Kelab Inggeris, Forest Green Rovers merancang membina sebuah stadium berkonsepkan mesra alam. Malah, stadium ini bakal dibina menggunakan kayu sebagai bahan utama.
Stadium ini bakal berkapasiti 5000 dan kesemuanya mempunyai tempat duduk.
Walaupun pembinaan ini lambat lagi dimulakan, ia tidak bermakna Forest Green Rovers tidak perlu melakukan sesuatu!
Padang di stadium sekarang, New Lawn dibajai menggunakan tahi lembu! Dipercayai penggunaan tahi lembu sebagai baja untuk padang bola sepak merupakan yang pertama di dunia.
Usaha itu berbaloi apabila kelab diberi anugerah kerana menguruskan padang tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.
Kelab ini menggunakan panel solar untuk menjana elektrik. Malah, mesin rumput untuk mengetam rumput juga dijana melalui panel solar.
Misi
Dale Vince, pemilik kelab ini mempunyai satu misi; menjadi kelab yang paling mesra alam di planet ini.
Kami tidak pasti apa yang muncul di minda para pembaca sekarang.
Kelab juga memperkenalkan makanan berasaskan tumbuhan untuk dijamu kepada para penyokong yang bertandang ke stadium. Maka tiada makanan berasaskan daripada daging dijual di sini. Ini termasuk daging ikan.
OK, sesiapa berniaga tauhu bolehlah luaskan pasaran ke sini!
Selain itu, pemain kelab ini tidak dibenarkan memakan daging merah. Malah, sebelum pengambilan pemain baru dibuat, pihak kelab akan menyemak disiplin dietetik pemain tersebut.
Sedikit latar belakang
Forest Green Rovers bakal beraksi dalam saingan LeagueTwo musim hadapan. Mereka menewaskan Tranmere Rovers dalam play-off National League kelmarin.
Kelab ini digelar Green. Malah, ada kalanya mereka menggunakan nama Rovers sebagai gelaran. Berikutan banyak sangat kelab memakai Rovers, lebih baik guna nama yang senang diingati.
Sebabnya, kelab yang menggunakan warna hijau sebagai tema kelab sangatlah sikit di liga Inggeris.
Uniknya, mereka bakal beraksi di bandar yang paling sedikit penduduk dalam senarai hos EFL! Bandar Nailsworth hanyalah berpenduduk tidak sampai 6000 orang. Stadium mereka, The New Lawn kapasiti 5200 orang.
Rasanya wajarlah kelab ini mempunyai hubungan baik bersama Barcelona! Kerana logo lama kelab ini mirip Barcelona. Anda tak percaya, bukti sudah tertera di atas.
Konklusi
Rasanya tidak semua kelab bola sepak di dunia mampu melaksana idea segila Forest Green Rovers. Kenapa Forest Green Rovers mampu melakukannya, kerana mereka merupakan kelab yang kecil dan senang dikawal selia.
Majoriti kelab bola sepak di dunia perlu mencontohi kelab kecil ini. Barangkali kempen kesedaran terhadap alam sekitar barangkali boleh diadakan. Atau pun para pemain melakukan khidmat komuniti alam sekitar di kawasan berhampiran.