Perjalanan Malaysia bawah 23 (B-23) secara rasminya sudah pun berakhir dalam kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar, apabila mereka merekodkan kekalahan terbaharu di tangan Vietnam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa di Qatar, skuad kendalian Juan Torres Garrido mencatat kekalahan terbaharu 0-2 di tangan Vietnam menerusi jaringan Khuat Van Khang serta sepakan penalti di separuh masa kedua hasil ledakan Vo Hoang Minh Khoa untuk memastikan Malaysia terus kempunan mendapat sebarang mata.
Lebih perit, ini kali kedua Harimau Malaya B-23 memberi sepakan penalti buat lawan pada saingan ini dengan sebelum itu mereka menyumbang kepada kejayaan Uzbekistan.
Ketika ini, pelbagai kritikan timbul di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti para pemain muda negara yang beraksi di pentas Asia selepas mengharungi dua perlawanan.
Tatkala impian ke pentas Olimpik diletakkan ke atas mereka, corak permainan ditampilkan kini jelas tidak menyakinkan dengan pelbagai kelemahan masih dapat dikesan.
Apatah lagi Vietnam, Thailand, dan Indonesia sudah pun berjaya menyesuaikan diri dengan baik di saingan tersebut bersama keputusan semasa cukup positif jika dibandingkan Malaysia.
Berikut merupakan punca skuad pembangunan negara gagal untuk sekurangnya meraih satu mata pada aksi kedua mereka sewaktu menentang Vietnam.
Tumpul di hadapan gol
Walaupun ada rombakan kecil dibuat oleh Garrido untuk aksi berdepan Vietnam terutama sekali membabitkan barisan serangan negara, jelas ianya masih belum dapat diatasi.
Meletakkan Mukhairi Ajmal dan Fergus Tierney di posisi utama serangan negara, segalanya tampak tidak begitu banyak perubahan positif dapat dijelmakan apabila masing-masing mudah diatasi pertahanan lawan.
Malah, Tierney sendiri boleh dianggap sangat tumpul di hadapan gol walaupun mendapat banyak peluang selain Mukhairi seolah tidak wujud di barisan hadapan pasukan kebangsaan.
Kreativiti di bahagian tengah
Hanya Luqman Hakim dan Najmudin Akmal dilihat sangat bersungguh untuk cuba memecahkan blok pertahanan lawan menerusi kepantasan serta kualiti kawalan bola mereka.
Namun ianya masih belum cukup buat pasukan kebangsaan apabila mereka masih kurang daripada segi kreativiti untuk mempelbagaikan lagi corak serangan Malaysia.
Malah, Noaa Laine jelas begitu pasif untuk sesekali membantu serangan negara dengan beliau bersama Muhammad Khalil memberi lebih banyak tumpuan buat pertahanan Harimau Malaya.
Persefahaman sesama pemain
Daripada segi penguasaan bola dan asas permainan mungkin ianya lebih baik jika dibandingkan pada aksi lalu sewaktu Malaysia tewas di tangan Uzbekistan.
Namun, isu persefahaman masih lagi menghantui kem kebangsaan dengan ianya dilihat begitu jelas sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.
Para pemain muda negara boleh dikatakan kerap membuat kesilapan daripada segi hantaran yang berjaya dipintas lawan selain beberapa idea cuba diterjemahkan gagal difahami antara satu sama lain.
Selain itu, Malaysia juga memiliki motivasi serta daya ketahanan mental cukup lemah dan mudah dieksploitasi para pemain Vietnam sehingga ada layangan kad kuning tidak sepatutnya berlaku.