Sebelum ini Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais menafikan skuad Bujang Senang sedang mengintai tenaga import baharu untuk menghadapi pusingan kedua Liga Super 2017.
Pasukan Sarawak kini berada di kedudukan ke-11 Liga Super selepas hanya berjaya mengikat Selangor 1-1 di Stadium Negeri pada 9hb Mei yang lalu.
Bagaimanapun, menjelang jendela perpindahan pemain yang akan dibuka pada 13 Mei ini, khabar angin akan berlaku rombakan kepada barisan pemain import Sarawak semakin bertiup kencang.
Sebelum ini, kelibat bekas pemain import Sarawak, Ronald Hikspoors sering kelihatan mengikuti latihan bersama pasukan dari Borneo tersebut.
Namun sumber kami menyatakan kehadiran Ronald bersama pasukan Bujang Senang adalah untuk mengekalkan kecergasan dalam usaha beliau mencari pasukan baharu sama ada di Liga Malaysia atau di Liga Indonesia.
Tidak dapat dipastikan sama ada Ronald turut berada di bawah radar pasukan Bujang Senang untuk jendela perpindahan yang akan datang.
Tetapi apa yang menarik perhatian kami adalah kelibat pemain kebangsaan Singapura, Sahil Suhaimi yang dilaporkan kelihatan di sekitar Kompleks Sukan Negeri Sarawak.
Seorang pembaca kami telah mengirim gambar ini dan membenarkan kami untuk menyiarkannya secara eksklusif kepada anda.
Sahil Suhaimi dipercayai adalah individu yang berbaju-T putih berada di belakang sekali sedang berjalan memasuki Kompleks Sukan Negeri Sarawak bersama dua lagi individu tang tidak boleh dikenalpasti.
Kemungkinan Sahil Suhaimi menyertai skuad bimbingan David Usop boleh dianggap berasas, mengambil kira kelemahan pasukan Sarawak di bahagian serangan atau “final third” yang acap kali ketandusan kreativiti.
Sebuah portal yang sering berkongsi berita bola sepak Sarawak, Shoot Sampei Bisak Net Tiang Gol Ya melaporkan bahawa skuad Bujang Senang turut mengintai seorang pemain antarabangsa Lebanon, Abo Baker El Mel sebagai satu lagi calon import.
Abo Baker El Mel adalah penyerang berusia 24 tahun dan beraksi di Liga Perdana Lebanon bersama kelab A.C Tripoli.
Semakan lanjut kami menunjukkan Abo Baker turut beraksi bersama-sama penyerang sensasi Kelantan, Mohammed Ghaddar untuk skuad kebangsaan Lebanon.
Pada awal musim Liga Super Malaysia 2017, Sarawak mengikat 4 pemain import untuk cabaran pada musim ini, Mark Andrew Hartmann (Filipina), Lee Jong-Ho (Korea Selatan), Demerson Bruno Costa (Brazil) dan Mateo Roskam (Croatia).
Kempat-empat pemain menampilkan aksi yang agak memberangsangkan pada awal musim.
Bagaimanapun, kelibat mereka sering merungsingkan penyokong dan pengurusan Sarawak FA ketika pusingan pertama Liga Super memasuki babak pertengahan.
Percaturan David Usop yang sering menyenaraikan Mark Hartmann dan Lee Jong-Ho di bangku simpanan juga menjadi tanda tanya pengikut bola sepak Sarawak.
Menurut sumber yang boleh dipercayai di Sarawak, ada yang mengaitkan Mark Hartmann sudah tidak ada hati untuk bermain untuk Sarawak.
Ini yang membuatkan Hartmann tidak bermain walaupun 70% di dalam permainan beliau. Ia memberikan impak kepada Roskam yang memerlukan sokongan Hartmann secara taktikal.
Tanpa ingin membuat sebarang spekulasi, kita nantikan sama-sama jika benar ada perubahan di dalam barisan import Sarawak menjelang pembukaan jendela perpindahan pemain akan datang.
Baca juga: Mark Hartmann, Bekas Pelatih Southampton Yang Menyertai Bujang Senang