Bola sepak padang bukan sahaja dimain secara 11 sebelah sahaja. Malah ia juga dimainkan dalam versi bola sepak 7 sebelah dan juga bola sepak 9 sebelah juga!
Kali ini, fokus kami adalah untuk bola sepak 9 sebelah. Oleh itu, artikel kali ini kami memperkenalkan kepada anda 5 formasi asas yang sering digunakan dalam permainan bola sepak 9 sebelah.
Formasi 3-2-3
Formasi 3-2-3 ini boleh dikatakan formasi paling asas dalam bola sepak 9 sebelah. Ia diibaratkan seperti formasi 4-4-2 dalam bola sepak biasa.
Kebanyakan jurulatih bola sepak 9 sebelah akan mencadangkan kepada anda mengenai formasi ini. Hal ini kerana, formasi ini adalah bersfiat menyerang serta fleksible untuk digunakan.
Sebabnya adalah kerana formasi 3-2-3 ini merupakan formasi yang memberikan keseimbagan kepada bahagian serangan, kerana ia akan memberikan peluang untuk pemain bergerak ke bahagian sayap untuk menyerang dari tepi.
Selain itu juga, ia memberi mengukuhkan bahagian pertahanan kerana terdapat 3 pemain pertahanan yang akan melindungi pasukan dari dibolosi.
Namun begitu seperti formasi 4-4-2, pasukan anda akan terdedah dengan dirisiko didominasi di bahagian tengah oleh pihak lawan.
Oleh itu, adalah perlu untuk mempunyai pemain di bahagian serangan yang mempunyai keupayaan untuk turun ke bawah membantu bahagian pertahanan ketika pasukan diserang pihak lawan.
Formasi 3-4-1
Formasi ini merupakan formasi yang lebih memfokuskan bahagian pertahanan pasukan.
Walaupun formasi ini bersifat bertahan, namun ia boleh bertukar menjadi menyerang apabila anda mengarahkan 2 pemain sayap anda untuk mara membantu bahagian serangan.
Namun begitu, formasi ini mempunyai risiko bagi penyerang tunggal di atas padang. Beliau boleh terpinggir atau isolated ketika pasukan sedang bertahan.
Formasi 2-4-2
Formasi 2-4-2 memfokuskan kepada fleksibiti kepada pasukannya yang memakai formasi ini.
Hal ini kerana, 4 pemain dibahagian tengah ini boleh memberikan sokongan sama ada sokongan untuk bahagian pertahanan atau menyerang.
Untungnya fomasi ini kerana pasukan akan mempunyai 2 pemain sayap yang nyata, sementara 2 penyerang dihadapan boleh bergabung mencipta kombinasi serangan yang berbahaya.
Tetapi pasukan anda akan terdedah dengan masalah jika pemain tengah anda tidak sedar bila perlu untuk membantu bahagian serangan.
Dalam masa yang sama, pasukan anda memerlukan 2 pertahanan yang ampuh untuk melindungi bahagian pertahanan serta bijak mengatur bahagian tengah anda. Dan yang terakhir, pasangan pertahanan anda perlulah mempunyai keserasian yang tinggi ketika beraksi.
Formasi 2-3-2-1
Untuk formasi ini, ia akan memaksimakan kehadiran full-back. Full-back di dalam formasi ini akan naik ke bahagian serangan dan apabila bertahan ia akan membentuk rantaian 4 pemain di bahagian pertahanan.
Oleh itu, full-back di dalam formasi ini perlu bertindak sebagai wing-back untuk membantu bahagian serangan serta pertahanan.
Walaupun formasi ini menfokuskan kepada bahagian serangan di sebelah tepi, tetapi pemain tengah menyerang dalam formasi ini boleh saja bergabung dengan penyerang dihadapan untuk mencipta bahaya dari bahagian tengah.
Formasi 2-1-3-1-1
Formasi ini agak ‘pelik’ dari segi susunannya, namun begitu ini merupakan formasi yang kerap dicadangkan oleh para jurulatih bola sepak 9 sebelah.
Formasi ini memberi kesukaran kepada pasukan lawan untuk menyerang dari bahagian tengah, hal ini kerana lapisan yang tercipta di bahagian tengah memaksa pasukan lawan untuk menggunakan bahagian tepi sahaja untuk menyerang.
Pemain tengah menyerang boleh diberikan peranan bebas untuk membantu para pasukan dari segi mengeksploit ruang yang ada.
Tetapi pasukan yang menggunakan formasi ini memerlukan disiplin yang tinggi dari para pemain yang bermain dengan peranan bertahan. Hal ini kerana benteng pertahanan boleh terdedah jika tiada tumpuan tinggi diberikan.
Berikut adalah beberapa formasi asas untuk bola sepak 9 sebelah, anda ada formasi lain yang sesuai? Jangan lupa komen!
Baca juga: 8 Tips Untuk Tingkatkan Kemahiran Futsal!