Manchester United melengkapkan musim ini dengan kejayaan merangkul UEFA Europa League (UEL) pada awal pagi tadi. Anak buah Jose Mourinho dengan mudah menjinakkan tentangan Ajax Amsterdam untuk menang mudah 2-0, di Stockholm.
Selepas itu, timbul cakap-cakap di kalangan komuniti bola sepak bahawa pencapaian skuad The Red Devils pada musim ini adalah satu gelaran ‘treble’?
Untuk rekod Manchester United memenangi Piala Sumbangsih di awal musim, Piala EFL pada Februari lalu dan kemudiannya trofi UEL pada awal pagi tadi.
Apakah maknanya gelaran ‘treble’ yang sebenarnya? Imbasan kembali pencapaian Manchester United pada musim 1998-1999 mungkin boleh membezakannya dengan jelass.
Perlawanan Akhir UEFA Champions League (UCL) 1998-1999
Scoreboard digital di Nou Camp, Barcelona terpampang kedudukan terkini. Manchester United 0-1 Bayern Munich.
Tempoh 90 minit perlawanan telah berlalu. Gol seawal minit ke-6 oleh Mario Basler seakan sudah memadai buat kelab Bavaria tersebut menjulang piala terprestij di dalam saingan kelab bola sepak Eropah.
Pengadil Pierluigi Collina sudah memerhatikan jam di tangan dan membenarkan hanya 3 minit masa kecederaan. COUPE DES CLUBS CHAMPIONS EUROPÉENS seberat 11kg, setinggi 74 cm yang dipamerkan oleh pegawai UEFA dibawa masuk ke bilik urusetia untuk dihias dengan warna pasukan yang menang.
Di tempat duduk VIP Nou Camp, kelihatan wajah sugul Sir Bobby Charlton. Hasrat untuk melihat Man Utd menjulang kejuaraan kedua sejak kali terakhir dilakukan ketika beliau adalah kapten pada tahun 1968 seakan lebur.
Beberapa pegawai UEFA bersalaman dengan beliau sambil membisik kata-kata simpati.
Selari dengan baki masa kecederaan, 3 minit masa turut diberikan untuk persiapan. Piala yang mulai mencatat sejarah hebat kelab-kelab seantero Eropah sejak 1956, siap diikat dengan warna Bayern Munich untuk dijulang di pentas utama.
Kemudian tiba masa untuk pegawai bertugas membawa piala tersebut keluar dari bilik urusetia untuk tujuan penyampaian.
Setibanya di pintu masuk utama, pegawai UEFA yang dipertanggungjawab membawa keluar piala ke pentas utama terasa suasana aneh.
Penyokong, pemain dan pegawai yang seharusnya gembira dan teruja, kelihatan sugul. Pihak yang tewas kelihatan ketawa beserta dengan tangisan kegembiraan.
Kisah 3 minit seperti yang tertulis di atas memberikan klimaks paling gemilang bagi kelab dari England tersebut untuk menamatkan musim 1998-1999 dengan kejayaan gemilang.
UEFA Champions League melengkapkan kejayaan anak buah Alex Ferguson merangkul gelaran treble sekaligus memahat sejarah sebagai pencapaian terhebat yang pernah dicapai oleh sesebuah kelab Inggeris.
Apakah Pencapaian Treble?
Untuk mengapai kejayaan “treble”, sesebuah kelab perlu memenangi 3 kejuaraan utama yang dipertandingkan.
Kejuaraan pertama ialah Liga Perdana Inggeris (EPL)- salah satu liga yang paling kompetitif di dunia, 20 kelab bersaing sesama sendiri secara timbal balik.
EPL menguji sejauh mana konsistensi dan ketahanan mental sesebuah kelab sebelum dinobatkan juara.
Kejuaraan kedua ialah Piala FA – kejohanan bola sepak tertua dan terkenal di dunia. Pertandingan akan diadakan secara kalah mati tanpa peluang kedua.
Final akan menemukan dua kelab terhebat Inggeris di Wembley, arena yang dimasyurkan oleh The Three Lions ketika Piala Dunia 1966.
Kejuaraan terakhir dan yang paling sukar ialah UEFA Champions League. Kelab harus melayakkan diri terlebih dahulu melalui saingan liga domestik, EPL sebelum berpeluang bertanding di pentas ini.
Saingan ini menemukan kelab-kelab terbaik di Eropah, dipertandingkan di dalam format kumpulan dan kalah mati. Pemenang akan dimasyurkan sebagai Juara Eropah.
