Lawan Chapecoense dalam perlawanan terakhir Serie A Brazil, iaitu Atletico Mineiro sah tidak akan bermain dalam perlawanan tersebut.
Ini kerana mereka mahu menghormati kelab yang baru kehilangan sebahagian besar daripada pemain mereka dalam nahas kapal terbang minggu ini.
Presiden Atletico Mineiro, Daniel Nepomuceno berkata:
“Saya telah berhubung dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF), dan mereka menerimanya.”
“Atletico tidak akan bermain, kerana kami tidak mahu membiarkan Chapecoense bermain permainan terakhir.”
“Sebelum mereka membuat apa-apa keputusan (mungkin mempertimbangkan menarik diri), baik kami yang berbuat demikian terlebih dahulu.”
“Ini bukan masa yang sesuai untuk meminta macam-macam daripada mereka.”
Atletico Mineiro kini berada tangga ke-4 Serie A. Mereka 6 mata di atas pasukan di tangga ke-5. Jadi, Atleico Mineiro telah layak ke Copa Libertadores. Chapecoense pula sedang berada di tempat kesembilan.
“Jika kami (Atletico) menarik diri dan tidak mahu bermain perlawanan ini, hukuman yang terbesar pun mungkin hanya kehilangan tiga mata. Itu tidak akan menjejaskan kedudukan kami.”
“Ia ‘kehilangan’ yang sangat minimum dan juga satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan buat masa ini untuk menghormati ahli keluarga mereka, bandar mereka, negeri dan juga negara yang terlalu sedih minggu ini.”
Pihak Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) masih belum memberikan respon secara rasmi. Jika diterima, Atletico Mineiro akan ditolak 3 mata dan Chapecoense akan dihadiahkan 3 mata.
Buat masa ini, Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) sedang mennggantung kesemua aktiviti bola sepak untuk tujuh hari. Perlawanan akhir Piala Brazil antara Atletico Mineiro dan Gremio juga turut ditangguhkan.
Sebelum ini, finalis Copa Sudamericana, Atletico Nacional dari Colombia sudah menghantar surat rasmi untuk meminta CONMEBOL memberikan kejuaraan Copa Sudamericana kepada Chapecoense.
Semalam, pada 1 Disember adalah tarikh sepatutnya perlawanan final pertama Copa Sudamericana. Pemain dan penyokong Atletico Nacional tetap turun memenuhi stadium dan menganjurkan upacara penghormatan kepada ‘lawan’ mereka.
Dijangka mereka (penyokong Atletico Nacional) akan berkunjung ke Brazil untuk perlawanan kedua 6 Disember ini sebagai tanda mengormati lawan mereka.
Majlis yang agak emosi ini menunjukkan semangat persaudaraan dalam bola sepak. Tidak lupa gambar di bawah, ketika Edinson Cavani memberikan penghormatan beliau kepada Chapecoense.
Cavani dilayangkan kad kuning ketika meraikan gol beliau menentang Angers dalam perlawanan Ligue 1 baru-baru ini.
Baca juga : Tragedi Nahas Kapal Terbang Chapecoense: Mimpi ‘Leicester Brazil’ Yang Berakhir Dengan Tragedi