Baru-baru ini, kita semua mendapat berita mengenai kemenangan AC Milan ke atas Juventus di aksi Suppercoppa Italiana.
Kejayaan AC Milan itu telah mengalih tumpuan pihak terhadap gergasi Itali yang sudah lama tidur ini.
Malah, pengurus AC Milan Vicenzo Montella juga berkata kemenangan AC Milan ini menandakan era kegemilangan mereka akan kembali semula.
Dalam masa yang sama, bagi mereka yang tidak mengikuti Serie A secara dekat pasti akan pelik. Kenapa Supercoppa Italiana dimainkan di luar negara?
Berikut adalah jawapan kami untuk persoalan tersebut.
Tidak tetap
Supercoppa Italiana ini tarafnya sama dengan Piala Sumbangsih di Malaysia, FA Community Shield di England dan Supercopa de Espana di Sepanyol.
Ia sebenarnya merupakan perlawanan tunggal yang diadakan diantara juara Serie A dan juara Coppa Italia pada seminggu sebelum kalendar bola sepak Itali bermula.
Jika dibuka semula fail sejarah, Supercoppa Italiana pertama kali dipertandingkan pada 1988 yang menyaksikan AC Milan muncul juara menewaskan Sampdoria dengan jaringan 3-1.
Jadi sebenarnya piala ini boleh dikatakan masih baru lagi di Itali jika hendak dibandingkan dengan FA Community Shield yang sudah dipertandingkan sejak 1908 di England.
Malah, Piala Sumbangsih di negara kita lebih awal dipertandingkan iaitu pada 1895!
Memandangkan Itali tiada stadium nasional, perlawanan Supercoppa Italiana ini sering diadakan di lokasi yang berbeza-beza.
Lazimnya, pasukan yang menjadi juara Serie A pada musim lalu akan menjadi tuan rumah kepada juara Coppa Italia pada perlawanan Supercoppa Italiana.
Hanya pada tahun 2013 sahaja SuperCoppa Italiana dilangsungkan di gelanggang neutral di Itali.
Ia dilangsungkan di Stadio Olimpico yang menyaksikan Juventus bertemu Lazio ketika itu. Dalam perlawanan itu, Juventus dikira sebagai tuan rumah.
Beraksi di luar negara
Sejak 2009, Supercoppa Italiana dilangsungkan secara kerap di luar negara. Cuma pada edisi 2010 dan 2013 sahaja ia dilangsungkan di Itali.
Sebab mengapa Supercoppa Italiana dilangsungkan di luar negara adalah untuk tujuan mempromosikan Serie A, secara tak langsung menaikkan semula nama liga tersebut yang pernah tercemar dengan skandal rasuah pada 2006.
Sebelum Supercoppa Italiana dilangsungkan secara kerap di luar Itali seperti sekarang, perlawanan ini juga pernah dilangsungkan di luar Itali beberapa tahun lepas.
Seperti pada tahun 1993, perlawanan Supercoppa Italiana dilangsungkan di RFK Stadium di Amerika Syarikat.
Sama juga pada awal 2000an, 11 June Stadium di Libya dan Giant Stadium di Amerika Syarikat pernah menjadi tuan rumah kepada perlawanan Supercoppa Italiana pada tahun 2002 dan 2003.
Untuk edisi 2016, ia dilangsungkan di Doha, Qatar.
Baca juga: