Kelab amatur, Shah Alam Antlers dilaporkan bakal membuat kemunculan semula dalam saingan liga bola sepak tempatan di Malaysia selepas mereka tampil agak lama berdiam diri tanpa sebarang berita.
Terbaharu, kelab tersebut sudah pun mengeluarkan kenyataan mereka akan kembali mencipta kemunculan dengan beberapa penstrukturan baharu dibuat membabitkan pengurusan pasukan.
Untuk rekod, Shah Alam Antlers ditubuhkan pada tahun 2017 dan populariti pasukan itu berjaya menarik ribuan penyokong sekitar Selangor serta turut diberi tumpuan peminat bola sepak negeri-negeri lain.
Namun, pasukan itu tampil perlahan dalam aktiviti bola sepak tempatan sehingga dianggap sudah pun ‘mati’ dalam kalangan para penyokong.
Tampil memberi penjelasan, Shah Alam Antlers melaporkan mereka berdiam diri sebelum ini wabak pandemik yang melanda telah membantutkan perjalanan pasukan itu.
“Setelah ditubuhkan pada awal tahun 2017, penyokong kelab sentiasa menjadi denyut nadi kelab kami.
“Kami cuba menjadi penanda aras buat kelab bolasepak komuniti di Lembah Klang sehingga kemudiannya lebih banyak kelab berasaskan komuniti setempat, bandar, kampung tertubuh atas usaha kecil kami.
“Nama Shah Alam Antlers FC meniti tinggi di bibir pemain industri bolasepak amatur di Malaysia. Kenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama ribuan penyokong kami adalah antara era kemuncak Shah Alam Antlers FC.
“Namun pandemik membantutkan kami, lebih 3 tahun kelab tiada sebarang aktiviti sehingga disangkakan telah mati dari semua yang pernah memerhati,” jelas pasukan tersebut menerusi satu kenyataan rasmi.
Kini, laporan baharu menerusi kenyataan kelab menyatakan mereka sedia untuk kembali mencipta kemunculan dalam dunia bola sepak amatur.
Malah pasukan ini juga bakal membuat penstrukturan baharu dengan ia bakal membabitkan para penyokong mereka sendiri untuk menentukan hala tuju baharu pada masa hadapan.
“Sehubungan dengan itu, kami sebagai pergerakan penyokong Shah Alam Antlers FC mengumumkan kami akan mula menyinari kembali dunia bolasepak amatur.
“Kelab Bolasepak Shah Alam Antlers akan DIBERIKAN SEMULA kepada penyokong untuk menentukan halatuju kelab sepenuhnya.
“Dalam masa terdekat kami akan umumkan penstrukturan semula Shah Alam
Antlers yang akan lebih mesra komuniti.
“Terakhir, untuk membawa semula penyokong yang telah pergi membawa diri, kami panggil semula semua yang pernah berada di bawah bendera BIANCO AZZURRO untuk menyokong kami dalam Liga Isma Satria 2024,” ulas kenyataan itu akhir sekali.