahabat handai dan bekas rakan sepasukan.

Bola sepak telah kehilangan satu lagi bintang sebelum tiba masanya. Damailah di sana Cheick Tiote.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN