Penyerang lincah PDRM musim lalu, Nabil Ahmad Latpi dilaporkan memilih Penang sebagai pasukan baharu untuk diwakilinya bagi saingan musim 2024/2025 dalam aksi Liga Malaysia (Liga M).
Laporan tersebut dikeluarkan sendiri melalui wartawan sukan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan pemain tersebut menjadi rekrut terbaharu Penang musim akan datang.
“Nabil Ahmad Latpi bawa haluan baru dengan menyertai Penang FC musim 2024/2025. Jersi nombor 30 dijangka menjadi milik penyerang kelahiran Paya Sulaiman, Pendang ini,” kata Fadhirul di media sosial X.
Terdahulu, pemain tersebut telah pun dikaitkan bersama tiga pasukan menerusi perkongsian Fadhirul iaitu PDRM, Penang, serta Perak, sebelum beliau menyertai sah The Black Panthers.
Nabil yang menjadi antara pemain paling menonjol bersama PDRM musim lalu dianggap mampu untuk memperkukuhkan jentera serangan Penang pada aksi hadapan menerusi kualiti serta dibuktikan menerusi statistiknya sebelum itu.
Musim lalu menyaksikan Nabil diberi peluang beraksi sebanyak 21 perlawanan serta berjaya meledak lima gol bersama satu bantuan jaringan secara keseluruhannya buat The Cops.
Gandingannya pada musim lalu bersama Uche Agba serta Bruno Suzuki bukan sahaja berjaya mengkucar kacirkan pertahanan lawan menerusi kelincahan dipamerkan, malah Nabil juga mampu menjaringkan gol dari sudut sukar.
Pada usia 31 tahun, Penang bakal menjadi pasukan kelima diwakili Nabil sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional dalam misi beliau untuk mengembangkan lagi kariernya.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Penang terdahulu untuk menggunakan tiga sahaja pemain import, maka peluang Nabil dilihat sangat cerah untuk membarisi kesebelasan utama.
Apapun, dijangka beberapa lagi pemain tempatan lain di posisi serangan akan turut ditandatangani Penang sekali gus memberi gambaran mereka mahu lebih bersedia berbanding tahun lalu.
Untuk import pula, ketika ini hanya Rafael Vitor sahaja dikekalkan dan para pemain lain dilepaskan apabila Penang tampil mendedahkan mereka hanya ingin menggunakan tiga sahaja slot tersebut.
Pada jangkaan, posisi tengah serta serangan akan diberi keutamaan para pemain import baharu kerana Penang sudah pun mengekalkan Vitor yang berperanan di bahagian pertahanan pasukan.
Pada pandangan anda, pemain mana lagi sepatutnya ditandatangani Penang untuk mengharungi saingan domestik pada musim 2024/2025?