7 Wajah Bola Sepak Dunia Yang Pernah Bergelar Pendidik (Sempena Hari Guru)

Apa pun bidang yang anda ceburi pada hari ini, anda tidak boleh menafikan sumbangan seorang guru.

Tanpa mengira peringkat pendidikan yang telah anda lalui, guru adalah individu yang bertanggungjawab membentuk peribadi anda.

Nyatakan pekerjaan anda. Kepakaran yang anda miliki pada hari ini tidak akan hadir tanpa bimbingan dan asuhan seorang guru.

Bola sepak tidak terkecuali. Sehebat Cristiano Ronaldo kah anda? Sepadu Mohammed Ghaddar yang mengegear Liga Malaysia? Atau bola sepak sekadar sukan riadah kerana minat?

Mahupun dunia penulisan sukan bola sepak seperti kami di Semuanya BOLA, guru adalah individu yang memainkan peranan.

Sempena Hari Guru pada hari ini, kami bawakan kepada anda 7 individu berpengaruh dalam sukan bola sepak yang pernah menjawat jawatan sebagai guru satu masa dahulu.

Kami di Semuanya Bola mengajak anda untuk menyingkap satu persatu individu istimewa tersebut.

1. Roy Hodgson

Roy Hodgson pernah mengendalikan 21 buah pasukan dalam karier kejurulatihan dan pengurusan bola sepak.

Beliau telah mengumpul pengalaman di 8 buah negara, memenangi 12 piala kejuaraan. Masihkah anda ingat bagaimana Hodgson mengemudi Fulham ke final UEFA Europa League pada musim 2009-2010?

Bekas pengurus England ini adalah seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Alleyn’s School, Selatan London sebelum menceburkan diri ke dalam bidang pengurusan bola sepak.

“Semua orang mahu terpilih bermain untuk beliau. Dia adalah seorang yang bijak dan berkarisma,” kata Ramzi Musallam, bekas seorang murid Hodgson kepada Croydon Advertise beberapa tahun yang lalu.

“Setahun selepas beliau meninggalkan kami di Alleyn’s School London, saya membaca senaskah majalah bola sepak Shoot. Majalah ini sering memberikan maklumat dan info data mengenai pasukan luar”

“Kali ini Shoot mengisahkan sebuah kelab bola sepak berpangkalan di Sweden, Halmstad”

“Terdapat gambar pengurus kelab berkenaan terpampang di majalah berkenaan dan ia menyerupai wajah bekas guru kami. Saya seakan-akan tidak percaya itu adalah Roy Hodgson.” Jelas Ramzi lebih lanjut.

(Photo credit should read PAUL ELLIS/AFP/Getty Images)

2. Paul Clement

Bekas guru berbangsa Inggeris ini mencipta nama sebagai pembantu pengurus kepada pakar taktikal Italy sejak 2009 sebelum menerima tawaran daripada Swansea pada Januari 2017.

Paul Clement telah bekerja bersama Ancelotti di Chelsea, Paris Saint-Germain, Real Madrid dan Bayern Munich.

Paul adalah bekas guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan seperti Roy Hodgson sebelum bergandingan dengan Ancelotti. Paul Clement mempunyai CV yang hebat dalam bidang pengurusan.

Pengalaman bersama pengurus Italy itu membawa beliau memenangi UEFA Champions League bersama Real Madrid serta kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan Paris Saint German sebagai pembantu .

Paul Clement mengajar di Sutton, England dari tahun 1995 sehingga 2000 dan berasal daripada keluarga bola sepak.

Ayahnya, Dave Clement adalah bekas pemain QPR dan England sekitar tahun 1976. Adik kepada Paul, Neil Clement adalah bekas pemain Chelsea dan West Bromich Albion.

(Photo by Athena Pictures/Getty Images)

3. Gerrard Houllier

Benar. Penyokong Liverpool pasti berbangga kerana pernah memiliki seorang pengurus yang pernah bertugas sebagai seorang guru.

Ketika menyambung pelajaran di peringkat Ijazah dalam jurusan Bahasa Inggeris, Gerrard Houllier pernah menangguhkan pelajarannya untuk menjaga ayah dan kekangan kewangan.

Houllier kemudiannya menjadi seorang guru sandaran di sebuah sekolah di Perancis. Selesai pengajian di peringkat Ijazah, Houllier dilantik menjadi seorang Guru Besar di sebuah sekolah.

Minat Houllier dalam bola sepak menjadikan beliau seorang pemain yang berpotensi di zaman mudanya.

Kerjaya sebagai seorang pengurus menyaksikan Houllier berjaya membawa Liverpool menjuarai Piala FA, Piala Liga (EFL Cup) dan juga UEFA Cup.

