Tiru Tanpa Hasil

Selantang mana pun peminat Selangor cuba nafikan, mereka harus akui – JDT adalah apa yang mereka idamkan untuk pasukan mereka. Tidak seperti pasukan mereka, JDT ada piala, ada stadium sendiri, ada fasiliti bertaraf dunia untuk pasukan senior, ada akademi sepenuh masa untuk pasukan belia, ada kekuatan kewangan yang mampan tanpa bantuan kerajaan negeri, mendominasi liga dan merajai bola sepak Malaysia.

Bermula sebagai pasukan yang melaungkan ‘Saksikan Harimau Selatan hilang taringnya’, agak lucu melihat Selangor sekarang – sebagai pengikut setia JDT. Aktif meniru gerak kerja JDT; Harimau Selatan sama yang mahu dihilangkan taringnya pada tahun 2018 dahulu.

Tak jauh di minda separa sedar penyokong Selangor, mereka melihat Stadium MBPJ seperti Stadium Sultan Ibrahim dan RMS seperti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.


Sedangkan realitinya masih jauh pasukan mereka ketinggalan berbanding JDT. ‘Rumah’ mereka masih rumah sewa. Etika kerja dan pencapaian RMS masih boleh dikira dengan sebelah tangan sahaja.

Orang putih selalu kata, “Imitation is the sincerest form of flattery.” Orang meniru kerana hasil kerja anda cukup bagus untuk ditiru. Bila anda ditiru, ia menandakan anda sudah mengecapi kejayaan. JDT melalui tempoh 10 tahun di mana semua pasukan di Malaysia bersumpah tak mahu mengikutinya, apatah lagi menirunya.

Sekarang, lihatlah di mana kita berada. Siapa yang memimpin di depan? Siapa yang meniru di belakang?

Sepuluh tahun lepas, pengkritik JDT beria-ia mempertahankan mentaliti ‘bermain demi lencana di dada’. Sepuluh tahun kemudian, JDT membuktikan pemain akan bermain demi lencana di dada hanya selepas kebajikan dan hak asas mereka sebagai pekerja terbela. Kebanggaan bermain untuk pasukan negeri kelahiran tidak akan membayar bil dan tanggungan pemain.

Sepuluh tahun lepas, pengkritik JDT menuduh DYAM Tunku Mahkota Ismail merosakkan liga. Sepuluh tahun kemudian, JDT dengan konsistennya meletakkan liga bola sepak Malaysia di radar Asia melalui penyertaannya dalam AFC Champions League (kini ACL Elite). Ini membolehkan pasukan lain, termasuk Selangor, mampu meyakinkan pemain import berkualiti untuk menandatangani kontrak dengan mereka dan bermain di liga kita.

Jika kita mahu berbicara secara objektif, JDT sendiri ‘meniru’ ketika mula-mula ditubuhkan pada tahun 2013. Model pembangunan skuad senior JDT disesuaikan daripada cara pasukan-pasukan elit Eropah seperti Manchester City dan Chelsea membina skuad yang mampu memenangi piala dalam masa 5 tahun.

Model pembangunan akademi akar umbinya pula disesuaikan daripada akademi Borussia Dortmund. Jaringan pencarian bakat pemain mudanya pula disesuaikan daripada cara kelab-kelab Primera División mencari pemain muda di Argentina.

Dalam aspek penyelenggaraan padang pula, JDT pada peringkat awalnya menggunakan kepakaran pakar rumput dari Jepun, Hiroi Koichi.

Tetapi seperti mana-mana individu dan organisasi berjaya, JDT tidak meniru semata-mata. JDT turut giat belajar. Akhirnya JDT mampu menemui acuan sendiri yang sesuai dengan konteks tempatan. Skuad senior tetap berjaya menjuarai liga domestik dan trofi Asia tanpa bintang sebesar Pablo Aimar seperti musim 2013.

Melalui Arif Aiman, Akademi JDT telah pun berjaya melahirkan pemain paling berharga di Malaysia buat tiga musim berturut-turut. Lebih banyak lagi akan dilahirkan dari akademi dua bintang AFC Elite Youth ini hasil kerja Ketua Unit Pencarian Bakat & Pembangunan Belianya, Diego Griffa.

Jika kita beralih ke padang, JDT bermula sebagai pasukan pertama di Malaysia menggunakan rumput Zeon Zoysia. Kini JDT merupakan pelopor penyelidikan rumput padang di Malaysia. Sebarang teknologi terbaru dan terawal, JDT pasti yang pertama akan membawanya ke Malaysia. DYAM Tunku Mahkota Ismail turut bermurah hati menderma rumput sebanyak dua kali ke Stadium Nasional Bukit Jalil selain turut menderma RM300,000 kepada setiap pasukan yang mahu menaik taraf padang stadium mereka.

Berbalik kepada Selangor, lima tahun selepas RMS mengambilalih, apakah pencapaian yang pihak pengurusan boleh tunjukkan kepada penyokongnya? Adakah jumlah pialanya? Adakah keadaan stadiumnya? Adakah produk akademinya? Apakah sumbangannya kepada bola sepak Malaysia?

Sekarang, bandingkan pula dengan apa yang JDT capai selepas 5 tahun hasil kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail: 11 trofi domestik dan Asia, stadium milik sendiri, akademi sepenuh masa milik sendiri dan membina jenama yang dikenali di luar Malaysia. Selangor boleh tiru siapa sahaja yang mereka mahu. Tapi di bawah pengurusan sekarang, ‘hustle’ mereka akan sukar membuahkan hasil.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN