Nama Safee Sali secara tiba-tiba kembali menjadi sebutan ramai selepas ada laporan mendedahkan beliau sudah pun memfailkan ‘nusyuz’ kepada isterinya selain bekas pemain Harimau Malaya itu dikatakan sudah bernikah secara diam-diam di Thailand.
Menurut laporan dikeluarkan oleh beautifulnara, isteri kepada bekas pemain kebangsaan itu mengakui mental dirinya didera selama setahun sebelum beliau difailkan ‘nusyuz’ oleh Safee.
Untuk rekod, Safee dan isteri beliau iaitu Fitria Elfina telah pun bernikah pada tahun 2013 dan itu menjadi perkahwinan kali kedua buat bintang bola sepak berkenaan sebelum kini dirinya dilaporkan berkahwin buat kali ketiga secara diam-diam.
Jelas Fitria, isu ‘nusyuz’ itu tidak berlaku seperti didakwa bekas pemain bola sepak Petaling Jaya City (PJ City) tersebut dengan kononnya beliau pulang ke Batam, Indonesia dan meninggalkan anak-anak.
Sebaliknya, Fitria terpaksa meninggalkan anak-anak mereka terlebih dahulu di rumah saudaranya kerana pasport mereka dipegang oleh bekas penyerang Malaysia itu.
“Saya tidak tinggalkan anak sebaliknya titipkan (meletakkan) di rumah anak buah saya. Ini susulan kedua-dua pasport mereka dipegang Safee.
“Dia juga tidak halang saya untuk pulang (Batam). Saya balik ke Batam sebab mahu mengadu dan meminta ‘perlindungan’ daripada abang.
“Saya ke Batam pada 7 Februari sambil menunggu kedatangannya disebabkan dia mahu berjumpa abang saya. Benda ini (pulang ke Batam) tidak boleh di’claim’ nusyuz sebab dia tahu saya balik rumah abang,” ujar Fitria.
Pada masa sama, Fitria juga mengakui mental beliau turut didera selepas mengetahui suaminya itu berkahwin secara senyap-senyap di Thailand pada 26 Januari lalu.
Apa yang lagi menyayat hati, Safee juga melafazkan cerai tersebut melalui ‘voice note’ pada 11 Februari lalu sebelum Fitria dihalau daripada kediaman sewa mereka.
“Sudah setahun saya bertahan dan didera mental berhari-hari sebelum mengetahui Safee sudah berkahwin baru secara sembunyi di Siam pada 26 Januari lalu.
“Sebelum dia datang (ke Batam), dia lafaz cerai melalui voice note kepada saya pada 11 Februari lalu. Sekarang ini, saya pula dihalau dari rumah sewa di Puncak Alam disebabkan dia hanya membayar sehingga bulan ini sahaja.
“Kalau dia buat saya begini, macam sampah selepas 11 tahun saya mengabdi kepadanya dengan tak boleh bekerja dan jaga anak sahaja. Apa yang awak rasa? Ketika ini, nafkah zahir juga tidak diberikan olehnya,” kata Fitria akhir sekali.