Malaysia bawah 23 (B-23) bakal mengharungi aksi terakhir mereka pada hari ini dalam saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar dengan memiliki peluang terakhir untuk cuba mendapatkan mata serta jaringan sulung.
Terdahulu, skuad kebangsaan sah tersingkir lebih awal dalam saingan Piala Asia B-23, ekoran dua kekalahan direkodkan mereka di peringkat Kumpulan D bersama aksi cukup mengecewakan.
Apa tidaknya, Malaysia bukan sahaja tidak berjaya mendapat sebarang mata tetapi pasukan kebangsaan negara turut gagal untuk meledak sebarang gol selepas mengharungi dua aksi di peringkat kumpulan.
Dua aksi diharungi sebelum itu menyaksikan kini Harimau Malaya B-23 menerima pelbagai kritikan keras para penyokong tempatan menerusi media sosial.
Sehingga kini, hanya Malaysia satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang masih gagal untuk meraih sebarang mata atau gol jika dibandingkan bersama Vietnam, Thailand, serta Indonesia.
Menerusi situasi tersebut, tidak hairan mengapa kebanyakan penyokong tidak berpuas hati dengan apa ditampilkan oleh skuad kendalian Juan Torres Garrido di Qatar kini.
Sesetengah penyokong menganggap Malaysia B-23 hanya membazirkan wang negara sahaja kerana tiada pencapaian positif berjaya dilakar sepanjang mengharungi aksi di sana.
Tak kurang ada turut menyalahkan para pemain serta staf kejurulatihan yang gagal untuk menampilkan kualiti lebih baik selaku salah satu wakil negara ke pentas Piala Asia B-23 musim ini.
Jika dilihat pada situasi semasa, jelas motivasi para pemain berada pada tahap kurang menyakinkan selepas menerima dua kekalahan secara berturut-turut di Qatar.
Aksi berdepan Kuwait ini sebenarnya masih lagi sesuatu sangat penting untuk dihadapi pasukan negara dan para pemain muda kebangsaan perlu bangkit kembali untuk membuktikan dengan keputusan positif buat penyokong Malaysia.
Apa lebih penting, Garrido perlu bijak menangani moral pemain untuk kembali bangkit sebelum percaturan taktikal dibuat untuk menghadapi aksi berdepan Kuwait.
Jika dilihat pada peluang, pasukan muda kebangsaan masih lagi memiliki peluang untuk sekurangnya membawa pulang mata sulung serta jaringan pertama mereka di pentas kejohanan tersebut.
Apa lebih penting, para pemain perlu memperbaiki segala kelemahan mereka pada aksi lalu dan memperkemaskan jentera pertahanan untuk mengelak daripada meraih keputusan negatif berdepan lawan.