Gerrard Houllier adalah antara pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab Merseyside.

(Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)

4. Guus Hiddink

Guus Hiddink adalah antara pemain tengah yang paling menyerlah pada eranya sekitar tahun 1967 sehingga 1982.

Hiddink juga merupakan seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sebuah sekolah pelajar bermasalah sekitar tahun 1970 sehingga awal 1980.

“Saya sentiasa menyatakan bahawa saya merasakan diri sedang mengurus sekumpulan pelajar bermasalah ketika menjadi pengurus bola sepak,” kata Hiddink dalam buku autibiografinya.

“Saya harus berhadapan dengan pelajar yang datang dari latar belakang bermasalah dan mempunyai rekod jenayah kecil.”

“Etika kerja lampau kekadang terbawa-bawa ketika saya melatih pasukan bola sepak secara sepenuh masa,” tambah Hiddink lagi.

Sebagai pengurus, Gus Hiddink telah memenangi 4 kejuaraan Eredivisie, 4 Piala KNVB, Piala Intercontinental bersama Real Madrid dan Piala FA ketika mengendalikan Chelsea beberapa musim yang lalu.

(Photo by Andrew Redington/Getty Images)

5. Louis Van Gaal

Louis Van Gaal adalah nama yang hebat dalam memperkenalkan falsafah bola sepak dunia. Bagaimanapun, pencapaian sebagai pemain adalah sederhana.

Sebagai pengurus, beliau telah memenangi pelbagai gelaran domestik dan antarabangsa.

Van Gaal telah mengecapi gelaran liga di tiga negara berbeza (bersama Ajax, Barcelona dan Bayern Munich), UEFA Champions League, UEFA Cup dan beberapa pertandingan domestik yang lain seperti Piala FA Inggeris ketika membimbing Manchester United pada musim lalu.

Siapa yang dapat menjangka? Di sebalik falsafah bola sepak yang diperkenalkannya, Louis van Gaal adalah seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkelayakkan di Holland.

Beliau menjadi guru ketika menceburi karier bola sepak semi pro di sekolah-sekolah peringkat menengah di negara asal beliau.

Sehingga kini, lagaknya dengan wisel adalah seperti seorang guru PJK ketika melatih pasukannya di padang.

(Photo by Alex Morton – The FA/The FA via Getty Images)

6. Oscar Tabárez

Di Uruguay, beliau dikenali sebagai El Maestro (The Teacher).  Tabárez adalah pengurus dan ketua jurulatih skuad kebangsaaan Uruguay.

Di bawah bimbingan Tabárez, Uruguay melayakkan diri ke tiga edisi Piala Dunia.

Uruguay turut layak ke pusingan 16 pasukan sebanyak dua kali dan separuh akhir Piala Dunia sekali sepanjang pasukan itu di bawah kendalian beliau.

Guru yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah rendah di Uruguay ini pernah memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik Amerika Selatan sebanyak dua kali.

Sumbangan luar lain yang pernah dilakukan oleh beliau ialah satu penulisan jurnal akademik berkenaan kejatuhan bola sepak Uruguay.

Selayaknya, Oscar Tabárez diberi gelaran Professor atas sumbangan beliau di dalam bidang akademik dan sukan bola sepak.

(Photo credit should read MIGUEL ROJO/AFP/Getty Images)

7. Jose Mourinho

Anda bukan peminat sukan bola sepak jika tidak mengenali nama Jose Mourinho.

Jose Mourinho, pengurus kelahiran Portugal adalah antara pengurus paling berjaya dalam arena sukan bola sepak dunia.

Karier dalam dunia bola sepak bermula sebagai seorang pemain, namun beliau gagal menjadikan diri sebagai seorang pemain yang berjaya.

Mourinho kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknikal di Lisbon dalam bidang Ijazah Sains Sukan.

Beliau kemudiannya mengajar di beberapa buah sekolah sebagai guru fizikal di peringkat pendidikan menengah.

Sebagai pengurus, Mourinho adalah salah seorang daripada 5 pengurus Eropah yang pernah memenangi UEFA Champions League bersama dua kelab berbeza.

Bekas pengendali Real Madrid, Inter Milan, Porto dan Chelsea ini juga berpeluang merangkul kejuaraan UEFA Europa League bersama Manchester United pada minggu hadapan.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Rumusan

Guru adalah lilin. Guru adalah pelita. Guru adalah matahari. Anda boleh ungkapkan apa sahaja kata nama tanpa menafikan signifikan kehadiran seorang guru di dalam kehidupan kita.

Kami di Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan pembaca kami di seluruh Malaysia.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN