Pertahanan kental Malaysia bawah 23 (B-23) iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili jelas masih kurang berpuas hati dengan persiapan semasa mereka sebelum menghadapi saingan Piala Asia B-23 di Qatar.
Terdahulu, Malaysia merekodkan kekalahan terbaharu dalam aksi persahabatan dengan kali ini menjadi mangsa kepada Qatar B-23 menerusi keputusan 0-1 hasil jaringan penalti pasukan lawan.
Keputusan itu menjadi kekalahan kali kedua berturut-turut buat Malaysia B-23 selepas mengharungi empat aksi persahabatan sebelum itu.
Walaupun begitu, Ubaidullah tetap mengakui beliau dan rakan sepasukan lain mengalami peningkatan sejak kem latihan pusat berlangsung bawah kendalian Juan Torres Garrido.
Namun, beberapa siri kelemahan masih ada dan ianya perlu diatasi terutama beberapa kesilapan mudah di atas padang untuk mengelakkan nasib Harimau Malaya kecundang awal di pentas Asia.
“Saya rasa perlawanan demi perlawanan pasukan kita memang ada peningkatan dari segi permainan dan teknikal ‘ability’ individu pemain dan bab keserasian itu memang tak dinafikan kita semua memang dah serasi.
“Cuma kita akan cuba lebih lagi asah di bahagian serangan dan kurangkan kecuaian di dalam padang, sebab dua perlawanan terakhir ini kita dibolosi menerusi sepakan penalti.
“Jadi bagi saya, itu satu (kesilapan mudah) yang tak boleh kita buat selalu untuk ke pertandingan lebih besar,” kata pertahanan muda berbakat besar dari Terengganu itu menerusi laporan Harian Metro.
Pada aksi lalu, jaringan tunggal dari Ahmed Husham selaku pemain Qatar di penghujung separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan mereka atasi Malaysia.
Walaupun tewas sebanyak dua kali pada aksi persahabatan di Qatar, ianya dianggap tidak terlalu teruk buat Malaysia kerana mereka berjaya memberi persaingan sengit terhadap lawan.
“Saya belum berpuas hati dengan persembahan malam ini (awal pagi tadi) sebabnya babak pertama agak gugup nak sesuaikan diri itu lambat, dan banyak kehilangan bola dan ragu-ragu dalam membuat keputusan.
“Tapi babak kedua kita bangkit balik dan rakan-rakan pun banyak membantu dalam padang.
“Masih banyak lagi perlu belajar dan baki hari yang kita ada ini, kita dapat perbaiki dengan baik semua pasukan dari aspek lain-lain untuk aksi pertama di Piala Asia,” kata Ubaidullah lagi.
Di pentas Piala Asia, Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam, serta Kuwait sebelum menentukan nasib untuk mara ke pusingan seterusnya.