Untuk memenangi mana-mana pertandingan di atas adalah satu kejayaan. Untuk merangkul ketiga-tiga kejayaan di dalam satu musim, itu adalah kejayaan yang sangat menakjubkan!
Sebelum Manchester United melakukannya pada musim 1998-1999, Liverpool adalah pasukan terhampir untuk merangkul gelaran “treble”.
Bagaimanapu,, kelab Merseyside tersebut tewas 1-2 d kepada Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA di Wembley.
Kevin Keegan dan rakan sepasukan hanya mampu untuk berpuas hati dengan gelaran berganda, juara Divisyen 1 Liga Inggeris dan juga Piala Eropah pada musim 1976-1977.
Sejak daripada itu, pemerhati dan peminat bola sepak mengandaikan pencapaian treble adalah sesuatu yang mustahil. “ONE HELL OF AN ACHIEVEMENT” dicanang sebagai mitos semata-mata.
Ranjau Treble The Red Devils
Sebagaimana dramatiknya kejayaan The Red Devils menjulang COUPE DES CLUBS CHAMPIONS EUROPÉENS, keseluruhan musim 1998/99 bukanlah satu musim yang mudah bagi anak buah Alex Ferguson.
Gelaran Liga Perdana Inggeris hanya dimenangi dengan beza satu mata pada hari terakhir perlawanan. Jika Arsenal menewaskan Leeds pada perlawanan terakhir pada musim tersebut, impian kejuaraan pasti musnah.
Bagaimanapun, Man Utd yang ketinggalan 0-1 bangkit menewaskan Totenham Hotspur 2-1 untuk memastikan tiga mata penting sekaligus memberi penamat liga yang dramatik buat The Red Devils.
Kisah di dalam Piala FA juga tidak kurang debarannya. Man Utd dipertemukan dengan Arsenal pada peringkat separuh akhir.
Seri tanpa jaringan membawa saingan ke perlawanan ulangan di Villa Park. Drama bermula dengan jaringan Arsenal dibatalkan kerana offsaid.
Peter Schemeichel menyelamatkan sepakan penalti di minit akhir masa sebenar dan kapten Roy Keane dilayangkan kad kuning kedua. Apa yang berlaku di masa tambahan adalah magis.
Ryan Giggs menjaringkan gol kemenangan selepas mengelecek 5 pertahanan lawan. Jaringan tersebut turut diabadikan sebagai antara gol terhebat sepanjang zaman dalam sejarah Piala FA Inggeris.
Di peringkat final, skuad United mudah menewaskan Newcastle United 2-0 di Wembley.
Sepanjang musim 1998/99, skuad United sering menyebabkan penyokong dan pengurus mereka tidak keruan. Ketinggalan satu atau dua gol sebelum bangkit kembali untuk memenangi sesuatu perlawanan.
Di peringkat separuh akhir bertemu Juventus, mereka ketinggalan 1-3 secara agregat sebelum bangkit menang 4-3 untuk melayakkan diri ke final.
Tabiat ketinggalan turut dibawa ke perlawanan akhir UEFA Champions League. Ketinggalan 1-0, hanya 3 minit masa tambahan diberikan.
Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solksjaer mencatat sejarah baru buat Manchester United dengan jaringan minit akihr. 3 minit terakhir yang memastikan gelaran treble untuk United pada musim tersebut terpahat dalam lipatan sejarah.
Kejayaan mendakap treble bukanlah mitos semata-mata. Keputusan akhir Final UEFA Champions League 1998/99, Manchester United 2-1 Bayern Munich.
Kesimpulan
Agak naif jika ada yang menyifatkan pencapaian pada musim ini adalah satu lagi treble sepertimana pada musim 1998-1999. Pencapaian pada mkusim ini adalah jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan pencapaian pada musim 1998-1999.
Manchester United mengakhiri musim ini di tangga ke-6, menjuarai Piala EFL iaitu kejohanan yang sering dijadikan tempat menguji pemain muda.
Piala Sumbangsih bukanlah satu pertandingan melainkan hanya sekadar satu perlawanan memanaskan badan. Manakala United berpeluang beraksi di UEFA Europa League kerana tidak cukup bagus untuk melayakkan diri ke UEFA Champions League pada musim lalu.
Menyenaraikan Piala Sumbangsih sebagai sebuah trofi kejuaraan adalah satu kesilapan. Bukankah Piala FA dan UCL adalah trofi yang lebih berprestij dibandingkan dengan Piala EFL dan UEL?
Apa pendapat anda? Sila nyatakan pendapat anda secara ilmiah di ruangan komen.