Ghaddar Pilih Keon Sebagai Pemain Pertahanan Terbaik Pernah Dihadapinya

Setibanya kami di Hotel Hilton Petaling Jaya untuk membuat liputan Anugerah Pemain Liga Super Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my Bulan April 2017, Mohammad Ghaddar kelihatan sibuk.

Ditemani oleh ejen dan Benjamin Mora, Ghaddar tenang melayan satu demi satu permintaan media untuk menemuramah dan mengambil gambarnya. Sampai giliran kami Ghaddar ramah menyapa, “How are you doing, my friend?”.

Untuk berlaku jujur, ini kali pertama kami bertemu penyerang paling tajam di Liga Super ketika ini. Mungkin beliau (dan orang Arab lain) suka memanggil semua orang sebagai ‘my friend’.

Tak mahu dirakam video

Sebelum memulakan temuramah, kami memulakan perbualan kasual untuk membuatkan Mohammad Ghaddar selesa.

“Segalanya berjalan dengan lancar di sini,” jawab Ghaddar tersenyum ketika kami bertanya bagaimana transisi hidupnya dari Kelantan ke JDT berjalan. Ghaddar turut menjelaskan tawaran menyertai JDT adalah sesuatu yang sukar ditolak oleh mana-mana pemain di Malaysia.

Melihat penyerang kelahiran Lubnan ini sudah selesa, kami meminta izin penyerang Lubnan ini untuk berpindah ke set rakaman video yang kami sediakan.

“Oh tak boleh. Tak boleh,” jawab Ghaddar. Kami cuba memujuknya, “Ia (temuramah) hanya mengambil masa 5 minit. Hanya 5 minit.” Tetapi Ghaddar bertegas tidak mahu masuk dalam video.

“Bahasa Inggeris saya tak berapa bagus. Anda boleh temuramah saya begini (membuat isyarat tangan menulis). Tetapi bukan di sana (menunjukkan tangannya ke arah set kami).”

Tiada apa yang kami boleh buat. Maaf, pembaca-pembaca semua. Kami perlu hormati permintaannya.

11 idaman Ghaddar

Pada mulanya, Ghaddar memilih formasi 4-3-3 sebagai formasi pilihan pasukan idamannya. Tetapi dipertengahan temuramah, beliau menukar ke formasi 3-4-3. Semuanya gara-gara seorang pemain tengah tempatan di Kelantan.

Siapa pemain tersebut? Ikuti pilihan Ghaddar dan mengapa di bawah:

Penjaga gol

1. Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

“Apek mempunyai segala ramuan sebagai penjaga gol. Fizikalnya baik. Kemahirannya pun bagus. Tetapi yang paling bagus sekali tentang Apek adalah cara beliau menyusun organisasi pertahanan kami di Kelantan.”

Pertahanan tengah

2. Marcos Antonio (JDT)

“Siapa nama pemain JDT yang berjersi no.6?” tanya Ghaddar kepada kami. Ternyata beliau masih belum kenal nama semua rakan sepasukannya yang baru. “Yes. Yes. Marcos. Pemain hebat!” kata Ghaddar sebaik sahaja kami menjawab soalannya.

“Badannya dibina seperti kereta kebal. Saya beruntung Marcos kini merupakan rakan sepasukan saya. Bukan lawan saya.”

3. Mamadou Danso (Kelantan)

“Semasa di Kelantan, saya sengaja memilih untuk bermain menentang Danso dalam latihan. Danso memberi saya peluang untuk mendapat situasi perlawanan sebenar ketika dalam latihan. Sukar untuk melepasinya.”

4. Khairul Helmi Johari (Kedah)

Sama ada Ghaddar banyak minum air semut atau beliau memang tak pandai ingat nama orang, penyerang baru JDT ini sekali lagi bertanya, “Siapa kapten Kedah yang bermain di pertahanan?”

“Keon,” jawab kami.

“Oh ya. Bagi saya beliau adalah pemain pertahanan terbaik pernah saya hadapi di Malaysia. Kelebihannya adalah dia bijak mengagak strategi saya.”

Sayap kanan

5. Baddrol Bakhtiar (Kedah)

“Teknik beliau antara yang terbaik pernah saya lihat di Malaysia. Hantaran lintang, sepakan percuma, rembatan jarak jauh, hantaran pendek, hantaran jauh – semuanya dilakukan oleh beliau dengan sempurna.”

Tengah

6. Margaro Gomis (Kelantan)

“Margaro adalah sebab utama saya tak perlu risau tentang pertahanan ketika saya bermain di Kelantan. Memiliki Margaro umpama memiliki polisi insuran dalam pasukan.”

7. Safiq Rahim (JDT)

“Dalam latihan, Safiq tidak pernah menurunkan intensitinya. Apa yang anda lihat semasa perlawanan, itulah Safiq semasa latihan.”

Sayap kiri

8. Indra Putra Mahyuddin (Kelantan)

Indra adalah satu-satunya pemain yang membuatkan Ghaddar mahu bertukar dari 4-3-3 kepada 3-4-3 sebagai formasi pilihannya.

“Boleh tak saya pilih 3 pertahanan sahaja?” tanya Ghaddar kepada kami. Sudah tentulah kami membenarkannya. “Sebab saya tak boleh tinggalkan Indra dalam senarai pilihan saya,” jelasnya lagi.

“Perkara yang saya paling suka tentang Indra adalah beliau pemain lengkap. Beliau ada teknik, fizikal, laju, mempunyai kekuatan mental dan boleh menjaringkan gol dari mana-mana.”

Penyerang

9. Mohammad Ghaddar (JDT)

“Saya perlu letakkan diri saya. Siapa lagi penyerang terbaik di Malaysia selain saya,” jawab Ghaddar bangga sebelum ketawa besar.

10. Matheus Alves (Pahang)

“Pemain Pahang berjersi no.29 merupakan penyerang yang sangat berbahaya. Fizikalnya kuat, tekniknya bagus dan laju pula. Beliau adalah nama pertama yang saya fikirkan bila anda (Semuanya BOLA) mahu saya buat temuramah 11 pemain idaman.”

11. Gabby Guerra (JDT)

“Gabby boleh menggelecek bola walaupun anda kawal (man-mark) beliau selama 90 minit. Saya tak sedar kehebatannya sehinggalah saya melihat sendiri apa yang beliau lakukan semasa latihan. Menakjubkan. Sangat menakjubkan.”

Sumber: Semuanya BOLA

Jadi inilah 11 pemain idaman Ghaddar dalam liga Malaysia selepas ditemuramah kami semalam.

Rata-rata pemain dipilihnya dari Kelantan dan JDT. Tetapi ia satu pujian terbesar buat Khairul Helmi Johari dan Matheus Alves kerana dua nama ini cukup disanjung Ghaddar.

Apapun, tahniah kepada Ghaddar kerana memenangi Anugerah Pemain Liga Super Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my Bulan April 2017!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN