Malaysia secara rasminya kini mencatat kekalahan kali kedua berturut-turut dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 peringkat Kumpulan D, dengan Oman sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat Harimau Malaya.
Terdahulu, Malaysia gagal untuk mencipta sebarang kebangkitan ketika menentang Oman walaupun berkelebihan beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) serta mendapat sokongan padu daripada ribuan peminat kebangsaan.
Setelah tampil dengan kekalahan 0-2 di gelanggang lawan, episod serupa terus berlaku kali ini dengan Malaysia tewas bersama dua gol turut dibolosi sepanjang aksi berlangsung.
Kekalahan itu menyaksikan kini Malaysia tiada pilihan lain untuk memastikan mereka tidak boleh keciciran sebarang mata lagi pada baki dua perlawanan akan datang.
Sepanjang aksi berlangsung, Malaysia jelas tampil beraksi pada bawah tahap sebenar dengan pelbagai kesilapan sering dilakukan untuk membuka ruang buat Oman mendapatkan gol.
Menerusi pengamatan kami, tiga pemain Harimau Malaya dinilai berada pada bawah prestasi sebenar mereka serta menampilkan aksi cukup negatif sepanjang perlawanan berlangsung.
Daniel Ting
Pertahanan Sabah ini dibawa masuk pada minit ke-26 untuk menggantikan khidmat Azam Azmi yang mengalami kecederaan selepas berlaku sedikit perlanggaran bersama pemain Oman.
Kemasukan Daniel jelas tidak dapat memberikan impak sebaik Azam dengan eliau beberapa kali gagal untuk mengatasi pemain sayap lawan serta kerap membuka ruang besar untuk memudahkan Oman mengeksploitasi dalam bentuk serangan.
Malah, Daniel juga tidak dapat membentuk kerjasama lebih kukuh bersama Arif Aiman di bahagian kanan negara dan ada beberapa situasi Dion Cools terpaksa memberi bantuan buat pemain tersebut.
Secara keseluruhan, Daniel gagal menyesuaikan diri dengan cepat di posisi pertahanan kanan negara dan beberapa kesilapan individu beliau menyukarkan kem kebangsaan.
Syamer Kutty
Dibawa masuk awal separuh masa pertama untuk membentuk gandingan bersama Stuart Wilkin di posisi tengah negara sekali gus mengukuhkan penguasaan bola buat Harimau Malaya.
Namun, segalanya tidak berjalan dengan lancar apabila Syamer gagal membentuk persefahaman lebih baik bersama Wilkin serta kerap meninggalkan posisi di bahagian bawah untuk membenarkan lawan menguasainya.
Daripada segi individu, Syamer juga mudah hilang penguasaan bola serta beliau seolah tidak tahu apa perlu dibuat setiap kali bola berada di kakinya.
Darren Lok
Sepanjang aksi berlangsung, kelibat Darren Lok boleh dianggap tidak wujud untuk memberikan sebarang impak buat siri serangan Harimau Malaya.
Tiada tekanan-tekanan tinggi diberikan oleh Darren, pemain tersebut juga langsung tidak mencetuskan sebarang ancaman besar buat kubu pertahanan lawan.
Malah, Darren juga sering tidak berada di posisi terbaik untuk menerima umpanan rakan sepasukan lain serta kurang daripada segi persefahaman bersama rakan serangan lain.