Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengumumkan bahawa skuad Harimau Malaya akan memperolehi sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan itu.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh Timbalan Presiden FAM 1, Datuk Seri Subahan Kamal melalui akaun Facebook rasmi badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Subahan, bas rasmi skuad Harimau Malaya berkenaan dikurniakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.
Bas tersebut akan digunakan oleh skuad kebangsaan untuk menghadiri perlawanan-perlawanan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, tiada tempoh yang dinyatakan oleh Datuk Subahan Kamal, bilakah pasukan negara akan memperoleh bas berkenaan.
Pemberian kemudahan pengangkutan bukanlah perkara asing di dalam bola sepak di bawah pengurusan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Ketika memegang jawatan Presiden Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Baginda turut berkenan menganugerahkan bas untuk kegunaan dan kemudahan pasukan menghadiri perlawanan.
Kecenderungan untuk kelab JOHOR Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi di Piala AFC turut mendorong Baginda mengaruniakan sebuah kapal terbang untuk kegunaan pasukan.
Siapa tahu? Mungkinkah skuad Harimau Malaya turut akan memiliki fasiliti kapal terbang sendiri satu masa nanti? Kenapa tidak jika pasukan kebangsaan kita tampil semakin maju di pentas antarabangsa.
Tidak mustahil ada pihak atau syarikat penerbangan antarabangsa dan dalam negara akan tampil untuk menjadi penaja dalam penyediaan kemudahan pengangkutan kapal terbang untuk skuad negara.
Mungkinkah pihak Malaysia Airline System (MAS) atau pun Air Asia boleh mulai berkira-kira untuk tampil sebagai penaja rasmi kemudahan pengangkutan udara skuad Harimau Malaya?