Pihak polis nampaknya terus berusaha untuk memastikan penjenayah yang menyimbah asid kepada Faisal Halim dapat diberkas, dengan terbaharu suspek kedua telah pun ditahan untuk membantu siasatan.
Menurut laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro sebentar tadi, suspek merupakan seorang individu berusia lingkungan 30-an dan telah pun ditahan.
Malah, permohonan reman juga dilaporkan bakal dibuat di Mahkamah Petaling Jaya hari ini juga untuk terus membantu siasatan lebih lanjut.
Semalam, akhbar sama turut melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun telah ditahan polis demi membantu siasatan berkenaan kes simbahan asid buat bintang bola sepak Harimau Malaya itu.
Ianya disahkan sendiri oleh Ketua Polis Selangor iaitu Dato’ Hussein Bin Omar Khan dengan menyatakan salah seorang suspek kini telah pun ditahan mereka.
“Suspek adalah lelaki berusia 20-an dan akan direman hari ini. Pada masa sama, kami sudah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal).
“Polis juga akan memanggil beberapa saksi bebas bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Terdahulu, Faisal yang dilaporkan bersama ahli keluarga ketika itu diserang oleh dua individu tidak dikenali dengan simbahan asid dilepaskan kepada beliau sehingga kecederaan parah dialami pemain Selangor tersebut.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak polis di Selangor, mereka mendapat laporan pada jam 5:51 menerusi cawangan Petaling Jaya tentang siri serangan tersebut menerusi panggilan daripada orang awam.
“Pada 05/05/2024 jam lebih kurang 5:51 petang, Polis Petaling Jaya telah menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan Malaysian Emergency Response Services 999 memaklumkan pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair disyaki asid semasa berada di sebuah pasaraya terkemuka di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya.
“Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan keadaan mangsa adalah stabil.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” jelas kenyataan tersebut.
Malah, laporan terdahulu turut menyatakan dua suspek terlibat ketika menyimbah asid kepada Faisal sebelum mereka melarikan diri bersama motorsikal yang mempunyai nombor pendaftaran palsu.
Isu yang berlaku ini jelas mendapat pelbagai maklum balas daripada para penyokong bola sepak tempatan yang mahu pembelaan diberikan sewajarnya buat bintang Selangor tersebut.
Selain Faisal, seorang lagi pemain kebangsaan iaitu Akhyar Rashid turut diserang oleh dua individu tidak dikenal pasti ketika beliau berada di sekitar Kuala Terengganu.
Keadaan pemain kelahiran Kedah itu tidak kurang teruk apabila beliau dipukul sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala serta kaki.