Perlawanan Pusingan Akhir Kelayakkan Piala Asia di antara Korea Utara dan Malaysia akan diteruskan diadakan di Pyongyang.
Hal ini dihebahkan dari satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lewat malam semalam.
Ianya setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiada lagi sekatan perjalanan dari kerajaan Malaysia untuk kunjungan ke negara berkenaan.
“Berikutan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia mengenai tiada lagi sekatan perjalanan dari kerajaan, AFC teleh bersetuju bahawa perlawanan Pusingan Akhir Kelayakkan ‘AFC Asian Cup UAE 2019’, peringkat Kumpulan B kini akan diadakan di Pyongyang, DPR Korea pada 8 Jun 2017.”
Demikian petikan kenyataan AFC yang turut dimuatnaik di laman rasmi media sosial Facebook FAM semalam.
Sebelum ini, perlawanan membabitkan pasukan bola sepak kedua-dua negara dijadualkan berlangsung pada 28 Mac 2017.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia melakukan sekatan ke atas skuad Harimau Malaya setelah timbuk ketegangan di antara kedua-dua buah negara.
Ketegangan politik membabitkan kedua-dua negara terjadi disebabkan oleh pembunuhan Kim Jong-Nam.
Kim Jong-Nam merupakan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dipercayai dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb yang lalu.
Ketegangan politik membabitkan kedua-dua negara memuncak apabila Duta Besar DPR Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol diisytiharkan sebagai individu “Persona Non Grata” oleh kerajaan Malaysia.
Pengisytiharan tersebut dilakukan setelah Kang Chol menuduh Malaysia bersekongkol dengan kuasa asing dalam menjatuhkan Korea Utara dalam kes pembunuhan berkenaan.
Sebagai tindak balas, Korea Utara melakukan perkara yang sama terhadap Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, namun menghalang 9 rakyat Malaysia yang berada di sana untuk pulang ke tanah air.
Putrajaya juga dilaporkan mengambil tindakan yang sama sebagai jaminan keselamatan rakyat Malaysia yang dilarang keluar dari negara berkenaan.
Kemelut kedua-dua negara mulai surut apabila rundingan di antara kedua-dua negara menyaksikan 9 rakyat Malaysia dibawa pulang pada 31 Mac yang lalu.
Mayat Kim Jong Nam dihantar pulang ke Korea Utara setelah bedah siasat dan isu surat pelepasan koroner di Malaysia diselesaikan.
Baca juga: Kiraan Detik 100 Hari Ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Bermula