Peledak berbisa English Premier League (EPL) iaitu Chris Wood mengakui teruja melihat kualiti yang mampu ditampilkan oleh skuad Harimau Malaya ketika beraksi di pentas antarabangsa sebelum ini.
Apa tidaknya, Wood sendiri sebelum itu merasai pengalaman untuk menghadapi Malaysia di pentas antarabangsa ketika membabitkan skuad kebangsaannya iaitu New Zealand pada aksi persahabatan pada 14 Oktober lalu di Stadium North Harbour.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Pau Marti Vicente mencatat kekalahan besar 0-4 di tangan lawan dengan penyerang berbisa Nottingham Forest itu turut meledak salah satu gol pada minit ke-72.
Pada aksi tersebut, Wood dibawa masuk pada minit ke-62 untuk menggantikan khidmat B. Waine dan tidak mengambil masa lama untuk terus membuktikan ketajaman beliau di hadapan gawang gol.
Meskipun meraih kemenangan besar, Wood tidak menganggap Harimau Malaya sebagai lawan mudah dihadapi setelah beliau sendiri melihat situasi ssebenar permainan di tepi padang babak separuh masa pertama.
“Pada pandangan saya mereka sebuah pasukan yang sangat hebat dengan datang ke sini dan mencetuskan masalah buat kami (dalam permainan).
“Ia satu malam yang sejuk serta berangin dan bagi sebahagian daripada kami itu cuma perkara biasa selaku orang Kiwi (New Zealand).
“Mereka berjaya menyelesaikannya dengan baik pada separuh masa pertama dengan memberi cabaran baik terutama daripada segi serangan balas.
“Namun pada akhirnya, cuaca memberi kelebihan buat kami dan kami beraksi lebih bagus untuk memenangi aksi tersebut,” ujar Wood menerusi perkongsian dibuat oleh Stadium Astro.
Seperti diketahui, Wood kini menjadi antara penggempur berbisa di England bersama Nottingham Forest setelah beliau telah meledak 10 gol daripada 16 perlawanan domestik.
Bersama New Zealand, penyerang berusia 33 tahun itu telah pun merekodkan 36 gol bersama 7 bantuan jaringan daripada 76 penampilan secara keseluruhan.
Wood juga turut membantu New Zealand beraksi di pentas Piala Dunia pada tahun 2010 dengan dirinya beraksi di tiga posisi sepanjang tiga perlawanan dan tidak merekodkan sebarang jaringan.
Sudah tentu kini nama beliau dianggap cukup ikonik dalam kalangan peminat bola sepak dunia, ekoran ketajaman dibuktikannya bersama Nottingham Forest.