Sumber Berita Harian mendedahkan penyerang sensasi berusia 33 tahun Kelantan, Mohammed Ghaddar sudah bersedia meninggalkan pasukan Kelantan.
Ghaddar kembali menyarung jersi Kelantan pada awal musim ini.
Dalam satu kenyataan selamat tinggal untuk penyokong Kelantan, Ghaddar meminta maaf kerana terpaksa mengambil keputusan sukar ini.
Beliau masih mahu kekal bersama Kelantan seperti mana janji beliau pada awal musim sebelum ini namun nampaknya keadaan tidak menginzinkan dan atas faktor keluarga.
Menurut Berita Harian mereka ada menghubungi Ghaddar dan penyerang sensasi Lubnan itu berkata kepada BH Sukan:
“Saya tidak berniat melukakan hati penyokong Kelantan, namun anda tahu saya mempunyai keluarga yang mengharapkan nafkah daripada saya.
“Saya pernah beritahu akan setia dengan Kelantan namun selepas berbincang dengan beberapa pihak, saya terpaksa membuat keputusan untuk berpindah.”
“Ini keputusan saya sendiri dan tiada desakan mana-mana pihak atau kaitan dengan isu pasukan Kelantan.”
“Saya harap penyokong memahami situasi seorang pemain bola.”
Berita Harian turut melaporkan pasukan JDT berminat mendapatkan khidmat Ghaddar dan sudah menghantar tawaran kepada KAFA untuk pemain itu.
Peraturan terbaru dalam jendela perpindahan kali ini, pemain import dibenarkan untuk berpindah pasukan pada pertengahan musim.
Dengan syarat ia dilakukan dengan cara betul iaitu melalui tebus kontrak ataupun perjanjian yang sah yang lain. Jendela perpindahan dibuka pada 16 Jun ini.
Sebagai rekod, Ghaddar sudah melakukan 18 gol dalam Liga Super musim ini setakat ini. Beliau sudah melakukan 2 hatrik dan 1 aksi 4 gol dalam satu perlawanan.