Tatkala ramai yang lebih memandang serta memuji aksi trio serangan Liverpool ramai yang mungkin terlupa bagaimana Simon Mignolet melalui musim ini.
Dari ranking sebagai penjaga gol utama musim lalu, kesilapan yang sering kali dilakukannya menyebabkan ramai peminat Liverpool yang begitu teruja tatkala Jurgen Klopp membawa masuk Loris Karius di musim perpindahan sebelum musim bermula.
Mignolet dapat beraksi untuk 5 perlawanan awal liga bersama Liverpool dek kerana Karius mengalami patah tangan ketika aksi pra-musim di Amerika Syarikat.
Namun, aksinya ketika itu agak membimbangkan apabila beliau dibolosi sebanyak 8 gol dalam 5 aksi awal tersebut.
Apa yang boleh diingati tentang Mignolet di awal musim hanyalah aksi tangkasnya untuk menyelamatkan sepakan penalti Walcott seterusnya membantu Liverpool menang perlawanan tersebut dengan keputusan 4-3.
Namun setelah itu, segalanya agak kelam buat Mignolet di Liverpool.
Tambah menggelapkan lagi masa depannya di Liverpool adalah apabila Mignolet seakan hilang tempatnya sebagai penjaga gol utama.
Hal ini terjadi apabila Klopp mendedahkan yang kedudukan selaku penjaga gol utama Liverpool diserahkan kepada penjaga gol muda dari Jerman – Loris Karius.
Saya seakan menantikan kenyataan berbaur kekecewaan dari Mignolet berkaitan hal ini. Namun ianya sama sekali tidak terjadi.
Sebaliknya apa yang berlaku adalah pos serta kenyataan-kenyataan positif dari Mignolet.
“Saya tak akan pernah mengalah kerana ia bukanlah sifat saya sebagai seorang yang cepat mengalah.”
Kata-kata yang dipegangnya seterusnya membantu beliau untuk kembali berada dalam kesebelasan utama Liverpool.
Kata-kata yang pastinya terus dipegangnya hingga kini yang menyaksikan Karius berada di bangku simpanan untuk melihat serta mungkin juga mempelajari sesuatu dari penjaga gol Belgium berusia 28 tahun itu.
Dan aksinya ketika menentang Stoke City tempoh hari seakan menutup mulut pengkritik beliau sebelum ini apabila Mignolet menghasilkan 2 aksi menyelamat yang menakjubkan serta bertaraf dunia.
Sementara buat Klopp pula, aksi menyelamat cubaan Sadio Berahino dilabelkan sebagai salah satu aksi menyelamat terbaik yang pernah disaksikan pengurus Jerman itu.
Aksi yang juga membuatkan Mignolet dipilih penyokong Liverpool sebagai pemain terbaik perlawanan dalam perlawanan tersebut.
Pastinya apa yang diharapkan oleh penyokong Liverpool seantero dunia ketika ini adalah aksi-aksi tangkas yang dipamerkan Mignolet dalam perlawanan menentang Stoke City dapat diteruskan dalam 6 lagi baki perlawanan.
Sesuatu yang turut diharapkan Mignolet bagi membantu Liverpool untuk beraksi di UEFA Champions League musim depan.
Persoalannya mampukah Mignolet meneruskan aksi cemerlang itu? Dan mampukah Liverpool untuk berada dalam kelompok 4 terbaik liga di hujung musim nanti?
Sebagai penyokong Liverpool pastinya kita meletakkan jawapan ‘Ya’ kepada kedua-dua persoalan tersebut.
Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Nora Wahid yang merupakan peminat setia Liverpool. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam bentuk MS Word ke [email protected] .
Baca juga: Lelaki Ini Menceritakan Dedikasi Matlan Marjan Dalam Membantu Bola Sepak Sabah