Pemain muda Sri Pahang, Saiful Jamaluddin boleh dianggap sebagai aset penting kini buat pasukan tersebut selepas beliau memulakan langkah kanan pada musim ini untuk membantu Tok Gajah meraih kemenangan sulung dalam aksi Liga Super 2024/2025.
Apa tidaknya, Fandi Ahmad telah pun mengambil risiko terlebih dahulu untuk menurunkan pemain tersebut dalam kesebelasan utama di bahagian tengah berbanding menggunakan khidmat tonggak, Azam Azih.
Hasil kepercayaan Fandi itu dibalas sebaik mungkin apabila Saiful menampilkan kualiti permainan cukup baik selaku pemain tengah bertahan buat Sri Pahang.
Saiful bukan sahaja memiliki ketenangan cukup tinggi untuk menyerap segala asakan cuba dicipta pelawat, malah beliau juga memudahkan tugas buat Stefano Brundo serta Kuvondik Ruziev untuk lebih aktif membantu siri serangan mereka.
Secara individu, banyak peluang cuba dicipta oleh barisan pemain Kelantan Darul Naim (KDN) mudah dipatahkan oleh Saiful dengan lebih awal sehingga memaksa pemain tengah pelawat, Oday Kharoub menukar haluan ke sebelah tepi.
Selaku orang yang memberi kepercayaan penuh buat Saiful, jelas Fandi sangat gembira apabila rencana beliau berjaya disempurnakan pemain muda tersebut.
“Tetapi yang penting, hari ini (perlawanan lalu) kita ada disiplin sangat bagus dengan Saiful Jamaluddin berperanan baik di posisi tengah.
“Dia ibarat wiper, bersihkan segalanya. Yalah, mereka tukar formasi asal daripada 4-3-3 kepada 4-2-2, jadi dua pertahanan kita terikat dengan dua serangan mereka. Maka Saiful yang banyak selamatkan keadaan di situ.
“Mungkin ada perubahan pada perlawanan itu dengan sebelum ini kita menggunakan Azam, tetapi secara teknikal saya juga dah cakap dengan beliau yang saya nak seorang ‘fighter’.
“Kalau kita tak ada Saiful pada perlawanan itu ianya mungkin agak sukar kerana Stefano kadang-kadang naik terlalu jauh jadi pertahanan kita agak longgar,” ulas Fandi sebelum ini.
Melihat kepada kualiti permainan dimiliki Saiful pada aksi lalu, ada kemungkinan peluang untuk dirinya tampil lebih kerap musim ini bersama skuad senior Tok Gajah.
Musim lalu menyaksikan pemain berketinggian 1.84 meter itu diberi peluang beraksi bersama Sri Pahang hanya dalam beberapa perlawanan sahaja dan kali ini pastinya Saiful lebih bersedia untuk skuad senior.
Pada pandangan anda, adakah kehadiran Saiful bakal memberi cabaran lebih besar selepas ini buat Azam untuk mendapat tempat bersama Sri Pahang?