Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong akui beliau langsung tidak kisah dengan apa jua keputusan bakal mereka peroleh pada aksi persahabatan hari ini membabitkan mereka menentang Tanzania.
Untuk rekod, ini merupakan detik pertemuan sulung antara kedua negara tersebut dan ia menjadi salah satu medan ujian terbaik buat Sang Garuda untuk menguji kekuatan semasa sebelum mengharungi siri Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Aksi kelayakan ini dianggap sangat penting buat Shin kerana mereka hanya memerlukan satu sahaja lagi kemenangan untuk memastikan mereka lolos ke pusingan seterusnya serta meraih slot Piala Asia 2027.
Bagi memastikan Indonesia tampil terbaik, pengendali dari Korea Selatan itu turut menyenaraikan barisan pemain terbaik dengan menggabungkan anak tempatan serta tonggak warisan di segenap posisi.
Mengulas pada aksi ini, Shin turut mengucapkan penghargaan beliau kepada Tanzania kerana sudi mengharungi aksi persahabatan tersebut bersama Indonesia.
Pengendali berpengalaman itu turut menjelaskan keadaan semasa persiapan pasukan serta alasan mengapa kem latihan pusat diadakan dengan lebih awal.
“Pertama sekali, saya perlu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tanzania yang sudi datang dari jauh untuk ke sini demi menjalani aksi persahabatan.
“Seperti diketahui, saingan liga di Eropah dan Indonesia sudah pun berakhir dan saya sengaja mengharungi kem latihan pusat dengan lebih awal untuk meningkatkan prestasi semasa para pemain.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Tanzania yang sudi memberi maklum balas positif dan sudi hadir ke sini untuk satu perlawanan persahabatan,” ujar Shin menerusi petikan Bola.com.
Pada masa sama, beliau juga mengakui tak mengambil kisah langsung akan keputusan bakal diperoleh Sang Garuda pada aksi persahabatan tersebut kerana Shin memilih untuk melihat keadaan para pemain terlebih dahulu.
Malah, beliau juga ingin memberi tumpuan kepada isu fizikal para pemain dengan aksi tersebut juga bakal berlangsung pada waktu siang.
Untuk info, aksi tersebut juga bukanlah perlawanan rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan ini bermakna tiada sebarang mata akan ditambah atau ditolak membabitkan Indonesia dan Tanzania.
“Kami sudah sepakat bersama Tanzania bahawa aksi ini merupakan tier 1, tetapi penggantian pemain bakal dibuat lebih daripada enam orang dan ini bermakna ia hanyalah perlawanan ujian,” ujar Shin lagi.